suria

Menanti ‘Blade Runner 2049’ Selepas 35 Tahun

Walaupun durasinya hampir tiga jam, 'Blade Runner 2049' mendapat pujian pengkritik yang meletakkannya sebagai salah sebuah filem terbaik tahun ini dan filem sekuel terbaik sepanjang zaman.

FILEM: Blade Runner 2049

PENGARAH: Denis Villeneuve

PELAKON: Ryan Gosling, Harrison Ford, Anna de Arman, Robin Wright, Sylvia Hoeks, Dave Bautista dan Jared Leto.

GENRE: Sains Fiksyen/Thriler

DURASI: 164 minit

PENGEDAR: Sony Pictures Entertainment

TARIKH TAYANGAN: 5 Oktober 2017

SEWAKTU filem asal Blade Runner ditayangkan pada tahun 1982, penulis baru berusia dua tahun dan sekuat ingatan penulis, rasanya tidak pernah berpeluang menonton karya klasik arahan Ridley Scott itu.

Seandainya anda seorang peminat filem tetapi anda tidak menonton Blade Runner, portfolio filem tontonan anda tidak akan lengkap tanpa adanya filem tersebut yang tersenarai sebagai salah sebuah filem yang wajib ditonton.

Mujurlah beberapa hari sebelum Blade Runner 2049 di tayangkan di pawagam, stesen berbayar menayangkan Blade Runner di salah sebuah saluran lalu penulis tidak melepaskan peluang berkenaan.

Semuanya adalah sebagai persediaan sebelum Blade Runner 2049. Maklumlah, filem sekuel paling lama yang dinantikan selepas tiga dekad dan pastinya ia adalah salah sebuah karya yang ditunggu-tunggu tahun ini.

Jujurnya dan pandangan peribadi penulis, jika anda tidak menonton Blade Runner sekalipun, bukanlah satu masalah besar kerana garapan lakon layarnya mudah difahami dan tidak mengelirukan.

Bekas calon Oscar, Ryan Gosling memberikan lakonan yang berhak mendapat pujian.

Cuma, jika anda menonton Blade Runner terlebih dahulu, anda akan lebih memahami keseluruhan konsep penceritaan dan permasalahan yang memiliki hubung kait antara kedua-dua filem.

Seperti mana yang penulis katakan, Blade Runner 2049 tidak mempunyai masalah dari sudut penceritaan kerana selaku penulis lakon layar, tanggungjawab yang digalas oleh Hampton Fancher dan Michael Green telah dilunaskan dengan cemerlang sekali.

Kolaborasi Fancher dan Green telah membuahkan hasil di mana mereka berdua masih mengekalkan intipati konsep filem asalnya dan disebabkan itu, apabila menonton Blade Runner 2049, ia tidak kelihatan canggung mahupun pelik.

Sementelah Blade Runner yang dihasilkan pada tahun 1982 dianggap sebagai sebuah karya yang melangkaui zaman baik dari sudut tema, cerita dan visual, filem sekuelnya ini juga dilihat melengkapi filem asalnya.

Tetapi pastinya, jika dinilai dari sudut efek visual dan teknologi, sudah tentu tidak boleh dibandingkan dengan ketara kerana perlu juga mengambil kira pada zaman kedua-dua filem itu dihasilkan.

Biarpun kemunculan Harrison Ford tidak lama, namun, ia membangkitkan nostalgia filem asal Blade Runner.

Semestinya, dari aspek tersebut, Blade Runner 2049 memiliki kekemasan dan ketelitian termasuklah penataan seni walaupun masih mengekalkan elemen-elemen dari filem asalnya.

Sebagai pengarah yang boleh dianggap masih hijau dalam pengarahan filem cereka, bekas calon Oscar, Denis Villeneuve (Arrival, 2016) menampakkan jelas visi dan misinya dalam penghasilan Blade Runner 2049.

Dalam erti kata lain, Villeneuve berjaya memberikan kesinambungan yang tepat terhadap kejayaan pengarah handalan, Ridley Scott yang mengarahkan filem asal Blade Runner (Scott berperanan sebagai penerbit eksekutif Blade Runner 2049).

Skor muzik Blade Runner 2049 turut menjadi pelengkap dan pendokong kepada perjalanan filem itu dan ternyata hasil kerja bekas pemenang Oscar, Hans Zimmer dan Benjamin Wallfisch yang mengekalkan elemen muzik filem asal wajar mendapat pujian serta pencalonan Oscar tahun hadapan.

Biarpun Blade Runner 2049 merupakan sebuah filem sains fiksyen, jiwa dan emosinya dalam menceritakan tema serta subjek utamanya berhubung tentang kehidupan, manusia dan masalah sejagat cukup menyerlah.

Aspek teknikal dan visual Blade Runner 2049 berada dalam kelas tersendiri.

Ini dapat dilihat daripada lakonan bekas calon Oscar, Ryan Gosling sebagai K atau Joe yang menghidupkan wataknya sebagai seorang Replicant model baharu yakni manusia yang dicipta oleh syarikat milik Niander Wallace (lakonan bekas pemenang Oscar, Jared Leto).

Sebagai seorang Replicant yang telah diprogram untuk memburu dan menghapuskan model Replicant lama, K patuh pada arahan.

Dalam masa sama, dia mengimpikan untuk hidup seperti seorang manusia normal yang memiliki naluri dan emosi.

Disebabkan itu, K menganggap dirinya adalah manusia normal dan bukannya Replicant selepas ditugaskan untuk menyiasat sebuah kes misteri berhubung kehilangan seorang budak tiga dekad lalu.

Menyangkakan dia adalah budak yang hilang itu, jiwa dan emosinya terus hilang selepas dia bertemu dengan Rick Deckard (Ford, yang juga Blade Runner asal) yang menyelesaikan segala misteri.

Wright turut membintangi Blade Runner 2049.

Penulis meletakkan Blade Runner 2049 sebagai salah sebuah filem terbaik tahun ini dan filem sekuel terbaik selepas The Godfather II (1974) kerana jarang sekali filem sekuel dihasilkan setanding atau setara dengan filem asal.

Malah, Blade Runner 2049 tidak mempunyai masalah untuk menjadi sebuah cult classic seperti mana filem asalnya, cuma masalah besar apabila durasinya memakan masa hampir tiga jam.

Disebabkan itu jugalah, ia tidak mampu mencatatkan kutipan pembukaan yang gemilang di Amerika Syarikat minggu lalu apabila hanya mengutip AS$31.5 juta (RM132.8 juta) sahaja.

Walau apa pun, Blade Runner 2049 memang berbaloi ditonton walaupun perlu menunggu 35 tahun untuk dihasilkan.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain