FILEM: Star Trek Beyond PENGARAH: Justin Lin PELAKON: Chris Pine, Zachary Quinto, Simon Pegg, Zoe Saldana, John Cho, Karl Urban, Idris Elba dan Anton Yelchin GENRE: Sains Fiksyen/Aksi DURASI: 122 minit TARIKH TAYANGAN: 21 Julai 2016 SAYA bukanlah peminat mahupun pengikut tegar Star Trek – baik siri televisyen mahupun francais filemnya. Namun, itu tidak bermakna saya tidak mengikuti perkembangan Star Trek dan tahu serba sedikit tentang watak-watak di dalamnya. Bahkan, dua filem Star Trek baharu (reboot) iaitu Star Trek (2009) dan Star Trek Into Darkness (2010) yang diterbitkan dan diarahkan oleh J.J. Abrams juga tidak menarik perhatian saya menontonnya walaupun ia mendapat kritikan positif. Mungkin jiwa saya lebih kepada sebuah lagi francais filem sains fiksyen iaitu Star Wars kerana lebih didedahkan dengan dunia ciptaan George Lucas sejak kecil menyebabkan mengapa jiwa saya tidak begitu mendekati Star Trek. Lalu, mungkin akan ada yang bertanya apakah faktor yang telah membuka hati saya untuk mengulas filem Star Trek Beyond ini. Salah satunya adalah kerana ia berada dalam kelompok filem musim panas yang sudah mula menjengah pawagam di seluruh dunia. Dan, faktor kedua adalah kerana saya merupakan salah seorang penonton dan penggemar pawagam IMAX 3D lalu membuatkan saya mahu merasai pengalaman menonton filem ini dalam versi IMAX. Lebih dua jam menonton Star Trek Beyond, dengan penuh jujur saya katakan, ia berjaya menarik perhatian saya dan meskipun filem reboot ketiga ini bukanlah hasil kerja Abrams, namun, ia langsung tidak mengecewakan. Saya cukup seronok menonton filem yang menelan belanja AS$185 juta (RM753.7 juta) ini yang pada hemat saya, sebuah pengembaraan angkasa lepas lengkap dengan segala rencahnya dalam meletakkan ia sebagai sebuah filem summer blockbuster. Semuanya itu saya percaya ada kaitan dengan cerita dan lakon layar yang dihasilkan oleh salah seorang pelakon filem ini yang juga pelakon komedi terkenal, Simon Pegg bersama Doug Jung. Kalau hendak dikatakan mengenai ceritanya, bagi saya, sebenarnya tiada apa yang menarik atau ekstravaganza kerana sudah banyak kali cerita seperti apa yang ditampilkan dalam Star Trek Beyond dipaparkan dalam kebanyakan filem sains fiksyen sebelum ini. Tetapi, ceritanya itu diperkuatkan dengan aspek teknikal yang telah memberikan warna sekaligus melayakkan Star Trek Beyond menjadi sebuah feel good movie. Apa yang paling saya suka tentang filem ini adalah skor muzik ciptaan bekas pemenang Oscar, Michael Giacchino. Giacchino bijak menjalinkan muziknya untuk setiap adegan terutama babak dramatik bagi meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Salah satu adegan yang saya anggap klasik untuk Star Trek Beyond adalah sewaktu kapal angkasa USS Enterprise tiba di bandar Yorktown yang menimbulkan pelbagai rasa. Babak itu juga diperkuatkan dengan keberkesanan suntingan oleh Greg D'Auria, Dylan Highsmith, Kelly Matsumoto dan Steven Sprung lalu meninggalkan impak yang bukan kecil. Keempat-empat penyunting ini juga mempamerkan hasil kerja yang kemas terutama untuk action sequences bagi memastikan penonton terus melekat di kerusi sehingga tamat tayangan. Saya suka memberi contoh kecemerlangan mereka itu untuk babak sewaktu Kapten James T. Kirk (lakonan Chris Pine) meneruskan rancangannya untuk menyelamatkan krew USS Enterprise yang ditangkap oleh konco-konco Krall (Idris Elba) dengan menunggang motosikal dan menjadi halimunan dalam mengaburi pandangan kumpulan penjahat itu. Setiap babak untuk adegan itu disunting dengan baik dan telah memberikan pengalaman pengambaraan yang menyeronokkan. Dalam aspek lain, saya juga melihat keserasian antara setiap watak dalam filem Star Trek yang baharu ini biarpun ada watak baharu yang diperkenalkan. Namun, bagi saya, Star Trek Beyond bukanlah sekadar kisah pengembaraan angkasa lepas tetapi juga menggamit nostalgia dan homage (penghormatan) kepada francais itu terutama watak asal Komander Spock yang cukup masyhur dijayakan oleh mendiang Leonard Nimoy bertahun-tahun lamanya sebelum aktor veteran itu meninggal dunia tahun lalu. Saya turut melihat homage yang diberikan itu dari sudut pandang berbeza. Bukan mahu menggalakkan mahupun mempertahankan soal homoseksualiti, tetapi, pada hemat saya, dalam Star Trek Beyond, homage itu juga diberikan kepada watak Leftenan Hikaru Sulu yang sebelum ini dijayakan oleh George Takei. Seperti mana yang sedia maklum, Takei merupakan seorang homoseksual dan homage yang diberikan kepada beliau adalah menerusi watak Hikaru Sulu yang baharu ini (lakonan John Cho) apabila digambarkan sebagai sudah berkahwin dengan pasangannya dan memiliki seorang cahaya mata perempuan seperti mana Takei (cuma Takei tidak mempunyai anak). Pastinya, filem susulan keempat Star Trek akan menyusul dan perkara itu memang jelas dibuktikan pada pengakhiran filem ini. Cuma, sayangnya watak Pavel Chekov lakonan terakhir mendiang Anton Yelchin yang dibawakan dengan penuh menyakinkan tidak akan dapat lagi ditonton. Seperti mana kata Abrams sebelum ini, watak berkenaan tidak akan ada penggantinya untuk filem akan datang dan saya cukup bersetuju dengan Abrams kerana watak berkenaan sememangnya diciptakan untuk Yelchin.