FILEM: Pete’s Dragon PENGARAH: David Lowery PELAKON: Bryce Dallas Howard, Oakes Fegley, Karl Urban, West Bentley, Oona Laurence dan Robert Redford GENRE: Fantasi/Pengembaraan DURASI: 102 minit PENGEDAR: Walt Disney Studios Motion Pictures TARIKH TAYANGAN: 31 Ogos 2016 SELAIN mempertaruhkan filem bertemakan adiwira atau superhero yang menjadi lubuk emas Hollywood dalam mempertahankan kedudukannya sebagai kilang pengeluar filem terbesar dunia, industri itu turut menggunakan formula kitar semula untuk mengaut keuntungan berlipat ganda. Dalam konteks ini, kitar semula yang dimaksudkan ialah filem pembikinan semula atau remake sebagai umpan untuk memancing audiens terutama bagi menarik perhatian generasi muda terhadap karya yang barangkali pernah mencetus fenomena mahupun yang dilupakan satu ketika dahulu. Biarpun begitu, formula yang terus diguna pakai oleh Hollywood itu untuk sepanjang tahun ini nampaknya tidak membuahkan hasil seperti mana yang diharapkan apabila sebahagian besar filem yang dihasilkan semula itu mendapat ulasan teruk atau gagal mencatatkan kutipan pecah panggung. Pun begitu, bukan semua filem remake berhadapan dengan situasi yang menyedihkan itu apabila ia mendapat ulasan positif dan meninggalkan kesan kepada audiens seperti mana yang berlaku terhadap filem Pete’s Dragon. Robert Redford (kanan) dan Bryce Dallas Howard menguatkan lagi jalan cerita Pete’s Dragon. Pastinya dengan jenama besar yang dimiliki oleh Walt Disney Studios, ia tidak berhadapan dengan masalah untuk memancing audiens dari segenap lapisan umur untuk menonton Pete’s Dragon yang penulis sifatkan sebagai sebuah filem keluarga terbaik untuk tahun ini. Studio itu juga pernah menerbitkan filem pertama Pete’s Dragon pada tahun 1977 yang ketika itu menggabungkan animasi dan live action selain mempertaruhkan genre muzikal untuk filem tersebut. Biarpun mendapat kritikan pelbagai, namun, Pete’s Dragon versi asal itu tidak dipandang sepi terutama oleh Anugerah Academy apabila mendapat dua pencalonan bagi kategori Lagu Asal dan Skor Muzik Asal Terbaik pada tahun 1977. Selepas 39 tahun, nampaknya Walt Disney masih mampu untuk menyihir audiens dengan magis menerusi Pete’s Dragon yang diarahkan oleh David Lowery ini. Untuk menghasilkan sebuah filem kekeluargaan yang mampu menambat hati serta meninggalkan kesan bukannya mudah. Apatah lagi, jika ada babak yang menyentuh jiwa, ia tidak mengenal usia lantas membuktikan Walt Disney masih mampu berbuat demikian sementelah studio itu sememangnya dikenali dengan filem bercorak kekeluargaan. Filem ini begitu mudah untuk difahami dan tidak salah untuk penulis katakan, naratif Pete’s Dragon adalah sangat predictable. Apatah lagi untuk filem yang mengisahkan tentang kasih sayang dan perihal kemanusiaan antara manusia dan haiwan, jadi kita sudah dapat bayangkan bagaimana perjalanan ceritanya. Fokus utama filem ini adalah tentang hubungan akrab antara Pete (lakonan Oakes Fegley) dan seekor naga bernama Elliott (penyumbang suara oleh John Kassir) yang sebelum ini dikenali sebagai legenda di bandar kecil tersebut. Secara ringkas, Pete yang kematian kedua ibu bapanya dalam satu kemalangan sewaktu usianya enam tahun telah dibela oleh Elliott yang mana nama itu diberikan Pete berdasarkan satu watak dalam buku cerita yang sering dibacanya. Salah satu babak filem Pete’s Dragon yang sudah ditayangkan di pawagam bermula minggu lalu. Masa berlalu, Pete kemudiannya berusia 11 tahun cuba untuk mula mengenal dunia apabila hutan yang didiaminya bersama Elliott mula dicerobohi manusia untuk aktiviti pembalakan. Bermula daripada situ, satu demi satu konflik timbul yang tidak hanya membabitkan Pete dan Elliott. Sebaliknya, ia turut melibatkan Grace Meacham (Bryce Dallas Howard) dan tunangannya, Jack (Wes Bentley) serta anak perempuan Jack, Natalie (Oona Laurence) selain bapa Grace, lakonan bekas pemenang Oscar, Robert Redford yang sebelum ini pernah menemui Elliott namun, tidak dipercayai oleh penduduk kampung dan Grace sendiri. Bagi penulis, kesan dan perasaan yang timbul sepanjang menonton Pete’s Dragon adalah watak Elliott itu sendiri yang begitu lovable seolah-olah watak itu hidup di depan mata. Elliott digambarkan sebagai naga yang sarat dengan kasih sayang selain digambarkan sebagai seorang pelindung yang memiliki emosi seperti seorang manusia. Salah satu babak yang membuatkan penulis begitu kasihan kepada Elliott sewaktu ia melihat Pete bersama Grace, Jack dan Natalie berkumpul bersama untuk mendengar Jack membacakan buku cerita yang sama seperti mana Pete selalu bacakan kepada Elliott. Sebaik ia melihat situasi itu, Elliott bagaikan mengerti bahawa kedudukan sebenar Pete adalah bersama manusia dan bukan dirinya lalu ia terbang kembali ke habitat asalnya di dalam hutan. Namun, satu perkara yang penulis tidak suka untuk menonton filem bercorak sebegini apabila ia akan menjadikan penulis cengeng kerana air mata begitu mudah untuk mengalir. Disebabkan itu, penulis ingin mengingatkan untuk membawa tisu menonton Pete’s Dragon kerana percayalah, anda pasti akan tersentuh terutama pada babak-babak akhir (itupun jika anda bukan seorang hati kering). Bukan penulis seorang tetapi hampir kesemua penonton di dalam panggung dilihat mengesat air mata termasuklah seorang bapa di hadapan penulis yang tidak henti-henti mengusap wajahnya. Justeru, Pete’s Dragon tidak akan mengecewakan anda dan inilah filem terbaik untuk ditonton bersama-sama keluarga. *** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.