FILEM: Luqman PENGARAH: Mahadi J. Murat PELAKON: Wan Hanafi Su, Raja Ilya, Josiah Hogan, Nurjannah Mohd. Salleh dan Syed Mohamad Fuad Al-Atas GENRE: Drama DURASI: 92 minit PENGEDAR: Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia TARIKH TAYANGAN: 28 September 2017 MEMANG agak lama pengarah yang satu ini tidak mempamerkan hasil karyanya ke layar perak selepas kali terakhir naskhahnya yang dianggap sebagai sebuah masterpiece (mahakarya), Sayang Salmah ditayangkan pada tahun 1995. Ini bermakna sudah lebih dua dekad Mahadi J. Murat tidak muncul dengan sebarang filem baharu untuk tatapan khalayak filem tempatan yang pastinya tertanya-tanya apakah bekas penerima trofi Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-12 (1996) sudah tidak lagi aktif berkarya. Sementelah, Sayang Salmah yang sehingga kini diletakkan sebagai salah sebuah filem tempatan terbaik yang pernah dihasilkan, pastinya membuatkan peminat filem tempatan amnya meletakkan harapan untuk melihat karya terbaharu Mahadi di layar perak. Tanpa sebarang publisiti meluas dan hanya perkhabaran menerusi media, dalam diam, Mahadi memiliki karya baharu berjudul Luqman yang sudah pun ditayangkan pada 28 September lalu. Barangkali disebabkan filem Mahadi kali ini tidak memiliki nama dan wajah komersial yang mampu menarik perhatian ramai, maka, Luqman seperti dipinggirkan dan tidak diketahui kewujudannya. Luqman ditayangkan di pawagam bermula 28 September 2017. Memandangkan penulis sentiasa memberikan sokongan kepada filem tempatan walaupun kebanyakan filem lewat kebelakangan ini semuanya dihasilkan sama ada separa masak atau mentah, penulis masih tidak lokek untuk menontonnya di pawagam. Lalu, penulis tidak mahu melepaskan peluang menonton Luqman beberapa hari lalu dan percaya atau tidak, hanya penulis satu-satunya penonton di dalam panggung besar itu. Ini mempelihatkan khalayak tidak memberi sokongan pehuh kepada karya sebegini. Selepas lebih dua dekad tidak menghasilkan filem, pastinya penulis mahu melihat apakah yang cuba dipersembahkan oleh Mahadi menerusi Luqman. Apatah lagi, beliau mempertaruhkan Wan Hanafi Su yang cukup dikenali sebagai aktor berkaliber sebagai teraju utama. Lakonan mantap Wan Hanafi Su. Adakah Luqman berjaya menjadi setara atau lebih hebat daripada Sayang Salmah? Jawapan jujur penulis itu tidak akan terjadi. Bahkan, Luqman juga bukanlah filem terbaik daripada Mahadi yang pernah mengarahkan dua filem lain sebelum ini iaitu Wanita Bertudung Hitam (1992) dan Roda Roda (1985). Filem Luqman memiliki falsafahnya sendiri terutama dalam soal seni dan budaya yang cuba dikupas oleh Mahadi jika mengambil konteks senario yang berlaku di dalam masyarakat Melayu khususnya hari ini. Penulis tidak menolak untuk mengatakan bahawa falsafah yang cuba diketengahkan oleh Mahadi ini memang sesuatu yang baharu dan rasanya jarang berlaku dalam filem tempatan era ini. Tidak dinafikan, Luqman bermula dengan baik apabila wataknya diperkenalkan satu-persatu dan menggambarkan kehidupan suami isteri antara Luqman (lakonan Wan Hanafi Su) dan Ayu Kencana (Raja Ilya). Raja Ilya. Kedua-duanya berada dalam landasan seni tetapi yang membezakan ideologi mereka apabila kepakaran Luqman di dalam dunia kesusasteraan manakalah jiwa Ayu ke arah seni tarian Melayu. Dalam masa yang sama, muncul seorang jejaka tampan, Marwan Al-Hadi (Josiah Hogan) yang dalam diam mencintai Ayu selepas menjadi pembantunya. Malah, dia turut menggunakan khidmat Luqman sebagai rujukan untuk membantunya dalam penyediaan tesisnya. Namun, pergerakan cerita ini lama-kelamaan menjadi semakin perlahan dan konflik yang mula timbul itu tidak mencengkam jiwa untuk menjadikan Luqman sebagai sebuah karya yang puas ditonton. Sebagai penonton, penulis mengharapkan sesuatu yang lebih memberikan impak akan terjadi sebaik sahaja konflik timbul antara Luqman dan Ayu selepas Luqman berasa tercabar melihat Ayu menari bersama Marwan dalam keadaan yang boleh dikatakan intim pada mata Luqman. Konflik rumah tangga yang berlaku seterusnya itu pula pada pengamatan penulis agak biasa dan sesuatu yang mudah dijangka sehinggakan penulis merasakan tajuk ini lebih layak untuk ditukar kepada Ayu Kencana kerana fokus cerita ini lebih terarah kepada watak Ayu itu sendiri. Josiah Hogan dan Raja Ilya bergandingan dalam Luqman. Dalam satu aspek lain pula, penulis melihat Luqman umpama sebuah pementasan teater versi filem memandangkan skrip dan dialognya tersusun dan ditulis sedemikian rupa. Seperkara yang kurang menarik tentang Luqman apabila warna filem ini tidak berupaya memberikan tarikan menontonnya kerana ia seolah-olah membawa penonton ke dunia masa silam yakni lewat tahun 80-an dan awal tahun 90-an. Kelemahan Luqman juga terletak kepada lakonan Raja Ilya dan Josiah Hogan yang mana watak dipersembahkan itu hanyalah sekadar di permukaan dan tidak memiliki jiwa besar yang sepatutnya. Penulis tidak pasti sama ada suara Raja Ilya yang digunakan untuk wataknya kerana lontaran suaranya agak menganggu mood. Kedengaran seperti menggunakan suara wanita lain kerana ada ketika kelihatan gerak bibir tidak selari dengan pengucapan dialognya. Seperti mana yang penulis katakan, jika filem ini fokusnya lebih kepada Ayu dan pergolakan jiwanya antara seni, budaya serta peranannya sebagai seorang wanita dan isteri diteroka dengan lebih mendalam, ia akan menjadi sebuah filem yang dapat mengangkat martabat wanita dan berdiri dengan megahnya. ***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.