FILEM: Hacksaw Ridge PENGARAH: Mel Gibson PELAKON: Andrew Garfield, Vince Vaughn, Sam Worthington, Teresa Palmer, Hugo Weaving dan Rachel Griffiths GENRE: Drama DURASI: 139 minit PENGEDAR: Walt Disney Pictures TARIKH TAYANGAN: 16 Februari 2016 DI SEBALIK permasalahan di Hollywood yang mula membangkitkan isu pengarah senior dan veteran yang semakin hilang pengaruh gara-gara beberapa filem mereka gagal meraih kutipan serta ulasan memberangsangkan tahun lalu, pengarah dan pelakon berkaliber, Mel Gibson membuktikan sebaliknya. Biarpun Gibson bukanlah seorang pengarah prolifik dan lebih dikenali sebagai aktor yang memiliki karisma tersendiri sewaktu zaman kegemilangannya, tetapi sebagai seorang pengarah, Gibson ada ideologinya sendiri. Jika diperhatikan kepada portfolionya sebagai seorang pengarah pula, setakat ini Gibson telah mengarahkan lima filem cereka sahaja sejak menduduki kerusi itu pada tahun 1993 dengan melahirkan karya pertamanya, The Man Without A Face. Menariknya, sentuhan Gibson dalam setiap filemnya mendapat kritikan positif dan kemuncaknya apabila filem kedua arahannya, Braveheart menghadiahkan beliau dengan trofi Oscar untuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada tahun 1995. Bahkan dua filem seterusnya,The Passion of the Christ (2004) dan Apocalypto (2006) juga terus mengukuhkan kedudukan Gibson sebagai salah seorang pengarah filem yang disegani dan dihormati di Hollywood lantaran subjek dan tema penceritaan yang disifatkan ramai pihak sebagai di luar norma. Tema filem 'Hacksaw Ridge' yang bersifat sejagat menjadikan ia sebagai antara karya terbaik. Lalu, selepas sedekad tidak mewarnai Hollywood dengan karya baharu, Gibson muncul dengan filem kelimanya, Hacksaw Ridge yang tidak syak lagi merupakan filem terbaiknya sekali gus terus mengembalikan kegemilangannya sebagai seorang anak seni selepas melibatkan diri dalam beberapa siri kontroversi yang hampir meranapkan statusnya sebagai bintang Gred A Hollywood dalam tempoh itu. Disebabkan itu penulis mengatakan, Gibson membuktikan bahawa pada usianya yang sudah mencecah 61 tahun itu, beliau masih mampu menghasilkan filem yang menggambarkan ideologinya sebagai seorang sutradara. Secara ringkasnya, Hacksaw Ridge yang diadaptasi daripada kisah benar seorang askar medik bernama Desmond Doss (lakonan Andrew Garfield) yang mempertahankan kepercayaan dan pegangan agamanya dengan tidak mahu menjadikan dirinya sebagai seorang askar di medan perang. Bagi Doss, seperti mana kepercayaan di dalam dirinya, membunuh seseorang itu walaupun terlibat dalam peperangan sesuatu yang bertentangan dengan kehidupan manusia yang seharusnya hidup dalam kerukunan dan aman damai. Dalam masa yang sama, Doss ingin terlibat dalam dunia tentera kerana mahu menyalurkan khidmat baktinya dengan membantu mereka yang tercedera di medan perang dan berpeluang memberikan harapan buat mereka meneruskan kehidupan. Filem 'Hacksaw Ridge' turut menyelitkan kisah cinta antara Desmond Doss dan Dorothy Schutte. Selaku pengarah, Gibson memang bijak mengeksploitasi cerita dan lakon layar tulisan Andrew Knight dan Robert Schenkkan untuk menjadikan ia sebagai satu penontonan yang bergerak dengan sempurna dari awal hingga akhir. Malah, Hacksaw Ridge memiliki keseimbangan yang tepat dan tidak menjadikan ia sebagai filem yang bertemakan peperangan semata-mata. Sebaliknya, kisah hidup Doss diceritakan dengan baik dan membuatkan penonton tidak sukar untuk menghadam keseluruhan ceritanya. Seperti mana penulis pernah katakan sebelum ini, membikin sebuah filem biografi yang diadaptasi daripada kisah benar adalah sesuatu yang cukup berisiko tinggi. Apatah lagi dengan tema dan latar belakang tentang Perang Dunia Kedua yang bukan mudah untuk menggamit penonton jika isinya terlalu berat. Tetapi itu tidak berlaku dalam Hacksaw Ridge meskipun ia dikategorikan dalam genre drama dan perang. Mel Gibson (bertopi) sewaktu di lokasi filem 'Hacksaw Ridge'. Separuh masa pertama filem ini adalah tentang kisah hidup Doss dan konflik yang berlaku di dalam keluarga selain unsur komersialisme tetap diselitkan dengan memaparkan kisah cinta Doss bersama Dorothy Schutte (Teresa Palmer). Kemudian, perhatian audiens dialihkan pula kepada perjalanan hidup Doss di kem tentera yang lebih dramatik dan memperlihatkan kebertahanan Doss berhadapan dengan dugaan dan ujian demi tanggungjawab serta janjinya kepada Tuhan. Kecemerlangan Hacksaw Ridge juga terletak kepada sinematografi oleh Simon Dugaan yang meninggalkan lebih impak buat filem ini selain suntingan yang penulis sifatkan sebagai Gred A oleh John Gilbert. Teknik suntingannya cukup kemas, teliti dan meletakkan aturan Hacksaw Ridge itu begitu teratur dan terus melengkapkan ia sebagai sebuah karya hebat. Dari sudut teknikal terutamanya efek bunyi, Hacksaw Ridge memberikan kepuasan maksimum di mana suntingan dan adunan bunyinya juga melengkapkan lagi kecemerlangan filem ini. Andrew Garfield memberikan lakonan memberangsangkan sebagai Desmond Doss. Namun, penulis cukup suka dengan tema dan premis filem ini yang bersifat sejagat terutama apabila ia membicarakan tentang pegangan agama, kepercayaan, semangat dan kekuatan yang sangat relevan dalam kekacauan serta kekalutan dunia hari ini. Antara babak yang boleh dikaitkan dengan tema yang penulis sebutkan itu adalah sewaktu babak kemuncak di mana Doss keseorangan di medan perang menyelamatkan askar yang tercedera seorang diri dengan menggunakan kudrat yang ada. Pada babak sewaktu dia berbicara dengan Tuhan untuk memberikannya kekuatan itu adalah momen penting dalam Hacksaw Ridge yang membuatkan kita percaya bahawa tiada yang berkuasa melainkan Yang Maha Esa untuk membantu kita mengharungi apa saja situasi. Disebabkan itu, apabila Hacksaw Ridge mendapat enam pencalonan dalam Anugerah Academy ke-89 yang akan berlangsung Ahad ini termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Gibson) dan Pelakon Lelaki Terbaik (Garfield), ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Mungkin Hacksaw Ridge tidak akan dijulang dalam kategori utama tetapi ia membuktikan bahawa Mel Gibson belum hilang magis sebagai seorang sutradara. Ibarat kata pepatah, makin tua, makin pekat santannya. *** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa. Mel Gibson (bertopi) sewaktu di lokasi filem 'Hacksaw Ridge'. Mel Gibson (bertopi) sewaktu di lokasi filem 'Hacksaw Ridge'.