FILEM: Rogue One: A Star Wars Story PENGARAH: Gareth Edwards PELAKON: Felicity Jones, Diego Luna, Forest Whitaker, Donnie Yen, Ben Mendelsohn, Riz Ahmed dan Jiang Wen GENRE: Sains Fiksyen DURASI: 133 minit PENGEDAR: Walt Disney Pictures TARIKH TAYANGAN: 15 Disember 2016 JUJURNYA, kalau diukur secara lahiriah, memang tidak dinafikan apa sahaja berkaitan tentang Star Wars, semuanya adalah bisnes dan penghasilan laba yang bukan kecil-kecil anak. Semua itu bersebab. Pertamanya, ia bagi memastikan legasi Star Wars ciptaan George Lucas itu terus hidup khususnya untuk tatapan generasi akan datang mengenali Star Wars. Keduanya, adalah untuk memperkukuhkan kewangan Walt Disney Pictures agar terus berdiri teguh sebagai salah sebuah studio terkemuka dunia selain selaku pemilik sah Lucasfilm Limited selepas mereka membeli syarikat berkenaan daripada Lucas dengan harga AS$4.06 billion pada tahun 2012. Akan tetapi, semuanya itu datang dengan tanggungjawab yang besar apabila menyentuh tentang Star Wars, ia tidak boleh dipandang enteng dan diperlakukan sekadar melepas batuk di tangga. Sebaliknya, Star Wars merupakan satu entiti gah yang akan terus dilihat secara serius terutama filem-filem yang berkaitan dengan dunia itu untuk tahun-tahun mendatang dan tidak hanya untuk memikirkan soal untung rugi semata. Mengambil contoh, percaturan berani Walt Disney Pictures yang menerbitkan filem ketujuh dalam siri filem Star Wars berjudul Star Wars: Episode VII – The Force Awakens yang ditayangkan tahun lalu telah membuktikan keseriusan mereka. Barisan pelakon filem 'Rogue One: A Star Wars Story' yang memiliki perwatakan tersendiri dalam menghidupkan watak masing-masing. Bukan hanya diangkat sebagai karya terbaik tetapi juga mencatatkan kutipan luar biasa di seluruh dunia dan, itulah apa yang dimahukan oleh Walt Disney Pictures dalam menjaga khazanah salah sebuah francais filem terlaris dunia itu yakni kutipan tiketnya harus bergerak seiring dengan kualiti filemnya. Sehubungan itu, bagi meneruskan legasi itu dan keluar dari kotak fikiran konvensional, mereka mengambil pendekatan baharu dengan menerbitkan antologi dengan menghasilkan filem yang mengambil latar belakang kisah Star Wars tetapi tidak ada kaitan dengan mana-mana watak asal Star Wars sebelum ini. Filem Rogue One: A Star Wars Story atau secara ringkasnya, Rogue One menjadi filem pertama dalam antologi ini yang nampaknya terus cemerlang dalam mengukuhkan jenama Star Wars. Mula ditayangkan sejak 15 Disember lalu, sekali lagi Walt Disney Pictures membuktikan penghasilan Rogue One bukan sekadar mahu mencipta kegemilangan yang diukur dengan keuntungan. Tetapi, ia memiliki nilai artistik dan estetikanya sendiri yang telah meletakkan Rogue One berdiri sebagai sebuah filem persendirian tanpa perlu disokong sepenuhnya oleh siri filem Star Wars biarpun latar belakangnya berlaku di antara filem ketiga dan keempat Star Wars iaitu Episode III – Revenge of the Sith (2005) dan Episode IV – A New Hope (1977). Penulis melahirkan kekaguman kepada penulis cerita asalnya, John Knoll dan Gary Whitta yang memberikan satu perspektif baharu dalam dunia Star Wars yang bukan tipikal. Watak Jyn Erso lakonan Felicity Jones memberikan perlambangan baharu dalam representasi watak wanita dalam filem. Ditambah pula dengan kreativiti dan pemikiran di luar kotak oleh Tony Gilroy dan Chris Weitz yang mengembangkan cerita tersebut menjadi sebuah lakon layar yang penulis anggap sebagai antara yang terbaik untuk 2016. Bukan mudah untuk memberikan implikasi besar terhadap francais filemStar Wars tetapi Rogue One membuktikan bahawa para pemain yang terlibat dalam penerbitannya memberikan skop yang lebih luas dalam aspek penceritannya. Apatah lagi dengan dunia hari ini yang masih lagi memiliki tanggapan skeptikal terhadap kemampuan wanita, Rogue One juga hadir dengan mengangkat martabat wanita ke peringkat yang lebih tinggi dalam menjadi seorang srikandi. Mengenengahkan watak Jyn Erso yang dijayakan dengan berkesan oleh bekas calon Oscar, Felicity Jones, watak berkenaan sedikit sebanyak memberikan dimensi baharu terhadap representasi wanita dalam dunia yang didominasi oleh kaum lelaki. Tidak mudah diperlekehkan dan memiliki pemikiran bijak selain dapat berfikir dengan waras tanpa melibatkan emosi, Jyn Erso boleh dikatakan sebagai lambang terhadap wanita alaf baru yang sebenarnya mampu melakukan sesuatu tanpa perlu mengikut telunjuk lelaki secara total. Bahkan, watak berkenaan penulis sifatkan sebagai ‘bersih’ dalam pelbagai aspek bagi memperkukuhkan kedudukan wanita di mata lelaki tanpa perlu merendahkan diri mereka yang sudah terlalu banyak dipaparkan dalam pelbagai medium. Watak antagonis ikonik dalam sinema dunia ini turut membuat kemunculan istimewa dan masih mengekalkan suara oleh pelakon asalnya, James Earl Jones. Dari sudut teknikal, Rogue One masih mengekalkan nilai sentimental Star Wars itu sendiri terutama pada teknik suntingan, adunan dan suntingan bunyinya namun, kedengaran lebih kental dan jitu lalu mengemaskan perjalanan ceritanya. Namun, aspek efek visual Rogue One yang penulis sifatkan sebagai terbaik apabila filem ini berjaya ‘menghidupkan’ watak Grand Moff Tarkin (lakonan mendiang Peter Cushing) secara teknik imej janaan computer (CGI) yang sememangnya tidak pernah terjangkau dek akal. Pastinya kemunculan watak antagonis ikonik dalam sinema dunia, Lord Vader (kemudian baru ditabal menjadi Darth Vader) pada pertengahan cerita dan salah satu watak utama dalam siri filem Star Wars pada penghujung filem ini (tidak mahu merencatkan keterujaan bagi mereka yang belum menonton) memberi gambaran jelas serta pelengkap kepada kesinambungan Episode IV – A New Hope. Apa yang pasti, Rogue One sudah termaktub sebagai permulaan antologi Star Wars terbaik sebelum dua filem lagi menyusul pada 2018 dan 2020 yang akan diselang selikan dengan penayangan Episode VIII (2017) dan Episode IX (2019). *** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.