suria

Apa Lagi ‘Jason Bourne’ Cari?

Alicia Vikander muncul dalam adegan menerusi 'Jason Bourne'.
FILEM: Jason Bourne

PENGARAH:
Paul Greengrass

PELAKON: Matt Damon, Alicia Vikander, Tommy Lee Jones, Vincent Cassel, Julia Stiles dan Riz Ahmed

GENRE: Aksi/Thriller

DURASI: 123 minit

PENGEDAR: Universal Pictures

TARIKH TAYANGAN: 21 Julai 2016

MULA diperkenalkan pada tahun 2002 menerusi filem pertamanya, The Bourne Identity, siri filem Bourne tidak perlu menunggu lama untuk menjadi salah sebuah francais filem terlaris di dunia.

Tiga filem susulan selepas itu, The Bourne Supremacy (2004), The Bourne Ultimatum (2007) dan The Bourne Legacy (2012) membuktikan kehebatan masing-masing apabila turut mencatatkan kutipan pecah panggung dengan angka melebihi AS$1 billion (RM4.06 billion) di seluruh dunia.

Dari sudut lain, francais filem itu juga sebenarnya telah mengukuhkan lagi portfolio seni teraju utamanya yang juga bekas pemenang Oscar, Matt Damon untuk lebih dikenali sebagai salah seorang bintang aksi menerusi watak Jason Bourne.

Cuma, untuk filem The Bourne Legacy sahaja Damon tidak membawakan watak yang dicipta oleh penulis novel, Robert Ludlum itu atas alasan tiada apa lagi yang mahu diketengahkan.

Keengganan Damon meneruskan watak itu juga sedikit sebanyak telah mempengaruhi pengarah filem kedua dan ketiga Bourne iaitu Paul Greengrass untuk kembali mengemudikan filem susulannya melainkan ia memiliki skrip yang kuat untuk diterjemahkan ke layar.

Sebagai peminat filem, saya harus akui francais filem Bourne berada dalam senarai kegemaran saya kerana bagi saya, siri filem ini menampakkan realisme dalam filem bercorak espionage thriller dan tidak terlalu memperbodohkan audiens.

Jika hendak dibandingkan dengan James Bond yang menampakkan kemewahannya dan ada ketika kurang realistiknya, Bourne, pada hemat saya, lebih bersifat sederhana dan dekat kepada penonton.

Matt Damon dalam 'Jason Bourne'.
Lalu, apabila Damon dan Greengrass kembali bergabung untuk filem kelima dalam siri ini, Jason Bourne, saya tahu bahawa mereka mampu mengembalikan magis seperti mana kejayaan filem The Bourne Supremacy dan The Bourne Ultimatum.

Menonton filem ini minggu lalu, saya tidak menafikan Jason Bourne dengan mudahnya layak mendapat empat bintang atas kapasitinya sebagai filem aksi yang wajar ditonton dan berjaya membuatkan penonton terus melekat di kerusi selama dua jam di dalam panggung (biarpun mendapat kritikan pelbagai di Amerika Syarikat).

Greengrass membuktikan dia masih mempunyai magis dan auranya untuk menjadikan Jason Bourne sarat dengan aksi menerusi teknik pengarahan handheld camera yang sudah menjadi identitinya sebagai seorang sutradara.

Seperti mana dalam filem Bourne sebelum ini, kemuncak Jason Bourne terletak kepada adegan aksi kejar-mengejar antara Bourne dan The Asset (Vincent Cassel) di tengah bandar Las Vegas yang telah memberikan kepuasan kepada penonton.

Dalam erti kata lain, babak itu umpama menikmati pencuci mulut yang begitu enak dan mengenyangkan.

Dari segi lakonan, Damon sekali lagi memang menyerlah sebagai Jason Bourne biarpun sudah menampakkan perubahan ketara dari segi momentumnya yang barangkali ada kaitan dengan peningkatan usianya juga (oh ya, dalam usianya 45 tahun, Damon masih ada sisi tampan yang tersendiri).

Tetapi, dia masih tangkas, cekap dan bijak dalam setiap tanduk-tanduknya bagi memastikan dia tidak dicekup dengan mudah oleh pihak yang memburunya.

Saya juga teruja untuk menonton lakonan pemenang Oscar, Alicia Vikander sebagai ejen CIA pintar dan tegas bernama Heather Lee dan ternyata lakonannya juga tidak mengecewakan.

Dengan bahasa tubuh, lontaran vokal dan permainan matanya menjadikan acuan watak itu ‘masak’ sepenuhnya di tangan Vikander untuk filem seperti ini.

mStar Default Image
Julia Stiles
Namun, persoalan yang berlegar di dalam fikiran saya apabila memikirkan apa lagi sebenarnya yang Jason Bourne cari dalam hidupnya.

Seperti mana yang pengikut filem ini ketahui, Bourne menghidap psychogenic amnesiac (hilang ingatan) yang hidup sebagai seorang pelarian dan menjadi buruan CIA selepas dia mengetahui siapakah dirinya yang sebenar.

Kali ini, Bourne sudah mula mendapat jawapan yang jelas tentang dirinya dan perkara sebenar yang berlaku sewaktu tragedi yang menimpa bapanya lalu membuatkan Bourne mahu membalas dendam lebih-lebih lagi apabila mengetahui ia melibatkan orang dalam CIA sendiri.

Biarpun saya tidak menafikan kehebatan Jason Bourne sebagai filem aksi, tetapi hakikat sebenarnya adalah sudah tiada idea yang segar untuk menjadikan francais filem terus kukuh terutama dari aspek penceritaannya.

Saya percaya Damon dan Greengrass kembali untuk Jason Bourne adalah kerana peminat yang telah selesa dengan watak Bourne itu sendiri selain menjadi lubuk emas untuk Universal Pictures sendiri.

Malah, melihatkan kepada babak terakhir antara Bourne dan Lee juga bagaikan memberi satu gambaran bahawa Bourne akan kembali untuk filem akan datang.

Cuma, seperti mana persoalan yang saya bangkitkan awal tadi, apa lagi untuk filem Bourne seterusnya? Apakah ia akan terus menjadi milik Matt Damon atau Universal Pictures sudah bersedia untuk melalui proses penjenamaan semula agar ia terus kekal segar dan relevan? Sama-sama kita nantikan.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.


Jason Bourne

Artikel Berikut

Artikel Lain