suria

‘Inferno’ Sekadar Pelengkap Trilogi Robert Langdon

Filem 'Inferno' arahan Ron Howard masih lagi boleh ditonton sebagai popcorn movie biarpun tidak memiliki momentum yang diperlukan.
FILEM: Inferno

PENGARAH:
Ron Howard

PELAKON:
Tom Hanks, Felicity Jones, Omar Sy, Irrfan Khan, Sidse Babett Knudsen dan Ben Foster

GENRE:
Drama/Thriller

DURASI:
121 minit

PENGEDAR:
Sony Pictures International Releasing

TARIKH TAYANGAN:
13 Oktober 2016

BERDASARKAN pembacaan penulis, filem Inferno bukanlah menjadi pilihan untuk diadaptasi ke layar perak selepas Angels & Demons (2009) dan The Da Vinci Code (2006) yang telah mencatatkan kutipan pecah panggung di seluruh dunia.

Mengikut perancangan awal, selepas kedua-dua filem itu diterbitkan, sepatutnya buku ketiga tulisan Dan Brown berjudulThe Lost Symbol dihasilkan terlebih dahulu.

Bahkan, draf skrip terakhir itu dikatakan sudah siap pada Februari 2013 untuk penggambaran pada pertengahan tahun yang sama.

Namun, studio yang menerbitkan dua filem sebelum itu, Sony Pictures merasakan Inferno perlu diadaptasi terlebih dahulu kerana jalan ceritanya yang lebih menarik selain buku itu juga baru menjengah pasaran pada tahun yang sama.

Apatah lagi kata Sony, bukan menjadi satu masalah untuk tidak mengikut kronologi penerbitan siri buku berkenaan kerana melalui pengalaman yang sama sebelum itu apabila buku Angels & Demons diterbitkan dahulu pada tahun 2000 sebelum The Da Vinci Code, tiga tahun selepas itu.

Inferno mempertaruhkan populariti Tom Hanks (tengah) dan dibantu oleh Irrfan Khan (kiri) dan Felicity Jones.
Tetapi filem The Da Vinci Code dihasilkan sebagai filem pertama dalam siri Robert Langdon (watak lakonan Tom Hanks) yang seterusnya mencatatkan kutipan memberangsangkan di seluruh dunia walaupun mendapat ulasan pelbagai daripada pengkritik.

Begitu juga dengan Angels & Demons yang masih lagi gagal untuk menambat hati dan menarik perhatian pengkritik dan wartawan filem untuk dimasukkan ke dalam senarai filem terbaik meskipun ia diarahkan oleh bekas pemenang Oscar, Ron Howard.

Justeru, apakah selepas tujuh tahun, siri ketiga filem ini dapat menampung kembali kekurangan dua filem terdahulu untuk disenaraikan sebagai salah sebuah filem terbaik tahun ini? Daripada perspektif penulis, Inferno bukanlah sebuah filem award material.

Biarpun ramai yang meletakkan harapan tinggi untuk melihat Inferno menebus kembali kesilapan Angels & Demons dan The Da Vinci Code, namun, buah tangan Howard kali ini tidak ada apa yang dapat dibanggakan.

Penulis tidak merasakan Inferno adalah sebuah filem yang teruk tetapi dari segi story telling atau penceritaannya tidak berupaya menimbulkan momentum seperti yang diharapkan.

Dalam erti kata lain, ia mengambil acuan dua filem sebelum ini dan mengubah apa yang dirasakan perlu sahaja. Walhal kalau diikutkan, Inferno mampu menjadi filem misteri thriller yang bagus memandangkan premisnya begitu menyakinkan.

Salah satu babak cemas dalam filem Inferno yang ditayangkan di pawagam tempatan seminggu lebih awal daripada Amerika Syarikat.
Secara ringkasnya, Inferno menceritakan bagaimana seorang jutawan saintis, Bertrand Zobrist (lakonan Ben Foster) yang mahu menjadi Tuhan dengan mencipta virus untuk membunuh manusia yang pada perspektif dia jumlah populasinya sudah berlebihan.

Zobrist mahu melakukan pembunuhan itu sambil menyifatkan manusia wajar dihukum mengikut gambaran Inferno yang memiliki sembilan tingkat (neraka dalam bahasa Itali) seperti yang ditulis oleh penyair terkenal, Dante Alighieri.

Misteri demi misteri mula dirungkai sebaik sahaja watak protagonis, Robert Langdon bangkit dari lena dengan kecederaan di kepala yang telah menjadikannya hilang ingatan buat sementara waktu.

Perlahan-lahan Langdon mula mencantum petunjuk yang dimilikinya dengan bantuan Dr. Sienna Brooks (Felicity Jones) yang kemudiannya membawa penonton kepada permasalahan sebenar di sebalik misteri yang berlaku.

Pun begitu, seperti mana yang penulis sebutkan, pace atau perjalanan Inferno itu tidak ada turun naik untuk mencipta satu klimaks yang memberikan kepuasan kepada penonton untuk menjadikannya sebagai filem misteri thriller terbaik.

Tetapi, ada beberapa pendekatan yang penulis rasakan Inferno masih lagi mampu menguji minda penonton untuk berfikir apa yang berlaku dalam adegan seterusnya sehingga jawapannya diberikan pada beberapa adegan terakhir. Semua itu adalah keberkesanan teknik suntingan oleh Dan Hanley dan Tom Elkins.

Omar Sy sebagai Christoph Bouchard.
Apa yang penulis suka apabila David Koepp selaku penulis lakon layar menyelitkan unsur komersial dengan mendedahkan cinta hati dan hubungan Robert Langdon untuk melengkapkan rencah Inferno biarpun tidak ada dalam novelnya.

Inferno masih lagi mengangkat Robert Langdon sebagai hero dengan menggunakan kebijaksanaan dan tenaga yang dimilikinya untuk ‘melompat’ dari sebuah negara ke negara lain untuk menyelesaikan masalah dengan keindahan sinematografi sentuhan Salvatore Totino.

Harus diakui, Robert Langdon bukanlah seperti James Bond mahupun Jason Bourne, tetapi acuan wataknya dalam liga tersendiri dan tidak mustahil, ia akan kekal menjadi milik Tom Hanks waima apa keadaan sekalipun.

Dari sudut pandang lain pula, Inferno dan dua filem terdahulu dalam siri Robert Langdon ini tidak lebih daripada popcorn movie untuk menghiburkan audiens dan juga untuk segelintir peminat Dan Brown.

Dikhabarkan, The Lost Symbol akan kembali diusahakan untuk menjadi filem keempat dan hak cipta novel terbaharu Brown berjudul Origin yang akan dipasarkan tahun depan juga dikatakan sudah menjadi milik Sony Pictures.

Seandainya ia menjadi kenyataan, apakah The Lost Symbol dan Origin mampu mengangkat siri Robert Langdon ini ke tahap lebih baik atau hanya sekadar mahu mencipta francais baru dan mengaut keuntungan buat studio?

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Inferno

Artikel Lain