suria

‘The Lego Batman Movie’ Penghormatan Dan Sisi Baharu Dunia Batman

Filem The Lego Batman Movie meneruskan kesinambungan kejayaan The Lego Movie dalam menjadi salah sebuah filem animasi terbaik.

FILEM: The Lego Batman Movie

PENGARAH:
 Chris McKay

PENYUMBANG SUARA:
 
Will Arnett, Zach Galifianakis, Michael Cera, Ralph Fiennes, Rosario Dawson, Jenny Slate dan Mariah Carey

GENRE:
 
Animasi/Komedi

DURASI: 
105 minit

PENGEDAR:
 
Warner Bros. Pictures

TARIKH TAYANGAN: 
9 Februari 2017

SELEPAS
menonton filem The Lego Movie (2014), dengan pantas penulis meletakkan filem animasi tersebut dalam senarai filem kegemaran penulis.

Dari sudut pandang penulis,The Lego Movie telah memberikan satu dimensi baharu dalam penerbitan filem animasi terutamanya yang tidak pernah terjangkau dek akal dan merupakan filem cereka Lego pertama dihasilkan.

Sementelah, bagi penulis, untuk menghasilkan sebuah filem animasi dengan menggunakan Lego adalah sesuatu yang memang mustahil.

Sedangkan untuk membina sesuatu dengan Lego memerlukan kesabaran dan ketelitian, apatah lagi untuk menghasilkan filem daripada permainan popular itu.

Barangkali ada yang berpendapat tidak sukar untuk membikin filem animasi daripada Lego kerana teknologi canggih yang ada pada hari ini memudahkan segala-galanya.

Filem The Lego Batman Movie memberikan penceritaan segar dan baharu terhadap watak Batman di sebalik kejayaannya sebagai seorang adiwira.

Akan tetapi, biarpun semuanya dipermudahkan dengan segala teknologi dan perisian yang ada, jika penghasilannya tidak kemas dan dibikin sekadar melepaskan batuk di tangga, ia tidak akan menjadi juga.

Disebabkan itu, penulis sifatkan The Lego Movie sebagai salah sebuah filem animasi terbaik yang pernah dihasilkan dalam alaf ini.

Bukan hanya pembikinannya kemas, teliti dan inovatif tetapi lakon layar dan ceritanya juga segar dan memberikan sesuatu yang baharu ketika itu.

Justeru, apabila filem kedua Lego, The Lego Batman Movie dihasilkan, pastinya penulis tidak mahu melepaskan peluang menontonnya, lebih-lebih lagi selepas beberapa kali menonton sedutan filemnya, membuatkan penulis yakin penghasilannya tidak akan mengecewakan.

Ternyata telahan itu tidak silap apabila The Lego Batman Movie ternyata berjaya meneruskan kesinambungan kejayaan The Lego Movie dan tidak keterlaluan dikatakan, ia adalah yang terbaik.

Watak-watak adiwira ciptaan DC Comics seperti Superman, Wonder Woman, Martian Manhunter dan The Flash turut membuat kemunculan istimewa.

Seperti mana filem pertamanya, The Lego Batman Movie juga menjalinkan sinergi yang baik dan kemas antara animasi dan komedi lalu menjadikan ia sebagai sebuah filem yang seronok ditonton, dalam erti kata lain, ia adalah sebuah feel good movie.

Bukan sekadar filem animasi, tetapi penulis turut melihat The Lego Batman Movie sebenarnya memberikan penghormatan kepada dunia Batman yang mula diketengahkan dalam budaya popular sejak lebih lima dekad lalu.

Ini dapat dilihat dalam beberapa adegan apabila siri televisyen dan filem Batman sebelum ini disebut dan divisualkan dengan ringkas serta di’Lego’kan untuk menjadikan ia lebih menarik dan lebih dekat kepada audiens.

Malah, tidak salah untuk mengatakan filem arahan Chris McKay ini adalah filem baharu Batman tetapi dalam sentuhan yang berbeza.

Bahkan, lakon layar dan ceritanya juga memberikan satu perspektif baharu kepada dunia Batman sendiri yang jarang sekali diketengahkan dalam siri filem cereka Batman sebelum ini.

Babak antara Batman dan Robin turut menyelitkan unsur humor yang membuat penonton ketawa dan tersenyum.

Sehinggakan karakter Batman dalam filem ini mengakui ‘musuh’ utama yang paling tidak disukainya adalah Superman dan bukannya The Joker yang semua sedia maklum adalah seteru utamanya.

Disebabkan itulah, The Lego Batman Movie bukan sebuah filem animasi biasa tetapi ia membawa penonton untuk menyelami di sebalik dunia dan personaliti Batman yang selama ini disanjung dan diangkat sebagai adiwira di Bandar Gotham.

Malah, tidak keterlaluan untuk penulis mengatakan bahawa lakon layar The Lego Batman Movie jauh lebih baik daripada beberapa filem cereka Batman sebelum ini.

Ditambah pula dengan kemunculan istimewa karakter-karakter adiwira ciptaan DC Comics yang menjadikan filem ini seolah-olah lengkap dan membangkitkan rasa teruja.

Tidak hanya adiwira dan watak antagonis kelahiran DC Comics tetapi The Lego Batman Movie turut membuka ruang dan peluang dengan menampilkan watak-watak antagonis dalam filem lain yang juga telah di’Lego’kan dalam filem ini dan terus membangkitkan keterujaan sehingga akhir.

Penyanyi wanita tersohor dunia, Mariah Carey menyumbangkan suaranya untuk watak Datuk Bandar McCaskill.

Dalam masa yang sama, tidak dinafikan ada beberapa adegan yang penulis anggap ada cacat-celanya dan tidak kemas terutama action sequences pada permulaan filem ini apabila ia kelihatan kelam-kabut.

Tetapi kelemahan itu telah berjaya ditutup dengan baik dalam babak-babak seterusnya dan terus menjadikan The Lego Batman Movie sebagai filem animasi terbaik untuk permulaan tahun 2017.

Barangkali juga ia mampu tersenarai sebagai salah sebuah filem animasi terbaik sepanjang tahun dan seterusnya menebus kembali kekecewaan The Lego Movie yang gagal dicalonkan untuk Oscar bagi Filem Animasi Terbaik pada tahun 2015.

Sudah pasti, siri filem Lego ini sudah menjadi sebahagian dalam senarai filem kegemaran penulis dan sebagai peminat, penulis tidak sabar untuk menantikan sebuah lagi filem Lego, The Lego Ninjago Movie yang bakal ditayangkan pada September ini.

Dua lagi filem Lego iaitu filem sekuel The Lego Movie (2019) danThe Billion Brick Race juga telah diumumkan pembikinannya yang pasti akan membuatkan penonton dan penggemarnya tidak sabar menantikan tayangannya kelak.

** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

The Lego Batman Movie

Artikel Lain