FILEM: Midnight Runners PENGARAH: Kim Joo-hwan PELAKON: Park Seo-joon, Kang Ha-neul, Park Ha-sun dan Sung Dong-il GENRE: Aksi, ngeri dan komedi DURASI: 109 minit PENGEDAR: Atrinaga Sdn Bhd TARIKH TAYANGAN: 5 Oktober 2017 TAGISAN dalam debaran. Itulah gambaran paling tepat yang dapat berikan buat filem terbaharu dari Korea Selatan, Midnight Runners. Walaupun filem ini bukan filem sedih, namun dapat dizahirkan rasa sebak melihat kepada semangat dua anak muda yang begitu komited untuk menyelesaikan satu kes jenayah. Filem ini menampilkan gandingan Park Seo-joon dan Kang Ha-neul sebagai watak utama. Ki-joon (Park Seo-joon) dan Hee-yeol (Kang Ha-neul) telah bertemu apabila mereka mendaftarkan diri ke Universiti Polis Kebangsaan Korea. Salah satu babak yang mencuit hati penonton. Dua watak itu mula menjadi akrab setelah Ki-joon membantu Hee-yeol yang tercedera sewaktu latihan. Plot filem ini mula berkembang setelah dua sahabat itu menyaksikan satu kes penculikan berlaku sewaktu mereka keluar berhibur lewat malam. Kerana kecewa dengan pihak polis yang lambat bertindak, mereka mengambil keputusan untuk menyiasat sendiri kes penculikan tersebut. Perkembangan jalan cerita ini sangat menarik dan begitu mudah untuk difahami. Penulis hanya menonton sahaja tanpa perlu berfikir mengenai plot yang kompleks dan mengelirukan. Filem ini semakin menarik setelah Ki-joon dan Hee-yeol menemui bukti mengenai penculikan itu sehingga membawa mereka ke satu lokasi yang digunakan untuk mengurung mangsa culik. Apa yang mengejutkan, gadis-gadis itu diculik untuk diambil telur (ovum) mereka sebelum ia dijual kepada pasangan-pasangan mandul di negara itu. Melalui filem ini, ia mengangkat satu aktiviti jenayah yang jarang dipaparkan dalam filem lain. Jika sebelum ini, dadah dan pembunuhan sering diangkat sebagai tema utama bagi filem jenayah. Bersama pensyarah di Universiti Polis Kebangsaan Korea. Namun, Midnight Runners tampil berbeza apabila memaparkan kegiatan penjualan ovum secara haram. Dari segi aksi, penulis harus memberikan pujian terhadap filem ini. Aksi yang dipaparkan sangat kemas dan realistik sehingga membuat penonton berasa teruja dan berdebar sepanjang menyaksikannya. Midnight Runners turut diselitkan dengan aksi komedi terutamanya melibatkan watak Ki-joon yang kadang-kala agak dungu dan kelam kabut. Karakternya jauh berbeza dengan Hee-yeol yang lebih bijak dan mampu berfikir secara kritikal. Namun, kombinasi dua watak ini sangat serasi dan membuat penulis tersenyum sendiri. Watak Hee-yeol yang dibawa oleh Kang Ha-neul juga ternyata berbeza dengan watak yang dipegangnya sebelum ini. Suatu ketika dahulu, penulis sempat menonton satu siri drama Korea berjudul To The Beautiful You. Ki-joon dan Hee-yeol semasa mencari bukti kes jenayah penculikan. Melalui siri itu, dia hanya membawa watak sebagai seorang pelajar sekolah. Jadi, keterujaan untuk melihat bagaimana dia membawa watak yang jauh lebih mencabar dan memerlukan banyak permainan emosi dan aksi pertarungan. Ternyata dia mampu keluar dari imej remaja sekolah dengan membawa watak Hee-yeol dalam filem ini. Penonton mungkin merasakan pada mulanya filem ini agak skeptikal yang berkisarkan kehidupan penuntut universiti polis bagaimanapun ia mungkin silap. Malahan, filem ini membuat penulis berasa kagum dan semakin hormat dengan kerjaya sebagai anggota polis yang sentiasa bersedia untuk melindungi nyawa orang awam. Secara keseluruhan, garapan filem ini sangat bagus dan boleh disimpulkan Midnight Runners antara filem Korea terbaik dalam tahun 2017.