suria

Syamsul Yusof Angkat 'Munafik' Lebih Daripada Karya Seram

Sepanjang 11 hari ditayangkan di pawagam, Munafik berjaya mengutip sebanyak RM8.5 juta.
FILEM: Munafik

PENGARAH: Syamsul Yusof

PELAKON: Syamsul Yusof, Nabila Huda, Pekin Ibrahim, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Datuk Rahim Razali dan A. Galak

GENRE: Drama/Seram

DURASI: 90 Minit

PENGEDAR: Skop Productions Sdn Bhd

TARIKH TAYANGAN: 25 Februari 2016

TITISAN air mata pengarah berbakat besar Syamsul Yusof ketika memberi ucapan pembukaan pada majlis pra-tonton filem terbaharu arahannya berjudul Munafik baru-baru mempunyai maksud cukup mendalam.

Kekecewaan terhadap filem KL Gangster 2 arahannya kerana karya itu tersebar di internet sebelum ia sempat ditayangkan tiga tahun lalu benar-benar menguji Syamsul.

Pernah berhasrat untuk mengundurkan diri sebagai pengarah namun Syamsul akhirnya sedar ia bukan jalan terbaik dan perlu bangkit semula.

Hasilnya tidak mengecewakan apabila Munafik yang sehingga artikel ini ditulis sudah pun mengutip RM8.5 juta sejak ditayangkan pada 25 Februari lalu.

Malah ia antara filem yang menjadi perbualan peminat di laman sosial dan rata-rata menyifatkan ia antara karya terbaik daripada pengarah berusia 32 tahun itu.

Lakonan Nabila Huda sebagai Maria cukup bertenaga.

Munafik karya dan skrip asal oleh Syamsul sendiri bukan sahaja mengangkat kisah seram tetapi ia mengupas sifat manusia yang mudah lupa dan jahil apabila dikurniakan Allah kelebihan tertentu.

Ia membawa penggemar naskhah seram ke ruang lebih besar dalam menggambarkan keimanan seorang Muslim melawan hasutan syaitan dan iblis yang sentiasa mencari ruang menyesatkan manusia.

Jelas, Syamsul cukup berhati-hati dalam menghasilkan Munafik memandangkan ia banyak melibatkan ayat suci Al-Quran selain penggunaan hadis sesuai dengan tema diketengahkan.

Mesej dan pengajaran agar umat Islam khususnya perlu yakin dengan Allah SWT supaya tidak terpengaruh dengan hasutan syaitan sampai kepada penonton.

Paling menarik tentang Munafik, kesemua barisan pelakonnya menutup aurat selain tiada sebarang adegan sentuhan di antara lelaki dan perempuan.

Syamsul membuktikan tanpa elemen-elemen tersebut sesebuah filem itu mampu berdiri teguh bertunjangkan jalan cerita kuat dalam menarik perhatian penonton malah ia patut menjadi contoh kepada pengarah lain.

Antara babak menarik dalam Munafik.

Munafik mengisahkan mengenai Adam yang mempunyai keistimewaan dalam mengubati pesakit mengikut kaedah perubatan Islam. Bagaimanapun kematian isterinya membuatkan Adam tidak percaya kepada Qada dan Qadar sehingga menyebabkan imannya rapuh.

Pertemuan Adam dan Maria (Nabila Huda) yang mengalami tekanan perasaan serius merungkai misteri menyelubungi mereka apabila timbul persoalan demi persoalan dalam pemikiran mereka.

Dalam pada itu, amaran Syamsul sebelum ini bahawa naskhah berkenaan tidak sesuai untuk pesakit jantung dan ibu mengandung seharusnya dipandang serius.

Ini kerana sepanjang 90 minit filem itu berlangsung, ia langsung tidak memberi peluang kepada penonton untuk bernafas kerana sentiasa memberikan kejutan demi kejutan.

Malah babak Adam menggali kubur isterinya dan membawa balik mayat ke rumah barangkali paling menyeramkan dalam filem berkenaan selain Maria menyorok dalam peti menyimpan mayat.

Munafik sarat dengan babak-babak mendebarkan.

Syamsul bijak menyusun plot penceritaan dan penonton tidak akan menyangka pengakhiran yang bakal berlaku selain ia banyak meninggalkan tanda tanya.

Sementara itu, percaturan Syamsul memilih Nabila untuk menerajui Munafik ternyata tidak salah kerana aktres terkenal itu berjaya memberikan lakonan luar biasa dan mendebarkan.

Aura Nabila sebagai Maria cukup bertenaga sehingga mampu membuatkan penonton meremang hanya dengan pandangan tajam anak kepada Amy Search itu.

Jangan terkejut sekiranya Nabila dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia akan datang dan aktres itu sememangnya layak.

Secara kesimpulannya, Munafik adalah sebuah karya cemerlang daripada Syamsul dan peminat setia pengarah berkenaan tidak sepatutnya melepaskan peluang menyaksikan naskah tersebut di pawagam.

Artikel Berikut

Artikel Lain