suria

Sentuhan Luar Biasa Damien Chazelle Dalam 'La La Land'

Babak yang cukup signifikan dalam filem La La Land yang memberikan penghormatan kepada filem muzikal Hollywood terdahulu.

FILEM: La La Land

PENGARAH:
Damien Chazelle

PELAKON:
Ryan Gosling, Emma Stone, John Legend, J.K. Simmons, Rosemarie DeWitt dan Tom Everett Scott

GENRE:
Muzikal

DURASI:
128 minit

PENGEDAR:
GSC Movies

TARIKH TAYANGAN:
5 Januari 2017

SEJAK
menonton filem Whiplash (2014) yang merupakan salah sebuah filem kegemaran penulis, harus diakui visi Damien Chazelle sebagai seorang sutradara dan penulis memang cukup jelas.

Apa yang membuatkan penulis kagum dan menghormatinya sebagai seorang penglipur lara kerana dia menghasilkan sinergi yang cukup kuat antara muzik dan filem untuk menjadikan ia sebagai karya hebat.

Dek kerana kehebatan itu jugalah, Whiplash berjaya membolosi tembok pencalonan Oscar pada tahun 2015 dengan lima kategori termasuk Filem dan Lakon Layar Asal Terbaik dan memenangi tiga daripadanya iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Suntingan Terbaik dan Adunan Bunyi Terbaik.

Justeru, apabila Chazelle kembali dengan naskhah baharunya, La La Land yang mendapat liputan meluas dan kritikan positif seperti Whiplash, pastinya ada sesuatu yang menakjubkan menerusi karyanya itu.

Apatah lagi ia adalah sebuah filem muzikal yang sejak kebelakangan ini sudah agak jarang diterbitkan di Hollywood, maka dengan itu, La La Land pastinya tidak perlu menunggu lama untuk menjadi bualan hangat.

Penyanyi dan terkenal, John Legend (kiri) turut membintangi filem 'La La Land'.

Penulis yang merupakan peminat tegar genre muzikal juga tidak mahu melepaskan peluang menonton La La Land sementelah pelbagai kejayaan sudah diraih oleh filem berkenaan termasuk menyapu bersih kesemua tujuh kategori termasuk Filem Muzikal atau Komedi Terbaik pada Anugerah Golden Globe ke-74, minggu lalu.

Menonton La La Land di pawagam selepas kemenangannya di Golden Globe minggu lalu membuatkan penulis begitu kagum dengan penghasilan filem berkenaan terutama dari segi teknik pengarahan dan penyampaian cerita oleh Chazelle.

Biarpun usianya baru 31 tahun tetapi Chazelle melakukan sesuatu yang luar biasa menerusi La La Land dan isebabkan itu, karyanya kali ini memang layak mendapat lima bintang dan sekali gus diberikan penghormatan standing ovation.

Bukan sebuah filem muzikal biasa untuk hiburan semata-mata, sebaliknya La La Land yang mengambil latar belakang kontemporari sebagai titik fokus penceritaan adalah lebih daripada itu.

La La Land
menggunakan genre muzikal sebagai pentas untuk berkongsi cerita tentang permasalahan sejagat yang dilalui oleh karyawan seni dan mereka yang mempunyai minat mendalam dalam dunia hiburan khususnya.

Ryan Gosling dan Emma Stone memberikan persembahan terbaik sepanjang karier mereka.

Disebabkan itu, penulis sifatkan La La Land sebagai sebuah filem yang mampu dinikmati dan dijiwai oleh sesiapa sahaja terutama apabila memperkatakan tentang mimpi, harapan dan cita-cita yang ada kalanya membuatkan kita menjadi rapuh dan seterusnya mudah berputus asa tanpa disedari ada sinar terang yang menunggu di hujung jalan.

Malah, pendekatan muzikal oleh Chazelle sendiri itu sebenarnya adalah satu gambaran jelas bahawa dalam zaman moden ini, genre yang satu ketika dahulu merupakan sesuatu yang gah semakin dilupai oleh generasi muda hari ini dan cabaran dalam industri perfileman Hollywood sendiri.

Menyedari akan hakikat itu, Chazelle mengambil Los Angeles sebagai latar belakang filem ini yang memang cukup dikenali sebagai bandar yang menghadirkan impian dan mimpi untuk mereka yang mahu bergelar anak seni (La La Land itu sendiri adalah nama timangan untuk Los Angeles).

Bahkan, La La Land juga sendiri memberikan penghormatan kepada filem muzikal klasik Hollywood.

Salah satu yang cukup signifikan adalah menerusi babak pertemuan Sebastian (lakonan Ryan Gosling) dan Mia (Emma Stone) di Hollywood Hills yang mengingatkan penulis kepada filem muzikal, Singin’ In The Rain (1952).

Dari sudut teknikal, La La Land memberikan hasil kerja yang kemas dan menepati genre muzikal itu sendiri terutama suntingan, sinematografi, koreografi, penataan seni dan kostum serta skor muzik oleh Justin Hurwitz.

Filem 'La La Land'  membuktikan Damien Chazelle bukan sembarangan pengarah.

La La Land tidak perlu menggunakan penataan seni dan kostum yang ekstravaganza dan mewah tetapi muzik, penggunaan warna dan atmosfera filem itu sendiri sudah cukup untuk menterjemahkan maksud tersirat dan tersuratnya.

Jika ditanya kepada penulis babak atau momen paling diingati dan dikenang dalam La La Land, tanpa ragu penulis mengatakan babak-babak akhir yang begitu menyentuh hati kerana ia sebenarnya adalah sesuatu yang sering berlaku dalam diri kita sebagai manusia.

Dalam erti kata lain, kita akan selalu berfikir apakah akan terjadi jika kehidupan kita terjadi sebaliknya tanpa kita sedari sebenarnya takdir hidup kita telah ditentukan sebegitu dan lebih baik daripada apa yang kita sering bayangkan.

Untuk Gosling dan Stone pula, penulis melihat pemilihan mereka sebagai teraju utama dalam mempersembahkan kisah masing-masing sebagai insan seni berjiwa besar dalam bidang muzik dan filem amat bertepatan.

Baik Gosling mahupun Stone, kedua-duanya memberikan lakonan yang berfokus dan konsisten sehingga ia benar-benar hidup di layar ibarat menonton kisah hidup mereka berdua secara realiti.

Salah satu babak filem 'La La Land' yang kini ditayangkan di pawagam tempatan.

Mereka membuktikan keserasian di antara mereka tetap ampuh biarpun La La Land merupakan filem ketiga gandingan mereka selepas Gangster Squad (2013) dan Crazy, Stupid, Love (2011).

Nampaknya, pandangan skeptikal penulis terhadap Stone mula terhakis kerana sebelum ini, penulis tidak melihatnya sebagai seorang aktres yang serius tetapi La La Land membuktikan Stone adalah seorang aktres terbaik dalam generasinya.

Menonton filem ini memberikan satu kepuasan dan pengalaman sinematik kepada penulis yang jarang dirasai sejak sekian lama terutama genre muzikal.

Penulis pasti akan mengungguli senarai pencalonan Anugerah Academy ke-89 atau Oscar yang akan diumumkan pada 24 Januari ini.

Seperkara lagi, La La Land juga sudah tersenarai dalam senarai peribadi penulis sebagai salah sebuah filem terbaik sepanjang zaman.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

La La Land

Artikel Lain