suria

Hasil 'Ada Apa Dengan Cinta 2' Tidak Seperti Jangkaan

Ada Apa Dengan Cinta 2 mula menemui penonton dipawagam sejak 28 April lalu.

FILEM: Ada Apa Dengan Cinta 2

PENGARAH: Riri Riza PELAKON: Dian Sastrowardoyo, Nicholas Saputra, Adinia Wirasti, Titi Kamal, Sissy Prescillia, Dennis Adhiswara

GENRE: Romantik/Drama

DURASI: 120 Minit

PENGEDAR: Primeworks Studios

TARIKH TAYANGAN: 28 April 2016

FILEM Ada Apa Dengan Cinta 2 sememangnya menjadi filem ditunggu-tunggu oleh peminat selepas 14 tahun filem pertamanya ditayangkan iaitu kira-kira pada tahun 2002.

Cerita yang mengisahkan perjalanan hubungan cinta pasangan kekasih yang tergantung ini menjadikan penulis meletakkan harapan yang tinggi terhadap karya sekuelnya.

Setelah menonton filem berkenaan pada majlis tayangan perdananya minggu lalu, penulis menganggap filem ini ditulis dengan terburu-buru dan tidak memuaskan!

Tidak suka dengan perasaan tersebut dan merasakan sebagai peminat filem itu penulis mahu meletakkan filem berkenaan adalah setanding filem pertamanya dulu, lantas penulis mengambil keputusan menontonnya sekali lagi.

Semangat setia kawan diantara Cinta dan rakan-rakannya turut melatari filem berkenaan.

Penulis akui kemunculan watak-watak utama Cinta, Rangga, Maura, Karmen dan Milly benar-benar mengubat kerinduan terhadap Ada Apa Dengan Cinta  ketika penulis di bangku sekolah dahulu.

Lakonan Dian Sastrawardoyo dan Nicholas tidak perlu dipersoalkan, mereka dapat membawakan watak pasangan kekasih yang saling merindui setelah berpisah dalam jangka masa lama itu dengan begitu baik.

Keserasian pasangan ini juga masih sama rasanya seperti filem pertama, ia mungkin bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicapai oleh dua pelakon prefesional ini.

Sejak cinta berakhir, Cinta mempunyai kehidupan baharu dan kesemua Geng Cinta juga sudah membesar menjadi seorang wanita bekerjaya.

Manakala Rangga pula masih menetap di New York menjalani kehidupannya bersendirian setelah kematian bapa.

Rangga dan Cinta.

Cerita bermula apabila kedatangan adik tirinya yang memohon agar Rangga berlembut hati untuk bertemu dan memaafkan ibunya setelah 25 tahun berpisah.

Rangga tanpa alasan yang kuat mengambil keputusan untuk mencari ibunya di Yogjakarta.

Penulis skrip seharusnya meletakkan alasan tertentu kepada babak ini yang membuatkan Rangga benar-benar merasakan pentingnya untuk bertemu ibunya.

Bagi pendapat penulis jalan cerita diolah terlalu mudah, penulis sendiri merasakan ada beberapa babak yang tidak menarik.

Malah, tiada dialog yang benar-benar bermakna, tiada puisi yang benar-benar menyentuh dan tiada lagu yang berjaya diingati selepas melangkah keluar dari pawagam.

Rangga yang dahulunya sombong kini digambarkan sebagai seorang terlalu pemaaf dan sentiasa cuba untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan setiap kali berlaku pergaduhan antara mereka.

Konflik yang terjadi juga agak mudah dan tidak memberi kesan atau debaran kepada penonton.

Antara babak menarik dalam Ada Apa Dengan Cinta 2.

Persoalan lain ialah konflik antara Rangga dan ibunya juga tidak dijelaskan dengan betul membuatkan penonton tertanya mengapa ia terlalu benci akan ibunya.

Selain itu, kedatangan Cinta di New York bagi menemui Rangga juga terlalu sedikit, sayang rasanya apabila kedua-dua pasangan ini tidak menfaatkan waktu bersama di beberapa lokasi menarik di negara itu.

Itu antara babak yang penulis rasa patut dikembangkan dan menjadi daya penarik utama dalam filem ini.

Selain itu, bagi penulis pasangan ini bercinta dari sebuah lokasi ke lokasi yang lain dari pagi hingga ke subuh membuatkan filem ini dilihat seperti dokumentari untuk menarik pelancong ke Yogjakarta Indonesia.

Bagi penulis, apa yang dipaparkan dalam filem sequel ini tidak seperti apa yang diharapkan dan dijangkakan.

Sebenarnya, kisah percintaan Cinta dan Rangga sepatutnya dibiarkan menjadi lagenda dan berakhir di lapangan terbang sahaja.
Ada Apa Dengan Cinta 2

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan