suria

'Papadom 2' Karya Terbaik Afdlin Shauki

Papadom 2 telah menemui penonton di pawagam sejak 12 Disember lalu.
Papadom 2 telah menemui penonton di pawagam sejak 12 Disember lalu.
Papadom 2 telah menemui penonton di pawagam sejak 12 Disember lalu.

FILEM : Padadom 2

PENGARAH : Afdlin Shauki

PELAKON : Afdlin Shauki, Liyana Jasmay, Khir Rahman, Vanidah Imran, Scha Al-Yahya, Chelsia Ng, Hans Isaac, Pete Teo

DURASI : 1 Jam 30 Minit

GENRE : Drama

TERBITAN : Tayangan Unggul

TARIKH TAYANGAN : 12 Disember 2013

WALAUPUN sejak akhir-akhir ini nama Afdlin Shauki lebih sinonim sebagai pelawak menerusi kumpulannya Boboi bersama Harun Salim Bachik, namun filem arahan terbaharunya, Papadom 2 nyata membuktikan pengarah itu masih belum hilang taring.

Tidak dinafikan, perasaan skeptikal terhadap penerbitan filem sekual yang pada kebiasaannya tidak menyerlah itu ada namun nyata telahan itu salah.

Papadom 2 mempunyai cukup rasa daripada pelbagai segi termasuk jalan cerita, komedi dan emosi yang cukup menyentuh perasaan ketika menonton kisah yang cuba disampaikan.

Perkembangan setiap watak yang cuba ditonjolkan juga bergerak selari dengan jalan cerita yang menyentuh isu kasih sayang seorang bapa terhadap anak perempuannya.

Menerusi karya terbaharunya ini juga, Afdlin barangkali mengambil pengajaran terhadap beberapa siri filemnya sebelum ini seperti Misteri Jalan Lama, Berani Punya Budak dan Pontianak vs Orang Minyak yang gagal memenuhi cita rasa penonton.

Jelas Papadom 2 dihasilkan dengan penuh teliti dengan mengambil kira kehendak penonton tambahan pula Papadom 1 telah mempunyai peminatnya tersendiri sehingga berjaya mengutip RM3.4 juta di pawagam.

Papadom 1 yang dihasilkan pada 2009 bukan saja mencatat kejayaan besar di Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM-22) iaitu Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.

Karya tersebut juga turut mengingatkan kita kepada filem-filem Afdlin yang berjaya seperti Buli dan Baik Punya Cilok dari segi penyampaian dan lawak jenaka bersahaja yang ditonjolkan namun dengan olahan yang lebih sempurna.

Ia berkisar kehidupan bapa tunggal, Saadom lakonan Afdlin sangat melindungi anaknya, Mia Sara (Liyana Jasmay) sehingga mengongkong dan mendatangkan masalah.

Untuk Papadom 2, ceritanya masih berkisar pada latar sama, namun penceritaannya lebih besar dan luas. Ia bermula apabila Saadom menerusi rakan baik Mia, Yvonne mengetahui anaknya dilamar.

Perkara itu membuatkan dia tidak senang duduk dan cuba menjejaki lelaki yang menjadi kekasih Mia tanpa pengetahuan anaknya.

Selaku pengarah, Afdlin bijak merencanakan Papadom 2 yang skrip ditulis Haris M Nor dan Nurul Akmar Salajudin kerana selain ingin menekankan kemelut tentang anak Saadom yang ingin berkahwin, namun elemen humor terletak pada jalan cerita dan lakonan cukup bersahaja.

Ia memberikan sedikit kelegaan emosi ekoran banyak babak-babak yang cukup menyentuh perasaan tentang pengorbanan seorang bapa kepada anak terutamanya di penghujung cerita.

Penampilan ramai pelakon seperti Reizman Khuzaimi, Pete Teo, Noor Khiriah, Dira Abu Zahar, Ozlyn dan Johan menambah lagi unsur humor dalam filem ini.

Cabaran terbesar Afdlin apabila sebagai pengarah dia juga turut bertindak sebagai pelakon utama dan lakonannya sangat cemerlang ditambah sokongan pelakon-pelakon lain terutamanya Pete sebagai rakan baiknya, Alan turut mencuri tumpuan penonton.

Tidak ketinggalan Liyana yang cukup bersahaja membawakan watak Mia Sara selain berjaya mewarnai peranan tersebut bersesuaian dengan perjalanan semasa Papadom 1 dahulu.

Papadom 2 terbukti adalah antara karya terbaik daripada Afdlin dan peminat setia karyanya tidak seharusnya melepaskan peluang menonton filem ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain