FILEM: Aku Haus Darahmu PENGARAH: Aidilfitri Mohamed Yunus PELAKON: Nad Zainal, Deanna Yusoff, Zoey Rahman, Farhanna Qismina dan Amalia Syakirah GENRE: Seram DURASI: 103 minit PENGEDAR: Tsar Asia Sdn. Bhd. TARIKH TAYANGAN: 2 Februari 2017 KEBANYAKAN filem tempatan gagal memberikan impak dan menyakinkan audiens apabila kurangnya penyelidikan mahupun kesungguhan yang ditonjolkan dalam naskhah yang dihasilkan. Pastinya, alasan yang sering diberikan adalah bajet yang hanya sekadar cukup-cukup makan lalu menghasilkan karya yang setanding dengan bajet yang ada. Namun, tanggapan itu sewajarnya ditangkis kerana jika masalah bajet sekalipun, kreativiti tetap memainkan peranan penting dalam memberikan yang terbaik untuk audiens. Di sinilah terletaknya masalah dalam filem tempatan ketiga yang ditayangkan untuk tahun 2017, Aku Haus Darahmu yang memulakan tayangannya minggu lalu. Diarahkan oleh Aidilfitri Mohamed Yunus (Klip 3GP, 2011), penulis melihat filem cereka kedua arahannya ini mampu untuk menjadi sebuah filem seram unik dan terbaik jika olahannya lebih menarik dan realistik. Deanna Yusof memegang watak Cik Cempaka Sulastri antara yang boleh dibanggakan. Aku Haus Darahmu memiliki premis menarik untuk diangkat dan tidak mustahil untuk dibawa ke gelanggang filem antarabangsa. Akan tetapi, penghasilannya yang hanya ala kadar sahaja telah membuatkan Aku Haus Darahmu memiliki kelemahan yang begitu ketara. Seperti mana yang dikatakan, Aku Haus Darahmu berpotensi untuk menjadi sebuah filem yang memiliki nilai artistik tersendiri jika Aidilfitri selaku pengarah dan penulis lakon layar mampu meneroka lebih jauh tentang subjek tarian itu dengan mendalam. Penulis tidak pasti sama ada tarian yang ditampilkan dalam filem ini adalah benar-benar wujud atau hanyalah sekadar ciptaan Aidilfitri. Akan tetapi, jika ia hanyalah ciptaan sekalipun, ia bukan satu masalah untuk menjadikan Aku Haus Darahmu menjadi sebuah filem seram yang menggabungkan elemen moden dan tradisional. Ini kerana subjek tentang tarian tradisional yang seringkali berkait rapat dengan dunia mistikal dan spiritual tidak banyak diketengahkan. Antara adegan dalam 'Aku Haus Darahmu'. Disebabkan itu, penulis yakin Aku Haus Darahmu mampu untuk menjadi naskhah hebat jika ia dijalinkan dengan baik dan kemas sekali gus mengetengahkan budaya tempatan yang sudah jauh dilupakan terutama generasi baharu. Namun, bukanlah penulis mahukan Aku Haus Darahmu menjadi sebuah filem arthouse secara total, tetapi dengan adanya suntikan komersial, penulis pasti ia akan jadi lebih menarik. Dalam satu aspek lain pula, penulis tidak melihat dengan mengambil latar belakang tahun 80-an menguatkan lagi cerita Aku Haus Darahmu ini kerana ia langsung tidak memberikan sebarang impak. Apakah cukup sekadar menampilkan busana dan props untuk menepati era itu akan menghasilkan kesan tersendiri? Sudah pasti ia tidak mencukupi kerana aspek teknikal seperti penataan seni, kostum dan tata rias itu turut memainkan peranan besar untuk menghidupkan suasana itu. Akhirnya, dialog dan pertuturan para pemain filem ini kecuali watak Cik Cempaka Sulastri (lakonan Deanna Yusoff) kelihatan begitu keras dan tidak asli. Zoey Rahman (kanan) turut menunjukkan bakat dalam filem ini. Bahkan, sinematografinya juga lemah dan mengecewakan lalu gagal membangkitkan rasa seram. Begitu juga dengan para pelakonnya yang merupakan pelakon muda yang lakonan mereka tidak ada apa boleh dibanggakan dan masih banyak perlu diperbaiki. Sebagai contoh, karakter bernama Lia (Nad Zainal) yang digambarkan sebagai seorang ahli antropologi langsung tidak menyakinkan dan lebih dilihat sebagai seorang pelajar sekolah menengah untuk menyempurnakan tugasan mata pelajaran Kajian Tempatan. Penulis mengagumi bakat Nad Zainal yang merupakan antara aktres generasi baharu yang mampu pergi jauh tetapi wataknya dalam filem ini tidak berupaya untuk mengukuhkan portfolionya. Bukan hanya Nad, dua pelakon lain iaitu Zoey Rahman dan Farhanna Qismina juga tidak memberikan lakonan menyakinkan untuk membuktikan kesungguhan mereka sebagai pelakon. Bukan mahu bersikap bias, tetapi kemunculan Deanna Yusoff dalam filem ini ada impaknya tersendiri. Barisan para pelakon Aku Haus Darahmu. Watak seorang penari yang juga seorang pontianak (boleh digambarkan sebegitu) nampak elegan dan menepati watak yang dibawakannya. Bahasa tubuh dan lontaran dialognya sudah cukup untuk membangkitkan rasa misteri di dalam watak Cik Kenanga yang sudah hidup beratus tahun lamanya. Tetapi, entah mengapa juga, penulis melihat watak Cik Kenanga itu tidak banyak bezanya dengan watak Mastura yang pernah dibawakan Deanna dalam filem Chermin sekitar 10 tahun lalu. Watak Cik Kenanga itu juga sebenarnya boleh diterokai lagi untuk menjadikan ia sebagai watak antagonis yang meninggalkan impak besar. Seperti mana yang penulis katakan awal tadi, Aku Haus Darahmu ada potensi besar tetapi berkemungkinan kerana faktor bajet, kekangan masa dan kelemahan lakon layar menjadikan naskhah ini tidak berupaya menjadi sebuah filem seram dalam erti kata sebenar. *** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.