FILEM: The Accountant PENGARAH: Gavin O’Connor PELAKON: Ben Affleck, Anna Kendrick, J.K. Simmons, Jon Bernthal, Jeffrey Tambor dan John Lithgow GENRE: Aksi/Thriller DURASI: 128 minit PENGEDAR: Warner Bros. Pictures TARIKH TAYANGAN: 20 Oktober 2016 PENULIS perhatikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nama Ben Affleck kembali meniti di bibir peminat filem dan juga pemain industri perfileman Hollywood. Pujian demi pujian diberikan kepada Affleck lantaran dia berjaya mengembalikan sinar kegemilangannya sebagai seorang anak seni apabila mula melibatkan diri dalam beberapa projek yang membuatkan ramai pihak semakin yakin dengan bakatnya. Dan, penulis percaya Affleck sendiri mahu menebus kembali segala kesilapan yang pernah dilakukannya dahulu sewaktu berada di puncak populariti yang kemudiannya menjunamkan namanya sendiri sehingga ramai meramal Affleck tidak akan mampu bertahan di Hollywood. Namun, Affleck yang juga bekas pemenang Oscar sebanyak dua kali itu bingkas bangkit dan seiring dengan kematangan usianya, beliau mula merancang masa depannya di Hollywood bukan hanya sebagai pelakon, tetapi juga penerbit dan pengarah filem. Penulis memulakan ulasan dengan kisah ringkas Ben Affleck ini semuanya bersebab kerana merasakan filem Batman v Superman: Dawn of Justice bukan filemsuperhero terbaik biarpun lakonan Affleck sebagai Bruce Wayne dan Batman wajar mendapat pujian, bimbang juga jika Affleck kembali membuat kesilapan. Walaupun mendapat ulasan pelbagai, tetapi The Accountant boleh dikategorikan sebagai filem yang tidak wajar untuk dilepaskan. Tetapi ternyata telahan itu meleset kerana daripada pembacaan penulis, projek demi projek Affleck semuanya boleh dikategorikan dalam Gred A dan salah satunya adalah filem The Accountant yang sudah pun ditayangkan di pawagam tempatan sejak minggu lalu. Walaupun The Accountant yang diarahkan oleh Gavin O’Connor (Warrior, 2011) mendapat ulasan pelbagai di Amerika Syarikat, namun, dari sudut pandang penulis, tidak salah untuk memberikan Gred A buat The Accountant. Antara faktor penyumbang utama yang membuatkan penulis berani memberikan The Accountant dengan gred A adalah disebabkan lakonan Affleck sendiri yang penulis sifatkan sebagai cemerlang dalam filem ini. Watak Affleck sebagai seorang akauntan yang dilahirkan autisme sangat menyerlah dan lakonannya begitu berfokus sehingga penulis tidak melihat Affleck di skrin sebaliknya Christian Wolff yang sebenarnya juga memiliki kehidupan lain tanpa diketahui ramai. Agak sukar untuk menidakkan kecemerlangan lakonan Affleck dalam filem ini kerana dia membuktikan bahawa peluang kedua yang diberikan kepadanya untuk mencipta kembali sirnanya sebagai aktor tidak dilepaskan begitu sahaja. Filem The Accountant mempamerkan kematangan Ben Affleck sebagai seorang aktor berkaliber di Hollywood. Sebelum ini ada juga beberapa filem lakonannya mendapat pujian antaranyaGone Girl (2014), Argo (2012) dan The Town (2010) dan tidak salah juga untuk memasukkanThe Accountant ke dalam resumenya sebagai bukti bahawa Affleck masih relevan sebagai seorang aktor jika mendapat watak yang benar-benar serasi dengannya. Dari aspek lain, lakon layar The Accountant yang ditulis oleh Bill Dubuque (The Judge, 2014) adalah faktor mengapa perjalanan cerita ini mempunyai momentumnya sendiri yang membuatkan penonton terus melekat di kerusi sehingga tamat. Namun, untuk penulis, ‘kecacatan’ filem ini terletak kepada adegan terakhir yang menemukan Wolff dengan adiknya, Braxton (lakonan Jon Bernthal) yang dilihat agak klise dan pernah ditonton dalam beberapa filem seumpamanya sebelum ini. Dalam erti kata lain, ia sebagai anti klimaks yang sepatutnya boleh diubah untuk menjadi sebuah pengakhiran yang lebih menarik. Ini kerana sepanjang menonton filem ini, ada momen sudah boleh diduga dengan mudah sekali yang akhirnya membawa kepada kebenaran itu. Pun begitu, barangkali Dubuque tidak mahu membuatkan audiens pening kepala seandainya lakon layar itu dirumitkan dengan perkara yang tidak perlu lalu menjadikan perjalanan The Accountant bersifat linear dan mudah difahami. Filem The Accountant turut mempunyai subplot yang mengenengahkan konflik antara Raymond King (J.K. Simmons) dan Cynthia Addai-Robinson (Marybeth Medina). Namun, dari perspektif penulis, aspek penceritaannya adalah sesuatu yang boleh merangsang percikan aura positif dalam diri seseorang terutama mereka yang memiliki sifat rendah diri. Sehinggakan watak seorang pengarah di bahagian bendahari negara yang mengendalikan kes jenayah kewangan bernama Raymond King (J.K. Simmons) turut mengakui pertemuan singkatnya bersama Wolff dalam satu kes merubah dirinya secara total untuk menjadi lebih baik. Cuma, rencah utama The Accountant itu mengambil kisah hidup seseorang yang menghidap autisme dan bagaimana kehidupannya berubah disebabkan pengaruh, persekitaran serta tekanan daripada bapa yang tidak mahu anaknya dipandang rendah oleh masyarakat. Tetapi hasilnya telah menjadikan anaknya seorang yang luar biasa dan pintar sehingga tiada siapa menyangka seorang yang genius dalam bidang matematik juga sebenarnya bijak memanipulasi kedudukannya dengan melibatkan diri dalam dunia hitam yang bukan calang-calang. Menyentuh tentang aspek pengarahan pula, hasil kerja O’Connor sebenarnya tidak mengecewakan kerana dia bijak dan tahu untuk membentuk perjalanan filem ini selain berjaya mengangkat lakon layar dengan memberikan sentuhan warna visual tersendiri. *** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.