suria

Pengembaraan Penuh Momentum ‘Star Wars: The Last Jedi’

'Star Wars: The Last Jedi' berjaya meneruskan legasi dan mengukuhkan jenama 'Star Wars'.

Filem: Star Wars: The Last Jedi

Pengarah: Rian Johnson

Pelakon: Mark Hamill, Carrie Fisher, Daisy Ridley, Adam Driver, John Boyega, Oscar Isaac, Laura Dern, Andy Serkis dan Kelly Marie Tan

Genre: Sains Fiksyen

Durasi: 152 minit

Pengedar: Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan: 14 Disember 2017

APA sahaja melibatkan francais filem Star Wars, pastinya akan mendapat perhatian yang cukup besar seiring dengan statusnya sebagai francais filem paling berkuasa di dunia.

Ditambah pula dengan pengikut tegar ‘mazhab’ Star Wars yang bukan mudah untuk dipuaskan setiap kali munculnya filem-filem baharu daripada francais filem itu, pastinya Lucasfilm dan Walt Disney Studios Motion Pictures berhadapan laluan sukar sebelum menzahirkan sebarang projek baharu di bawah jenama Star Wars.

Terbaharu, filem kelapan dalam francais filem yang dicipta oleh George Lucas pada tahun 1977 itu, Star Wars: Episode VIII – The Last Jedi (secara rasminya, judulnya seperti ini jika diikut kepada format asal ciptaan George Lucas) atau Star Wars: The Last Jedi (ringkasnya, The Last Jedi) tidak terkecuali berhadapan dengan rasa ketidak puasan ‘penganut’ mazhabnya.

Pun begitu, masalah yang timbul itu hanyalah berpunca daripada sekelompok peminat tegar Star Wars ini yang kecewa apabila penceritaan The Last Jedi tidak selari dengan teori yang dikemukakan oleh mereka dalam menyelesaikan setiap persoalan.

Walaupun penulis adalah pengikut setia francais filem Star Wars dan menonton kesemua sembilan filemnya (termasuk antologi Rogue One: A Star Wars Story, tahun lalu), tetapi penulis tidaklah fanatik seperti segelintir mereka yang lain.

Watak Rey dan Luke Skywalker yang masing-masing dilakonkan oleh Daisy Ridley (kiri) dan Mark Hamill yang berhadapan dengan konflik dalam mencari diri mereka sebenar.

Jika filem ketujuhnya, Star Wars: The Force Awakens (2015) lebih kepada pengenalan watak-watak selain memberi naratif baharu kepada aspek penceritaan, The Last Jedi lebih terarah kepada penceritaan watak-wataknya dalam mencari diri mereka sebenar.

Penulis melihat naskhah tulisan Rian Johnson yang juga pengarah filem ini memiliki keseimbangan lalu menjadikan The Last Jedi sebagai sebuah karya yang bersimetri.

Apabila memperkatakan tentang simetri, pastinya rujukan paling mudah adalah kesempurnaan dan itulah yang penulis sifatkan untuk The Last Jedi walaupun hakikatnya ia tetap memiliki kekurangan.

Simetri yang penulis maksudkan di sini apabila naratif dan lakon layarnya memiliki pembahagian yang sempurna dalam aspek penceritaan tentang watak hitam dan putih seperti mana pernah dilakukan Lucas, 40 tahun lalu.

Perkembangan cerita The Last Jedi itu berfokus dan mempunyai hala tuju tanpa perlu membuat penonton memikirkan terlalu dalam serta meninggalkan banyak tanda tanya kerana ia bergerak seiring dengan tempo yang ditetapkan.

Gandingan Kelly Marie Tan (kiri) dan John Boyega ada keserasian.

Penonton dapat merasakan keseimbangan itu setiap kali cerita tentang watak protagonis, Rey (lakonan Daisy Ridley) dan si antagonis, Kylo Ren atau nama asalnya, Ben Solo (Adam Driver).

Setiap kali kedua-dua watak ini muncul, perasaan ingin tahu dalam diri itu akan timbul untuk mengetahui lebih lanjut siapakah sebenarnya dan apakah hubungan antara Rey dan Kylo Ren sehingga pelbagai teori ditimbulkan oleh peminat tegar Star Wars.

Apatah lagi dengan kehadiran Luke Skywalker (Mark Hamill) yang menambahkan lagi perasaan meluap-luap di dalam diri penonton yang barangkali melihatkan dirinya memiliki dua personaliti berbeza.

Di sinilah terletaknya kreativiti Johnson selaku penulis dan pengarah yang berjaya memberikan satu misteri terhadap The Last Jedi kerana sudah tentu, Johnson tidak mahu karyanya dilihat dan diambil mudah begitu sahaja.

Sementelah The Last Jedi merupakan filem kedua dalam siri trilogi baharu selepas filem Star Wars: The Force Awakens, secara logiknya, akan ada filem ketiga dan terakhir (judul sementara adalah Star Wars IX) dalam trilogi ini yang akan merungkai segala misteri.

Star Wars: The Last Jedi merupakan filem terakhir mendiang Carrie Fisher dan berakhirnya salah satu watak ikonik dalam sejarah sinema dunia.

Bukankah itu strategi untuk terus mengukuhkan jenama Star Wars selaku francais filem paling berkuasa di dunia? Seandainya semua diceritakan dalam The Last Jedi, ia tidak akan menjadi sesempurna seperti mana yang telah dilakukan oleh Johnson.

Dari sudut aspek lain, penulis juga melihat The Last Jedi memberikan penghormatan kepada Lucas selaku pencipta Star Wars dengan mengekalkan beberapa elemen yang sudah sinonim dengan jenama itu dalam setiap filem yang dihasilkan sebelum ini.

Dalam konteks ini terutama aspek teknikal seperti skor muzik cemerlang oleh John Williams, suntingan, sinematografi, efek visual, penataan seni, rekaan busana dan suntingan bunyi semuanya melengkapkan The Last Jedi menjadi sebuah karya bersimetri seperti yang penulis maksudkan di perenggan atas.

Biarpun Lucas bukan lagi pemilik sah Star Wars selepas beliau menjual hak penerbitannya kepada Walt Disney, itu bukan tiket untuk Disney melakukan sesuka hati mereka.

Justeru, The Last Jedi masih lagi memiliki nilai sentimental dan acuan Lucas kerana waima apa yang terjadi, Star Wars tidak boleh diubah secara drastik kerana itu hanya akan mengikiskan jiwa sebenar cerita perang galaksi itu.

Sesuatu yang menarik tentang The Last Jedi apabila keseimbangan itu juga dapat dilihat dengan memperluaskan peranan dan watak wanita yang bukan klise dalam filem yang dilihat didominasi oleh lelaki.

Sebagai contoh, kemunculan watak Timbalan Laksamana Amilyn Holdo (Laura Dern) yang mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Jeneral Leia Organa (mendiang Carrie Fisher) serta watak Rose Tico (Kelly Marie Tan) yang membuktikan bahawa mereka mampu melakukan sesuatu yang sebelum ini sering dilakukan oleh kaum lelaki.

Selaku filem yang boleh dikategorikan sebagai filem pengembaraan, The Last Jedi memang cukup menghiburkan walaupun kelemahan utamanya adalah durasinya yang memakan masa selama 2 jam 32 minit (filem Star Wars yang paling lama durasinya).

Di sebalik menikmati pengembaraan The Last Jedi, babak pertemuan antara Luke dengan kembarnya, Leia telah menghadirkan rasa sebak dan pilu untuk penulis sehingga bergenang air mata.

Sudah pasti, ia merupakan filem terakhir Fisher yang meninggal dunia hampir setahun lalu dan rasa sedih itu adalah kerana mengenangkan watak Luke dan Leia itu sendiri telah meninggalkan impak cukup besar dalam sejarah sinema dunia sehingga mampu menjadikan Star Wars sebagai satu jenama luar biasa.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017. Penulis juga adalah seorang bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Star Wars: The Last Jedi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain