suria

Perspektif Baharu Dunia Adiwira Dalam ‘Black Panther’

Filem 'Black Panther' disifatkan sebagai terbaik yang diterbitkan oleh Marvel Studios.

Filem: Black Panther

Pengarah: Ryan Coogler

Pelakon: Chadwick Boseman, Michael B. Jordan, Lupita Nyong’o, Danai Gurira, Andy Serkis, Daniel Kaluuya, Angela Bassett, Martin Freeman dan Forest Whitaker

Genre: Aksi/Drama

Durasi: 135 minit

Pengedar: Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan: 15 Februari 2018

SEJAK watak Black Panther membuat kemunculan yang hebat dalam filem Captain America: Civil War (2016), ramai yang tidak sabar menantikan Black Panther muncul dengan filem solonya sendiri.

Strategi Marvel Studios yang memperkenalkan Black Panther kepada khalayak filem ketika itu ternyata berkesan dan meninggalkan impak yang bukan sedikit lalu membuatkan Marvel Studios tidak menunggu lama untuk menghasilkan filem solo Black Panther.

Namun, persoalan yang mula berlegar di pemikiran peminat untuk melihat hasilnya sama ada ia mampu menjadi sebuah filem adiwira luar biasa mahupun hanya mengikut acuan seperti mana yang telah dihasilkan Marvel Studios sebelum ini.

Watak T’Challa atau Black Panther telah dijayakan dengan cemerlang oleh Chadwick Boseman.

Sementelah, Black Panther bukan calang-calang adiwira dan ia merupakan watak komik yang mengangkat golongan kulit hitam ke satu tahap yang membanggakan. Disebabkan itu, ramai yang menantikan kemunculan filem cereka Black Panther dan mengharapkan magis daripadanya.

Mula ditayangkan di pawagam tempatan sejak 14 Februari lalu, ternyata fenomena Black Panther sudah mula menular. Ditambah pula dengan respons positif yang luar biasa diberikan oleh wartawan dan pengkritik filem di Hollywood menjadikan Black Panther amat dinanti-nantikan.

Penulis yang berkesempatan menonton filem Black Panther di sebalik kemeriahan filem-filem berbahasa Cina sempena perayaan Tahun Baru Cina minggu lalu harus mengakui bahawa filem ketiga (pertama untuk filem berbajet besar) arahan Ryan Coogler (Creed, 2015) ini telah mengangkat martabat seorang adiwira ke satu tahap yang membanggakan.

Bukan seperti filem adiwira konvensional, tetapi Black Panther berjaya mengimbangi ceritanya antara komersial dan juga kritikan sosial yang menjadikan lakon layar yang ditulis oleh Joe Robert Cole dan Cooger sendiri berdiri dengan cukup megah.

Disebabkan itu, penulis meletakkan Black Panther di kedudukan teratas sebagai filem solo adiwira Marvel Studios terbaik selepas Doctor Stranger (2016) dan Ant-Man (2015) yang menjadi kegemaran penulis.

Filem Black Panther menyaksikan gabungan pelakon kulit hitam popular dan terbaik dalam mewarnai watak masing-masing.

Lebih menyeronokkan menonton Black Panther apabila keseluruhan pelakon filem ini adalah daripada mereka yang berkulit hitam. Bukan mudah untuk menonton filem yang menggabungkan para pelakon kulit hitam seperti Black Panther di kala pasaran filem dunia masih lagi belum membuka pintu sepenuhnya untuk golongan minoriti.

Ditambah pula barisan pelakonnya bukan sahaja yang popular tetapi daripada mereka yang terbaik dan memenangi serta tercalon anugerah seperti Angela Bassett, Forest Whitaker, Sterling K. Brown, Daniel Kaluuya dan Lupita Nyong’o.

Penulis melihat tempat kelahiran Black Panther atau alter egonya, T’Challa (lakonan Chadwick Boseman), Wakanda mewakili kehebatan golongan kulit hitam di sebalik gambaran dan stigma lapuk serta stereotaip yang sering membelenggu kaum ini.

Wakanda diibaratkan sebagai satu perlambangan bahawa golongan minoriti sebenarnya mampu bangkit dan berdiri setanding dengan kuasa besar lain serta menjadi penggerak kepada mereka yang mahu mengubah kedudukan mereka sehingga dihormati dan dicemburui.

Di sinilah bermulanya pengolahan cerita yang kemudiannya membawa kepada pelbagai lapisan yang cukup menarik untuk diceritakan sekaligus naskhah Black Panther ini berada dalam kelas tersendiri.

Meskipun Wakanda digambarkan sebagai kuasa mereka di sebalik kemegahan dunia luar yang memandang mereka sebagai kelas ketiga, dalam masa yang sama rakyat Wakanda tidak mudah beralah kepada modenisasi.

Bekas pemenang Oscar, Lupita Nyong’o (kiri) sebagai Nakia dan Letitia Wright sebagai Shuri dalam filem Black Panther.

Buktinya, apabila Wakanda masih berpegang teguh kepada akar umbi mereka dengan mengimbangi antara dunia moden dan tradisional dalam pelbagai aspek termasuk perubatan, pakaian dan pertuturan mereka.

Bukan itu sahaja, lapisan demi lapisan yang diketengahkan dalam Black Panther juga sebenarnya satu refleksi kepada umat manusia hari ini yang sentiasakan dahagakan kuasa, jawatan dan kedudukan tetapi melakukannya dengan cara yang negatif.

Ini dapat dilihat bagaimana Erik “Killmonger” Stevens atau N’Jadaka (Michael B. Jordan) yang mahu membalas dendam di atas kematian bapanya, N’Jobu (Sterling K. Brown) dengan merampas kedudukan T’Challa.

Akan tetapi, meskipun Erik Killmonger dipaparkan dengan perwatakan negatif tetapi dia tetap menghormati budaya dan adat Wakanda dalam melantiknya sebagai raja yang sah dengan cara yang betul tanpa perlu tersasar dari landasan.

Pun begitu, Black Panther mengimbangi situasi berkenaan dengan pemaparan watak T’Challa atau Black Panther itu sendiri yang membuktikan bahawa di sebalik kedudukannya sebagai pemerintah Wakanda dan seorang adiwira, dia juga sebenarnya adalah manusia biasa.

Babak pertarungan antara N’Jadaka (kanan) dan T’Challa merupakan momen penting dalam mengupas isu kekuasaan dan kedudukan dalam sesebuah negara.

Situasi ini dapat dilihat bagaimana T’Challa berhadapan dengan kritikan dan sinikal daripada masyarakat Wakanda terutama W’Kabi (Daniel Kaluuya) apabila gagal membawa pulang penjahat yang dikehendaki oleh kerajaan Wakanda, Ulysses Klaue (Andy Serkis).

Disebabkan itu, T’Challa dilihat sebagai lemah dan tidak berupaya menjadi pemerintah yang diinginkan oleh Wakanda sedangkan personaliti T’Challa bukan seperti lelaki gagah lain yang tipikal.

Perlambangan dan metafora yang ditonjolkan seperti inilah menjadikan Black Panther begitu mudah diterima baik sekaligus menjadikan ia sebagai satu realisme tetapi dalam dunia fiksyen.

Dari sudut pandang yang berbeza, kehebatan Black Panther juga terserlah apabila keseimbangan dan kekuasaan jantina itu dilakukan seadilnya terutama dalam mengangkat martabat kaum wanita kulit hitam dalam dunia moden.

Michael B. Jordan memberikan lakonan yang memberangsangkan sebagai watak antagonis.

Sebagai contoh, adik T’Challa, Shuri (Letitia Wright) dipaparkan sebagai seorang yang bijak, berkeyakinan diri, positif dan memiliki humor serta seorang pakar dalam sains dan teknologi.

Begitu juga dengan Okoye (Danai Gurira) yang digambarkan sebagai seorang wanita gagah, setia kepada pemerintah dan sanggup mempertahankan negaranya biarpun dia tahu apabila N’Jadaka mengambil alih tampuk kepimpinan, ia akan bertukar menjadi sesuatu yang buruk.

Penulis menyifatkan pemilihan pelakon Black Panther adalah terbaik dan menepati watak masing-masing walaupun ada di antara mereka bukan watak utama.

Tetapi, itu bukan satu masalah kerana setiap watak ditonjolkan dengan seimbang tanpa ada isu membayangi antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, setiap watak itu menyokong dan melengkapi antara satu sama lain.

Garapan cerita dan lakon layar Black Panther juga bukanlah hendak menunjukkan watak adiwira itu mendominasi keseluruhan perjalanan cerita. Sebaliknya, ia memiliki kesamarataan untuk menonjolkan golongan minoriti ini adalah wira kepada kaum mereka waima apa jua kedudukan mereka.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017  (Akifma) dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Black Panther, Wayang

Artikel Lain