FILEM: Captain Fantastic PENGARAH: Matt Ross PELAKON: Viggo Mortensen, Frank Langella, Kathryn Hahn, Steve Zahn, George MacKay, Samantha Isler dan Annalise Basso GENRE: Drama DURASI: 118 minit PENGEDAR: Bleecker Street TARIKH TAYANGAN: 11 Ogos 2016 APABILA mendengarkan tajuknya, jangan pula menyangka ia sebuah lagi filem superhero atau adaptasi komik yang sudah menjadi satu trend Hollywood sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, bagi penulis, filem Captain Fantastic sebenarnya adalah naskhah yang memaparkan tentang ideologi dan falsafah hidup seorang hero yakni bapa bernama Ben Cash (lakonan Viggo Mortensen) yang menjadi ketua keluarga dalam membesarkan enam orang anaknya. Lebih-lebih lagi selepas kematian isterinya, Leslie (Trin Miller) yang membunuh diri akibat penyakit gangguan bipolar telah menyebabkan Cash perlu berhadapan dengan situasi yang benar-benar mencabar diri dan ideologinya sebagai seorang bapa. Itu hanyalah serba sedikit intipati tentang filem yang diarahkan dan ditulis oleh Matt Ross yang pantas menjadi sebutan dan meraih perhatian meluas pada Festival Filem Sundance awal tahun ini dan Festival Filem Cannes, Mei lalu. Justeru, apabila Malaysia meluluskan tayangan Captain Fantastic dan membuka tirainya hanya di beberapa pawagam terpilih minggu lalu, penulis tidak mahu melepaskan peluang menonton karya yang dianggap sebagai salah sebuah naskhah asli terbaik untuk tahun ini. Salah satu babak filem Captain Fantastic yang kini ditayangkan di beberapa pawagam terpilih. Apatah lagi, ia mendapat kritikan positif serta mendapat standing ovation selama 10 minit sebaik sahaja tamat tayangannya di Cannes, pastinya Captain Fantastic mempunyai pendekatan tersendiri yang telah berjaya menarik perhatian ramai. Ternyata, hebahan meluas tentang filem berbajet kecil namun memiliki jiwa yang cukup besar ini bukanlah satu propaganda Hollywood dalam mempromosikan filem mereka kepada khalayak filem seantero dunia. Akan tetapi, penulis sifatkan Captain Fantastic sebagai sebuah filem yang mampu dijadikan wacana untuk dikupas terutama melibatkan kedudukan ibu bapa dalam sesebuah institusi keluarga dalam mengharungi situasi hari ini. Apatah lagi, dalam dunia moden hari ini yang semakin mencabar, peranan ibu bapa sangatlah penting dalam memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Konteks ini yang cuba diketengahkan oleh Ross dalam Captain Fantastic menerusi perspektif seorang bapa yang mendidik enam orang anaknya dengan cara konvensional dan mengasingkan mereka daripada pendedahan dunia luar (mereka sekeluarga tinggal di dalam hutan dan hidup seperti masyarakat nomad). Barisan pelakon yang memegang watak sebagai enam orang anak Ben Cash dalam filem ini juga tidak kurang hebatnya. Justifikasi Cash sebagai seorang bapa terhadap perkara itu cukup mudah kerana baginya, apa sahaja yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada tangan-tangan rakus dan tamak lalu menjadikan dunia sebagai pusat kapitalis sehingga hilang segala keaslian yang sepatutnya dinikmati oleh generasi muda hari ini. Temanya memang cukup provokatif dan itu menjadikan Captain Fantastic unik dalam liganya tersendiri. Ross begitu berani menggunakan watak Cash untuk menterjemahkan serta mewakili suara masyarakat tentang punca dan tindakan yang berlaku sehingga mampu menjejaskan dan merosakkan pemikiran anak-anak. Namun, pemaparan watak Cash itu menunjukkan dia seorang bapa yang bijak apabila berjaya dan masih mampu mendidik enam orang anaknya secara konvensional dengan menolak teknologi moden hari ini sehingga dilihat sebagai keluarga esentrik. Pada hemat Cash, didikannya bersama mendiang Leslie telah membuahkan hasil dan menjadikan anak-anak mereka pintar sehinggakan kesemua anaknya mampu bertutur lebih daripada enam bahasa. Bahkan, anak sulungnya, Bodevan atau Bo (George MacKay) mendapat tawaran menyambung pengajian di beberapa universiti terkemuka Amerika Syarikat seperti Yale, Harvard, Princeton dan Brown. Berdiri dari kiri; Viggo Mortensen, Samantha Isler, Nicholas Hamilton, Annalise Basso, George MacKay dan Charlie Shotwell yang muncul dalam Captain Fantastic. Dalam masa yang sama juga, Cash turut digambarkan sebagai seorang bapa yang telus dan memiliki pemikiran terbuka kerana baginya, dia tidak perlu menipu dan sentiasa bercakap benar terhadap apa jua situasi terhadap setiap persoalan yang dibangkitkan oleh anak-anaknya. Sehubungan itu, Cash enggan ambil peduli kata-kata yang dilemparkan terhadapnya dalam soal mendidik anak-anak kerana baginya, setiap keluarga mempunyai pendekatan tersendiri sehinggalah satu demi satu insiden yang berlaku di depan matanya telah membuatkan Cash terpaksa mengubah pendiriannya. Biarpun filem ini bergerak perlahan tetapi ia tidak membosankan. Suntingan yang kemas oleh Joseph Krings membuatkan Captain Fantastic berada pada paksi yang sempurna sehingga mampu membuatkan mata penonton terus tertancap pada skrin. Pemilihan Mortensen yang juga bekas calon Oscar itu sebagai watak protagonis juga adalah tepat dan Captain Fantastic boleh dianggap sebagai filem comeback untuknya sekaligus meletakkan dirinya sebagai salah seorang aktor terbaik dalam generasinya. Malah, ramai juga sudah meramal dia berpotensi menerima pencalonan untuk Pelakon Lelaki Terbaik terutama Oscar untuk musim anugerah akan datang. Penghayatan mendalam dan emosi bercampur-baur yang ditumpahkan Mortensen sebagai Cash begitu dirasai sehingga membuatkan penonton dapat memahami jiwanya sebagai seorang bapa yang akhirnya terpaksa akur untuk mengimbangi antara ideologi dan kehendak dunia demi memastikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Saya melihat Captain Fantastic menjawab segala persoalan dalam diri setiap ibu bapa hari ini dalam menentukan hala tuju kehidupan terbaik buat anak-anak mereka. Tontonlah filem ini dengan terbuka dan saya percaya, ada sesuatu yang postif dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. *** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.