suria

Shah Rukh Khan, Kajol Penyelamat 'Dilwale'

FILEM: Dilwale

PENGARAH: Rohit Shetty

PELAKON: Shahrukh Khan, Kajol, Varun Dhawan, Kriti Sanon

GENRE: Aksi/Drama/Komedi

DURASI: 2 Jam 30 Minit

PENGEDAR: Red Chillies Entertainment

TARIKH TAYANGAN: 18 Disember 2015

KEMASYHURAN dua bintang Bollywood iaitu Shah Rukh Khan dan Kajol pada era 90-an tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun.

Gandingan mereka dalam filem seperti Kuch Kuch Hota Hai yang ditayangkan pada tahun 1998 memberi impak luar biasa bukan sahaja untuk diri mereka malah industri perfileman negara itu sendiri.

Sebuah lagi filem lakonan mereka iaitu Dilwale Dulhania Le Jayange pada tahun 1995 mencipta sejarah tersendiri apabila ia menjadi naskah paling lama ditayangkan di pawagam di India.

Atas dasar itu, apabila pengarahnya Rohit Shetty mengumumkan bakal kembali menggabungkan dua bintang popular itu dalam filem terbaharunya berjudul Dilwale ia mula menjadi bualan hangat biarpun penggambaran masih belum berlangsung.

Sinematografi Dilwale cukup mengagumkan.

Kesempatan menonton sendiri filem berkenaan baru-baru ini, Dilwale sebenarnya tidak mempunyai sebarang keistimewaan yang benar-benar dapat memberi kepuasan kepada penonton.

Tidak hairan ia dikritik hebat oleh pengkritik filem di India yang menyifatkan ia sekadar menyandarkan populariti Shah Rukh Khan dan Kajol sebagai pelaris.

Plot yang dirahsiakan sebelum ini sebenarnya sudah dapat dijangka dengan campuran elemen aksi, komedi dan percintaan yang biasa diketengahkan dalam mana-mana filem Bollywood.

Permulaan filem yang lemah dan terlalu memberi fokus kepada watak Shah Rukh sebagai Raj membuatkan ia sedikit bosan.

Tidak tahu di mana silapnya, Rohit seolah-olah terlalu berusaha untuk membuktikan kehebatan filem berkenaan memandangkan jangkaan penonton tinggi terhadap karya terbaharunya itu.

Aksi yang ditonjolkan dalam Dilwale agak berlebih-lebihan.

Bagaimanapun keserasian gandingan Shah Rukh dan Kajol memang tidak dapat dinafikan kerana aura mereka menyelamatkan keseluruhan filem berkenaan.

Dilwale mengisahkan mengenai konflik dalam hubungan cinta diantara Raj (Shah Rukh Khan) dan Meera (Kajol) yang berlanjutan selama beberapa tahun tanpa kesudahan.

Halangan itu berlaku disebabkan pertelingkahan di antara keluarga mereka yang masing-masing terlibat dalam aktiviti kongsi gelap.

Hubungan yang pada awalnya tiada masalah bertukar bencana apabila keluarga Meera membongkar kisah silam Raj dan adiknya Veer (Varun Dhawan) sehingga memaksanya meninggalkan lelaki itu.

Keserasian Kajol dan Shah Rukh Khan tidak dapat dipertikaikan.

Sementara itu, Dilwale yang menjalani penggambaran di Bulgaria menampilkan sinematografi yang tidak menghampakan malah visual melatari naskah berkenaan benar-benar menakjubkan.

Malah lagu-lagu ditampilkan dalam karya itu seperti Gerua, Manma Emotion Jaage, Janam Janam dan Tukur Tukur cukup menarik dan menghiburkan.

Secara keseluruhannya Dilwale masih sebuah naskhah baik dan masih menghiburkan tambahan pula dengan penampilan Shah Rukh dan Kajol yang sudah lama dinantikan oleh peminat.

Cuma barangkali harapan penonton terlalu tinggi sehingga membuatkan ada yang kecewa apabila hasil yang ditampilkan tidak menepati seperti gambaran mereka.

Shah Rukh Khan, Kajol, Dilwale

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain