FILEM: Sully PENGARAH: Clint Eastwood PELAKON: Tom Hanks, Aaron Eckhart, Laura Linney, Anna Gunn, Mike O’Malley dan Max Adler GENRE: Drama DURASI: 96 minit PENGEDAR: Warner Bros. Pictures TARIKH TAYANGAN: 8 September 2016 APABILA dua tokoh seni tersohor Hollywood bergabung tenaga buat pertama kali, pastinya ia akan memberikan impak yang bukan sedikit buat pecinta filem amnya. Dua nama itu – Tom Hanks dan Clint Eastwood (kedua-duanya juga adalah bekas pemenang Oscar) berkolaborasi untuk filem Sully (disebut sebagai Sa-li) yang kini sudah ditayangkan di pawagam tempatan serentak di Amerika Syarikat (AS) minggu lalu. Sebelum ditayangkan lagi, Sully sudah pun mendapat perhatian meluas daripada karyawan filem Hollywood serta pengkritik filem di sana yang dari awal lagi meramalkan Sully mampu menjadi salah sebuah naskhah terbaik untuk tahun 2016. Bahkan penulis sendiri sejak mengetahui tentang penerbitan filem ini cukup yakin bahawa Sully bukan sembarangan. Lebih-lebih lagi ia ditayangkan dalam tempoh tayangan yang sering dilabelkan sebagai slot musim anugerah di AS. Apatah lagi ia merupakan sebuah filem biografi yang diadaptasi daripada kisah benar seorang juruterbang veteran US Airways, Kapten Chesley Sullenberger atau Sully yang menjadi perhatian dunia selepas membuat pendaratan cemas di Sungai Hudson, New York, AS pada tahun 2009. Tidak syak lagi, Sully merupakan salah sebuah filem terbaik untuk 2016. Dan, untuk menghasilkan filem biografi bukan sesuatu yang mudah kerana jika silap percaturan, ia akan menjadi filem yang membosankan dan tidak fokus lalu mampu membuatkan audiens sentiasa melihat jam tangan bagai tanda menantikan tayangan filem tamat. Namun, itu tidak berlaku untuk Sully. Malah, penulis sendiri agak terkejut sebelum menontonnya kerana filem ini hanya berdurasi sekitar satu jam setengah sahaja yang kebiasaannya, bukan sesuatu yang konvensional untuk sebuah filem biografi. Selepas menontonnya, barulah saya faham mengapa ia dihasilkan dalam tempoh itu sahaja. Ternyata, Eastwood sebagai pengarah cukup bijak untuk menzahirkan lakon layar tulisan Todd Komarnicki dengan cukup padat, kemas dan tepat pada sasarannya. Lebih-lebih lagi apabila secara keseluruhannya Sully dirakamkan menggunakan kamera digital IMAX yang memberikan pengalaman penontonan realistik untuk babak-babak cemas terutamanya apabila menontonnya di pawagam IMAX. Sebagai seorang sutradara veteran dan bekas pemenang Oscar sebanyak empat kali (masing-masing dua untuk Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik), Eastwood, pada usia 86 tahun, membuktikan dia masih mampu menghasilkan filem yang bijak dan memilih tema yang sesuai dalam dunia hari ini yang penuh dengan kekalutan. Sully menyaksikan kolaborasi pertama antara Clint Eastwood (kiri) dan Tom Hanks. Sully tidak perlu membuang masa dengan kisah yang tidak ada kaitannya dengan perjalanan filem itu kerana apa yang ditonjolkan kepada audiens adalah apa yang perlu diceritakan sahaja biarpun ada beberapa sub plot ringkas bagi menguatkan jalan cerita dan memberikan sedikit pemahaman. Biarpun secara naratifnya, Sully tidak lebih daripada filem Hollywood yang tipikal dengan mengangkat seorang American hero tetapi heroism dalam Sully bukan sesuatu yang ‘murah’ atau memaksa penonton untuk bersetuju dan menyukainya. Sebaliknya, nilai Sully yang cukup mahal itu terletak kepada kebijaksanaan dan rasionalnya pemikiran seorang manusia yang menggunakan akal fikiran berbanding emosi dalam membela dirinya daripada menjadi mangsa permainan dan hukuman oleh manusia lain. Dan, watak Sully itu telah dibentuk dan dijayakan dengan cukup cemerlang oleh Hanks yang penulis sifatkan sebagai antara watak terbaiknya sepanjang hampir empat dekad bergelar aktor berkaliber Hollywood. Secara peribadinya juga, Hanks merupakan antara aktor kegemaran penulis kerana kecemerlangannya membawakan pelbagai watak dan Sully terus membuktikan bahawa Hanks masih berada dalam liganya tersendiri. Laura Linney juga memberikan lakonan memberangsangkan dalam filem Sully. Hanks membawakan watak Sully dengan cukup menyakinkan sehingga penulis melihat bukan bekas pemenang Oscar dua kali untuk Pelakon Lelaki Terbaik itu di skrin sebaliknya watak Sully yang sebenar. Dengan rambut yang diwarnakan putih berserta misai, Hanks benar-benar hidup menjadi Sully. Malah, aktor berusia 60 tahun itu telah mempamerkan lakonan yang konsisten dan fokus dari awal hingga akhir. Perkara itu telah memberi peluang kepada audiens menyelami hati serta perasaannya dalam berhadapan dengan situasi yang membuatkannya berbelah bahagi antara penerimaan masyarakat dan intergritinya sebagai seorang juruterbang. Disebabkan itu, Hanks kini berada dalam pemerhatian pengkritik filem yang melihat potensi lakonannya dalam Sully untuk memberinya peluang membolosi senarai pencalonan dalam beberapa acara anugerah utama akan datang. Dan, siapa tahu, jika tuah menyebelahi Hanks kelak, Sully mampu memberinya tuah untuk memenangi Oscar ketiganya lalu dapat sebaris dengan Daniel Day-Lewis yang kini memegang rekod ulung sebagai satu-satunya aktor di dunia yang memiliki tiga Oscar untuk Pelakon Lelaki Terbaik. ** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.