suria

‘Molly’s Game’ – Intergriti Wanita Dalam Dunia Lelaki

Bekas calon Oscar, Jessica Chastain telah memberikan lakonan cemerlang dalam filem ‘Molly’s Game’.

Filem: Molly’s Game

Pengarah: Aaron Sorkin

Pelakon: Jessica Chastain, Idris Elba, Kevin Costner, Michael Cera, Jeremy Strong dan Chris O’Dowd.

Genre: Drama

Durasi: 140 minit

Pengedar: MM2 Entertainment Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 8 Februari 2018

JUJURNYA, penulis mengambil sedikit masa untuk memilih filem yang hendak diulas untuk kolum Wayang minggu ini memandangkan ada tiga filem yang penulis rasakan cukup hebat dan wajar untuk diberikan ulasan.

Tiga filem yang penulis sempat tonton di pawagam beberapa hari lalu merupakan karya dari Hollywood yang meraih perhatian dalam tempoh musim anugerah kali ini iaitu Battle of the Sexes, Darkest Hour dan Molly’s Game.

Namun, penulis memilih untuk mengulas Molly’s Game minggu ini atas beberapa faktor dan pastinya kriteria utama pemilihan itu adalah kerana penulis meletakkan Molly’s Game sebagai salah sebuah karya terbaik untuk edisi 2017/2018.

Bukan sekadar omongan kosong dan sengaja mahu memberikan penghargaan setinggi itu untuk Molly’s Game tetapi penulis melihat filem cereka pertama arahan bekas pemenang Oscar, Aaron Sorkin itu hadir tepat pada waktu ketika Hollywood dilanda gelombang tsunami berhubung hak dan keadilan terhadap wanita.

‘Molly’s Game’ antara filem terbaik yang telah dihasilkan di Hollywood pada 2017.

Dari minit pertama filem ini bermula, ia tidak perlu menunggu lama untuk membuatkan penulis terus tertancap pada layar lebar untuk menikmati sebuah persembahan yang memang memberikan kepuasan maksimum kepada penulis.

Tidak dinafikan, penulis agak skeptikal pada awalnya tentang Molly’s Game (ya, penulis jarang membaca ulasan lain sebelum pergi menonton) kerana merasakan ia akan menjadi sebuah karya yang klise berhubung wanita.

Namun, perasaan itu perlahan-lahan terhakis sepanjang perjalanan filem ini dan penulis menyifatkan lakon layar ciptaan Sorkin untuk Molly’s Game telah mengangkat kedudukan wanita pada kedudukan sebetulnya.

Maka itu, tidak hairanlah apabila Sorkin menerima beberapa pencalonan dalam anugerah berprestij di Hollywood dalam musim anugerah kali ini termasuk Oscar yang akan datang dalam kategori Lakon Layar Adaptasi Terbaik.

Untuk pengetahuan, lakon layar Molly’s Game diadaptasi daripada memoir tulisan Molly Bloom yang menceritakan kehidupannya dari seorang bintang sukan Olimpik sehingga menjadi seorang pengendali permainan pakau (poker) ternama di kalangan golongan elit, ternama dan hartawan di Amerika Syarikat sebelum dijatuhkan.

Jessica Chastain dan Idris Elba memiliki keserasian yang menjadikan gandingan mereka hidup di layar lebar.

Sehubungan itu, menonton Molly’s Game ibarat seperti membaca memoirnya secara fizikal apabila segala rencah yang diperlukan untuk menjadikan Molly’s Game sebuah filem yang hebat sememangnya cukup.

Penulis tidak mengatakan Molly’s Game adalah sempurna tetapi ia menghampiri kesempurnaan apabila aspek teknikal terutama suntingan, sinematografi dan skor muzik yang turut mendokong kepada kecemerlangan pembikinan filem ini.

Untuk mengadaptasi sebuah nakshah yang diangkat daripada kisah hidup seseorang memang bukan sesuatu yang mudah. Semuanya harus berfokus dan tepat kerana jika tersasar jauh, ia akan menjadi sebuah karya yang mengundang penonton untuk menguap beberapa kali sebelum tertidur di dalam pangggung.

Tetapi itu tidak berlaku dalam Molly’s Game. Sebagai penonton, penulis mudah mengikuti setiap babak dan adegan filem ini yang memfokuskan tentang kehidupan Bloom sebenarnya telah digarap dengan cukup menarik.

Disebabkan itu, menonton karya Sorkin ini telah memberikan satu perspektif berbeza terhadap golongan wanita yang sudah acap kali digambarkan dalam acuan yang stereotipikal dan ada kalanya bersifat negatif.

Berbicara dalam konteks yang lebih luas pula, penulis tidak menafikan bahawa watak Bloom itu (lakonan Jessica Chastain) bukanlah layak untuk dijadikan sebagai idola tetapi aura positif daripadanya itu wajar diberikan perhatian.

Penonton dibawa ke dalam dunia Bloom dan bagaimana dia mengharungi kehidupan awalnya sehingga dewasa dalam dunia lelaki yang sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk kaum Hawa.

Salah satu babak filem ‘Molly’s Game’ yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Sudahlah dibesarkan dan sering dimomokkan dengan permainan psikologi oleh bapanya, Larry (Kevin Costner) yang mahu menjadikannya sebagai pemain Olimpik dan menjadi juara dunia, tetapi ‘penderaan’ yang dialami Bloom tidak terhenti di situ.

Ia berlanjutan menebalkan muka dan pendiriannya dengan bekerja sebagai pembantu kepada Dean Keith (Jeremy Strong) yang secara terang-terangan mendera Bloom secara psikologi sebelum mengheret Bloom ke dunia baharu yang kemudiannya mengubah kehidupan Bloom secara total.

Tidak mahu dirinya terus diperkotak-katikkan, Bloom kemudiannya membalas dendam kepada Keith dengan memulakan perkhidmatan pengendalian permainan pakaunya sendiri dengan merampas semua klien Keith dan mengembangkan perniagaannya itu.

Seperti mana yang penulis sebutkan di awal tadi berhubung aspek positif tentang watak Bloom itu, penulis melihat bagaimana tebalnya sifat intergriti seorang wanita bernama Molly Bloom.

Walaupun terpaksa berjuang bersendirian dalam dunia lelaki, tetapi Bloom masih mempertahankan harga diri dan intergritinya sebagai seorang wanita tanpa perlu menggadaikan tubuh mahupun menjual dirinya dalam mengecapi apa yang dikehendakinya.

Bekas pemenang Oscar, Kevin Costner memegang watak sebagai Larry Bloom, bapa kepada Molly Bloom lakonan Jessica Chastain.

Secara harafiahnya, perniagaan yang dilakukan oleh Bloom seperti mana yang dipaparkan sebenarnya bukanlah sesuatu yang haram atau tidak sah kerana Bloom sendiri mengendalikannya dengan secara terhormat dan jujur.

Tetapi memandangkan Bloom seorang wanita, ia membuatkan kaum lelaki tidak senang duduk dengan kejayaannya dan mahu menjatuhkannya sehingga akhirnya pihak FBI menahan lalu mendakwanya di mahkamah.

Intergriti Bloom juga menyerlah apabila dia sendiri mahu menyerahkan dirinya dengan menyatakan dirinya bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakannya walaupun dihalang oleh peguamnya, Charlie Jaffey (Idris Elba).

Atas faktor-faktor inilah, penulis memang berani mengatakan bahawa Molly’s Game adalah sebuah karya terbaik apabila ia tidak cuba untuk memaparkan wanita dalam situasi negatif.

Pengarah dan penulis lakon layar filem ‘Molly’s Game’, Aaron Sorkin (tengah) bersama-sama Jessica Chastain (kanan) dan Molly Bloom yang sebenar (kiri) dalam satu acara di Hollywood.

Sebaliknya Molly Bloom menjadi satu representasi terhadap wanita moden yang terpaksa berhadapan stigma lapuk dalam dunia lelaki yang penuh kejam walaupun sebenarnya dia mempunyai pilihan yang lebih baik untuk menikmati kehidupan lebih bermakna.

Dari aspek lakonan, penulis menyifatkan Chastain yang merupakan bekas calon Oscar sebanyak dua kali itu telah memberikan persembahan terbaik sepanjang kariernya sebagai seorang aktres yang dihormati di Hollywood.

Persembahan lakonannya cukup menyakinkan, hebat dan jelas menampakkan jiwanya dalam watak Molly Bloom (ada beberapa ketika penulis melihat dirinya seperti Angelina Jolie) lalu membuktikan bahawa bakat lakonannya tidak wajar dipandang enteng.

Penulis tertanya juga mengapa namanya tidak menjadi perhatian dalam musim anugerah kali ini kerana Chastain memang layak untuk diberikan tempat sebagai salah seorang calon Oscar untuk Pelakon Wanita Terbaik.

*** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Caption:

Artikel Lain