suria

‘Bo-Peng’ Komedi Aksi Menghiburkan, Mampu Jadi Satu Jenama

Bo-Peng sudah pun berada di pawagam sejak 22 Disember lalu.
FILEM: Bo-Peng

PENGARAH:
Helmi Yusof

PELAKON:
Nabil Ahmad, Johan As’ari, Zulin Aziz, Soffi Jikan, Fauzi Nawawi dan Juzzthin

GENRE:
Komedi/Aksi

DURASI:
85 minit

PENGEDAR:
Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN:
22 Disember 2016

DALAM lambakan filem komedi yang memenuhi pasaran filem tempatan, bukan semuanya mendapat tempat dan mencatatkan kutipan membanggakan.

Majoritinya menghampakan dan membuktikan bahawa sebahagian besar pembikin filem tempatan masih berada dalam acuan yang sama untuk membuat penonton ketawa.

Maaf cakap, sebahagian besarnya adalah filem komedi murahan dan picisan yang memaksa penonton ketawa biarpun unsur jenakanya tiada apa yang boleh dibanggakan dan masih di takuk lama.

Benar, dalam membikin sebuah filem komedi, bukan mudah untuk membuat penonton ketawa dan ini berbeza dengan filem melodrama yang begitu pantas menyentuh jiwa mereka yang menontonnya sehingga tanpa sedar air mata mula mengalir perlahan-lahan.

Nabil Ahmad (kanan) sebagai Bo dan Johan As'ari memegang watak Peng.

Namun, untuk filem komedi, bukan mudah membuat penonton kita berasa terhibur tanpa memperbodohkan mereka. Jika ada sekalipun, hanya segelintir pembikin sahaja yang mampu menghasilkan komedi bijak yang sekali gus mencerminkan pemikiran mereka sebagai seorang karyawan.

Berpeluang menonton filem cereka kedua arahan Helmi Yusof (Bikers Kental, 2013) berjudul Bo-Peng, ia sedikit sebanyak telah berjaya dari kepompong filem komedi murahan yang sudah sekian lama menjadi santapan di panggung tempatan.

Biarpun penulis harus akui, Bo-Peng bukanlah berada dalam standard atau acuan filem komedi terbaik, tetapi, Helmi telah mengambil inisiatif untuk mengubah landskap itu dengan menjadikan Bo-Peng sebagai sebuah filem komedi aksi yang berada dalam kedudukannya tersendiri.

Setidak-tidaknya, Helmi mampu membuat anjakan dalam kariernya sebagai seorang pengarah dengan membikin sebuah filem komedi yang boleh penulis kategorikan menghiburkan namun, tidak memperbodohkan penonton.

Salah satu adegan Nabil Ahmad dalam Bo-Peng.

Penulis sukakan idea dan konsep filem Bo-Peng walaupun ia agak klise kerana paparan mengenai dua sahabat baik yang sentiasa bersama sewaktu susah dan senang sudah biasa ditonton dalam filem Hollywood khususnya.

Pada awalnya, penulis agak ragu-ragu dengan kemampuan Bo-Peng untuk menghiburkan penulis tetapi, nampaknya semuanya berubah apabila penulis menikmati juadah hasil air tangan Helmi sehingga selesai.

Disebabkan itu, daripada pengamatan penulis sendiri, Bo-Peng sebenarnya mampu untuk menjadi sebuah siri filem dengan sekurang-kurangnya lima filem di dalamnya dalam mengekalkan jenama Bo-Peng itu sendiri.

Dek kerana itu, penulis mengatakan idea yang diketengahkan oleh Helmi ini boleh dianggap bernas dan mampu untuk memberikan sesuatu yang baharu untuk genre komedi di negara ini.

Namun, seperti yang dikatakan tadi, Bo-Peng bukanlah sebuah filem sempurna tetapi, ia sebenarnya sudah separuh jalan menuju kepada kesempurnaan (mencipta jenama) itu jika ia dibikin dengan lebih bersungguh lagi.

Salah satu babak menarik dalam Bo-Peng.

Untuk filem pertama ini, Bo-Peng masih lagi banyak kekurangannya dan boleh diperkemaskan terutama dari sudut suntingan dan lakon layarnya.

Akan tetapi, penulis melihat perkara itu mungkin sebagai salam perkenalan daripada Helmi dan Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. untuk memperkenalkan Bo-Peng

kepada khalayak dengan harapan akan ada beberapa filem lagi bakal menyusul di masa hadapan.

Dari sudut lakonan, tiada banyak yang boleh diperkatakan kerana masing-masing dilihat seperti membawakan watak diri sendiri.

Nabil misalnya, masih lagi menjadi Nabil Ahmad di skrin sebagai Bo dan perkara itu bukanlah satu kesalahan besar kerana auranya belum pudar sehinggakan penonton masih boleh ketawa melihat gelagatnya.

Antara pelakon dan mereka yang terlibat dalam 'Bo-Peng'.

Pasangannya, Johan As’ari pula masih mencuba untuk membiasakan dirinya dengan watak komedi tetapi watak Peng yang lurus dan taksub dengan dunia jenayah dan penyiasatan itu meletakkan dirinya untuk terus dikenali dengan watak Peng selepas ini.

Malah, penulis melihat Johan dan Zulin (yang memegang watak sebagai Mira Edora Senrose) memiliki keserasian tersendiri dan tidak kelihatan begitu canggung biarpun tiada adegan mereka bersama kerana sebahagian besarnya hubungan mereka hanyalah menerusi perbualan telefon.

Dan, perkara itulah menjadikan mereka serasi dan jika bakat lakonan mereka terus diasah sebaik mungkin, siapa tahu mereka mampu untuk terus disatukan lagi selepas ini.

Setidak-tidaknya, satu pembaharuan apabila mereka digandingkan. Tidaklah hanya melihat pelakon popular yang memiliki pakej ‘sempurna’ di skrin yang hakikatnya satu pembohongan semata untuk terus mengkhayalkan penonton.

Penulis berharap seandainya ada filem susulan selepas ini, semoga Helmi mengambil segala kekurangan daripada filem pertama ini untuk menjadikannya lebih baik dengan aksi, cerita serta tema yang luar dari pemikiran konvensional.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Bo-Peng

Artikel Sebelum

Lima Bintang Untuk 'Dangal'

Artikel Lain