FILEM:Billy Lynn’s Long Halftime Walk PENGARAH: Ang Lee PELAKON: Joe Alwyn, Kirsten Stewart, Chris Tucker, Garrett Hedlund, Vin Diesel, Steve Martin dan Makenzie Leigh GENRE: Drama DURASI: 110 minit PENGEDAR: Sony Pictures Releasing International TARIKH TAYANGAN: 10 November 2016 MENJADI pengarah Asia pertama yang berjaya menerima pengiktirafan Pengarah Terbaik Oscar sebanyak dua kali (Life Of Pi – 2012) dan Brokeback Mountain – 2005) telah meletakkan Ang Lee sebagai sutradara yang bukan sembarangan. Apa sahaja projek filem yang dicanangkan melibatkan Lee sebagai sutradara, ia akan meraih perhatian dan menjadi karya yang ditunggu-tunggu. Penulis juga merupakan salah seorang penggemar karya Lee dan selain Life of Pi, Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) dan Brokeback Mountain, filem The Ice Storm (1997) antara yang digemari oleh penulis kerana keberanian Lee bermain dengan subjek yang agak provokatif. Itulah kelebihan anak kelahiran Taiwan itu yang gemar mengupas tema atau subjek yang tidak hanya dibaca pada permukaan semata-mata. Tetapi, setiap naskhah yang diserahkan kepadanya, ada maksud tersurat dan tersirat yang memerlukan audiens berfikir sehingga ke dasar tetapi tidak terlalu kompleks untuk memahami penceritaannya. Kirsten Stewart dan Joe Alwyn (kanan) merupakan pelakon filem Billy Lynn’s Long Halftime Walk yang sudah pun ditayangkan. Sebelum tahun 2016 melabuhkan tirainya, Lee menghadiahkan karya baharunya berjudul Billy Lynn’s Long Halftime Walk selepas mencipta kejayaan luar biasa dengan Life of Pi, empat tahun lalu. Menariknya, pembikinan filem baharunya ini menggunakan teknologi terkini yang pertama kali diperkenalkan dalam sinema dunia untuk memberikan pengalaman penontonan yang berbeza. Teknologi yang dimaksudkan itu ialah penggunaan frame rate 120 per saat dalam tiga dimensi (3D) dengan resolusi definisi tinggi 4K. Rekod itu mengatasi filem The Hobbit: An Unexpected Journey (2012) yang menggunakan frame rate 48 per saat. Cuma, penonton di Malaysia tidak berpeluang menonton filem ini dalam teknologi berkenaan kerana dikhabarkan hanya enam pawagam di seluruh dunia sahaja yang dilengkapi dengan kelebihan itu. Pun begitu, ia tidak menjadi satu kerugian untuk menonton filem ini dalam teknologi berkenaan kerana pada hemat penulis, Lee bagai kurang magis dalam aspek penceritaan untuk karya baharunya ini. Seperti mana filem-filem cereka Hollywood arahan Lee sebelum ini, Billy Lynn’s Long Halftime Walk juga diadaptasi daripada novel karya Ben Fountain dengan judul yang sama. Biar penulis menyentuh kekurangannya dulu. Jujurnya, karya Lee kali ini kurang impak dan tidak memiliki momentum yang diperlukan dalam sebuah filem yang berlatar belakangkan tentang peperangan di Iraq. Salah satu babak filem Billy Lynn’s Long Halftime Walk. Nampaknya Lee lebih selesa untuk bermain dengan falsafah hidup seorang askar AS muda yang menjadi hero selepas rakaman videonya menyelamatkan rakan setugas selepas ditembak pengganas sewaktu bertempur di Iraq. Bukan tidak bagus apa yang cuba Lee lakukan itu kerana itu adalah kekuatan pengarah itu dalam filem-filemnya sebelum ini. Tetapi impak berkenaan tidak begitu dirasai. Barangkali Lee lebih memfokuskan kepada teknik pengarahan dengan teknologi baharu dalam memberikan visual yang menarik tetapi itu tidak cukup. Penulis tidak meletakkan Billy Lynn’s Long Halftime Walk sebagai filem yang teruk atau buruk tetapi ia bergerak dengan mendatar walaupun intipatinya jelas dan mudah difahami. Di sinilah terletaknya kekurangan filem ini apabila lakon layar dan visualnya tidak terjalin dengan baik lalu menjadikan Billy Lynn’s Long Halftime Walk tidak ada faktor wow. Ang Lee (kanan) dan Ben Fountain yang merupakan penulis novel Billy Lynn’s Long Halftime Walk. Daripada perspektif positifnya, Lee melakukan sesuatu yang berbeza apabila dia menceritakan dan bermain dengan emosi dari sudut pandang askar AS yang barangkali adalah satu realiti yang tidak ramai mengetahuinya. Dengan latar belakang kisah sewaktu pemerintahan bekas presiden AS ke-43, George W. Bush, Lee mahu audiens melihat dari sudut yang berbeza tentang konflik dan emosi yang dilalui oleh tentera AS ketika itu. Mengambil watak Billy Lynn (lakonan Joe Alwyn), seorang askar muda yang berhadapan dengan dilema antara tugasnya sebagai perajurit dan anak serta adik kepada keluarga tercinta. Penceritaan yang disulami dengan babak imbasan semula (flashback) sudah cukup untuk menterjemahkan apa yang dirasai oleh Billy Lynn dalam membuat keputusannya. Bukan itu sahaja, Billy Lynn’s Long Halftime Walk juga mengenengahkan sub plot tentang ‘ketamakan’ dunia Hollywood yang gemar mengambil peluang demi untuk mengaut keuntungan pantas dengan kejayaan yang dimiliki oleh pasukan tentera AS itu. *** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.