FILEM:Fantastic Beasts and Where to Find Them PENGARAH: David Yates PELAKON: Eddie Redmayne, Katharine Waterston, Dan Fogler, Alison Sudol, Colin Farrell, Ezra Miller dan Johhny Depp GENRE: Fantasi/Pengembaraan DURASI: 133 minit PENGEDAR: Warner Bros. Pictures TARIKH TAYANGAN: 17 November 2016 SESUDAH francais filem Harry Potter ditamatkan sekitar lima tahun lalu, ramai yang masih dahagakan kisah budak lelaki yang memiliki kuasa magis itu. Biarpun berkali-kali penulis dan penciptanya, Joanne Rowling atau dikenali seantero dunia sebagai J.K. Rowling memberitahu kisah Harry Potter tidak akan dizahirkan lagi dalam bentuk buku mahupun filem, peminat dilihat tidak dapat menerima hakikat itu. Begitulah hebatnya penangan Harry Potter yang bukan hanya menjadi salah sebuah francais filem terlaris di dunia menerusi lapan buah filem tetapi juga menjadikan Rowling sebagai salah seorang individu terkaya di dunia hasil penjualan daripada tujuh buku Harry Potter. Sebagai penulis, Rowling tidak hanya memfokuskan karyanya terhadap kisah Harry Potter semata-mata tetapi juga menyalurkan kreativitinya dengan menghasilkan beberapa buah judul yang mempunyai kaitan dengan dunia magis dan fantasi Harry Potter. Dan salah satunya adalah Fantastic Beasts and Where to Find Them yang diterbitkan pada tahun 2001 dengan menggunakan nama fiksyen, Newt Scamander. Berbeza dengan siri buku Harry Potter yang lain, naskhah Rowling ini adalah sesuatu yang unik apabila ia menceritakan tentang makhluk-makhluk yang wujud di dalam dunia fantasi Harry Potter. Salah satu babak filem "Fantastic Beasts and Where to Find Them" yang mempamerkan aspek visual yang menakjubkan. Malah, buku ini juga dijadikan sebagai salah sebuah buku teks pembelajaran Harry Potter dan pernah disebut dalam filem pertama Harry Potter berjudul Harry Potter and the Philosopher’s Stone. Justeru, apabila daripada sebuah buku yang hanya menceritakan secara terperinci tentang makhluk-makhluk unik, pelik dan fantastik ini dan kemudiannya bertukar menjadi sebuah cerita baharu, di sinilah terletaknya kehebatan daya imaginasi Rowling. Sebagai memenuhi permintaan peminat siri Harry Potter, Rowling mencabar dirinya dengan menghasilkan lakon layar Fantastic Beasts and Where to Find Them yang telah berjaya difilemkan dan sudah pun ditayangkan di seluruh dunia bermula minggu lalu. Beberapa kali menonton sedutan filem arahan David Yates yang juga pernah mengarahkan lima filem Harry Potter sebelum ini, sememangnya penulis yakin Rowling belum hilang magis dan ternyata telahan itu tidak meleset. Sesungguhnya, Rowling terus mempamerkan kecemerlangannya menerusi lakon layar pertamanya ini. Sebagai seorang penulis dan pertama kali menulis lakon layar, Rowling tidak gagal. Sebaliknya, Rowling memberikan sesuatu yang luar biasa menerusi Fantastic Beasts and Where to Find Them yang pada hemat penulis lebih matang dan mempunyai hala tuju jelas dan seterusnya dapat menjadikan judul ini sebagai sebuah francais filem baharu (Warner Bros. Pictures sudah pun mengesahkan empat filem susulan akan diterbitkan selepas ini). Salah satu babak filem "Fantastic Beasts and Where to Find Them" yang mempamerkan aspek visual yang menakjubkan. Sepanjang menonton filem ini, penulis seperti terkena sihir kerana mata hanya tertancap pada skrin kerana kagum dengan penghasilannya biarpun secara lahiriah, jiwa Harry Potter itu masih utuh. Mungkin disebabkan ia adalah sentuhan Rowling selaku pencipta watak fenomena itu dan perasaan itu sedikit sebanyak tidak dapat lari. Tetapi, menerusi Fantastic Beasts and Where to Find Them, Rowling bijak mengimbangi sentuhan itu untuk penonton dewasa dan kanak-kanak dengan memperkenalkan makhluk-makluk luar biasa dan unik selain sub plot yang lebih terarah untuk pemikiran matang. Seperti mana dalam siri filem Harry Potter sebelum ini, pasti ada kisah tentang watak-watak hitam dan putih untuk menjadikan ia sebuah penontonan yang dapat meninggalkan impak kepada audiens dan Fantastic Beasts and Where to Find Them juga memiliki elemen itu. Menerusi filem pertama dalam francais ini, gandingan Yates dan Rowling selaku pengarah dan penulis lakon layar telah memberikan santapan yang cukup enak dan lengkap segala rencah dalam memperkenalkan kisah ini kepada khalayak menerusi visual hebat serta menakjubkan selain permainan warna yang melengkapkan lagi penceritaannya. Tidak lagi mengambil latar belakang England secara total, Fantastic Beasts and Where to Find Them memberi sesuatu yang baharu kepada audiens apabila meneroka dunia magis dan fantasi negara lain dalam kisah yang diceritakan 70 tahun sebelum wujudnya Harry Potter. J.K. Rowling (tengah) bersama empat pelakon utama filem Fantastic Beasts and Where to Find Them (dari kiri) Katherine Waterston, Dan Fogler, Alison Sudol dan Eddie Redmayne. Disebabkan itu, Warner Bros. Pictures memberi bayangan bahawa untuk empat filem selepas ini, kisah Fantastic Beasts and Where to Find Them akan dipelbagaikan dan membawa audiens mengembara ke dunia lain seiring dengan kisah watak utamanya, Newt Scamander selaku seorang magizoologist. Seperti mana yang penulis sebutkan tentang jiwa Harry Potter yang masih wujud dalam Fantastic Beasts and Where to Find Them, ia terserlah menerusi gandingan dan semangat setia kawan menerusi empat wataknya iaitu Newt Scamander lakonan Eddie Redmayne, Porpentina Goldstein atau Tina (Katherine Waterston), Jacob Kowalski (Dan Fogler) dan Queenie Goldstein (Alison Sudol). Perkenalan dan pertemuan yang tidak disangka akhirnya membawa kepada ikatan persahabatan yang kemudiannya menjadikan mereka gandingan yang akan terus dinantikan dalam filem seterusnya. Keadaan itu sama seperti mana impak yang terhasil menerusi gandingan Harry Potter, Hermoine Granger dan Ron Weasley sebelum ini. Pemilihan bekas pemenang Oscar, Redmayne selaku watak protagonis dilihat cukup bertepatan dan Newt Scamander sememangnya menjadi milik Redmayne. Bahasa tubuh dan ekspresi wajahnya menzahirkan watak berkenaan benar-benar hidup seiring dengan jiwa penyayang yang dimiliki Scamander. Fantastic Beasts And Where To Find Them berada di pawagam sejak 17 November lalu. Bahkan, tiga pelakon lain yang bergandingan dengan Redmayne juga setara dan setiap watak diseimbangkan dengan baik tanpa ada rasa canggung antara mereka. Keserasian mereka memang cukup terserlah.Begitu juga dengan lakonan Colin Farrell dan Ezra Miller yang mengejutkan penulis dengan perkembangan watak masing-masing yang akhirnya menuju kepada sebuah jawapan yang didedahkan pada beberapa babak akhir filem ini dan akan berlanjutan kepada filem seterusnya kelak (klu: Johnny Depp). Jujurnya, penulis sudah menjadi peminat tegar Fantastic Beasts and Where to Find Them dan tidak sabar untuk menantikan filem sekuelnya yang dijadualkan tayangannya sekitar 2018 dan seterusnya filem ketiga pada 2020. *** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.