suria

'Interchange' Bukan Sebuah 'Thriller' Kosong

Nadiya Nisaa (kanan) memberikan lakonan yang memberangsangkan biarpun hanya sekadar watak pembantu dalam 'Interchange'.

FILEM: Interchange

PENGARAH: Dain Iskandar Said

PELAKON:
Shaheizy Sam, Nicholas Saputra, Iedil Putra, Prisia Nasution, Nadiya Nisaa, Alvin Wong dan Chew Kin Wah

GENRE:
Drama/Thriller

DURASI:
102 minit

PENGEDAR:
GSC Movies

TARIKH TAYANGAN:
1 Disember 2016

SELEPAS
kejayaan filem cereka keduanya, Bunohan (2011), penulis cukup menantikan buah tangan baharu Dain Iskandar Said yang penulis sifatkan seorang auteur dalam liganya tersendiri.

Biarpun namanya tidak sepopular pengarah tempatan yang lain, akan tetapi, sutradara yang pernah mengarahkan filem pertamanya, Dukun (2006 – yang diharamkan tayangannya di negara ini) memiliki sentuhan tersendiri dalam setiap karyanya.

Penulis masih ingat dalam satu perbualan dengan Dain di pejabatnya sekitar lima tahun lalu ketika menjadi wartawan hiburan tentang projek seterusnya selepas Bunohan meraih perhatian meluas dan mencatatkan kejayaan peribadi buat dirinya.

Ketika itu Dain memberitahu Interchange sudah pun berada dalam perancangannya dan draf skripnya juga sudah berkelana jauh untuk mencari dana dan pihak untuk menerbitkannya.

Malah, penulis juga bertanyakan kepadanya adakah Interchange akan menjadi sebuah naskhah berat dan mencabar seperti mana Bunohan?

Dengan pantas Dain menjawab Interchange bukan seperti Bunohan yang memiliki banyak lapisannya.

Sebaliknya, Interchange sebuah filem yang straight forward dan mudah difahami. Ternyata Dain menepati janjinya dan benar apa yang dikatakannya.

Shaheizy sam (kiri) dan Iedil Putra.

Penulis yang berkesempatan menonton filem ini beberapa hari lalu (masih belum terlewat untuk mengulasnya) menyifatkan Interchange sebagai sebuah filem thriller dalam kelas tersendiri.

Biarpun Interchange boleh dikatakan mengambil acuan filem Barat apabila memperkatakan tentang genre thriller itu sendiri, tetapi, Dain mencorakkan Interchange dengan menggabungkan dan menyuntik elemen ketimuran.

Disebabkan itu, penulis meletakkan Interchange sebagai sebuah karya Gred A yang memberikan dimensi baharu dalam penerbitan filem tempatan.

Seharusnya penonton tempatan membuka minda dan hati untuk menonton karya sebagus Interchange. Pujian penulis bukan omongan kosong sebaliknya semuanya bersebab dan Interchange ada beberapa faktor yang mampu meletakkan ia sebagai sebuah naskhah dalam liganya tersendiri.

Pertamanya, Interchange bukan sebuah filem thriller kosong dan mudah dijangka. Ia menepati konsep genre itu sendiri yang mempunyai pace untuk membuatkan penonton berfikir dan cuba untuk menjangkakan apa yang berlaku selepas setiap insiden.

Secara zahiriahnya, penulis harus akui, kalau dilihat tiada apa yang baharu tentang Interchange.

Plotnya adalah berkisar tentang seorang detektif menyiasat kes pembunuhan bersiri yang menggemparkan dan dengan bantuan seorang jurufoto forensik, mereka cuba untuk menyelesaikan misteri itu.

Watak Belian yang dilakonkan oleh Nicholas Saputra ada simbolism tersendiri.

Akan tetapi, cara pengolahan Dain menerusi lakon layarnya itu menjadikan Interchange itu bukan sekadar thriller. Seperti mana yang dikatakan, suntikan elemen ketimuran yang menjadi punca utama kepada kes pembunuhan itu telah membentuk Interchange berubah sebagai sebuah karya unik.

Di sini terletaknya kebijaksanaan Dain sebagai seorang pengarah dan penulis lakon layar yang masih lagi berpaksikan unsur dari timur dalam acuan barat.

Penulis percaya cerita asal Interchange telah melalui proses penyelidikan yang menyeluruh kerana apa yang dipaparkan bukanlah sesuatu yang semberono.

Benar... Interchange sebuah filem fiksyen dan mungkin paparannya terutama pada titik tumpu misteri pembunuhan filem ini serta babak-babak akhirnya memiliki teori tersendiri, tetapi itu bukan satu masalah.

Ia adalah cara Dain untuk mengkomersialkan Interchange demi memberikan santapan baharu kepada audiens tempatan.

Tidak seperti Bunohan yang membuatkan ramai tidak memahami maksud tersiratnya, tetapi untuk Interchange, penonton tidak akan pening kepala untuk menghadam jalan ceritanya kerana ia begitu mudah difahami.

Dain Said.

Selepas menontonnya, audiens akan memahami apakah yang dimaksudkan dengan interchange dalam konteks filem ini.

Seperkara lagi yang menjadikan Interchange begitu mahal dan classy apabila keserasian dan gandingan para pelakonnya yang semua bertaraf Gred A.

Semuanya memberikan lakonan yang kelihatan semula jadi dan tidak dibuat-buat untuk membuktikan kehebatan masing-masing biarpun hampir kesemuanya adalah bekas pemenang pelakon terbaik di Malaysia dan Indonesia.

Dalam hal ini, penulis cukup menggemari lakonan Nadiya Nisaa sebagai Sani. Biarpun hanya sekadar watak pembantu tetapi keberkesanan lakonannya cukup menyerlah dengan bahasa tubuh, mimik muka dan lontaran dialog yang menjadikan permainan wataknya berbeza dengan apa yang telah dipersembahkan oleh Nadiya sebelum ini.

Begitu juga Iedil Putra yang membawakan watak Adam, seorang jejaka kelahiran Sabah dengan berkesan sekali dan jelas kelihatan bakat dia benar-benar digunakan semaksimumnya.

Dalam erti kata lain, pemilihan pelakon untuk Interchange adalah tepat terutama watak Belian dan Iva yang dilakonkan oleh pelakon seberang, Nicholas Saputra dan Prisia Nasution kerana watak mereka memerlukan pelakon seperti mereka untuk menghidupkannya.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Interchange, Dain Said

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain