suria

Buka Mata, Minda Tonton ‘The Post’

Salah satu babak 'The Post' yang menampilkan Meryl Streep dalam dunia media yang dimonopoli kaum lelaki.

Filem: The Post

Pengarah: Steven Spielberg

Pelakon: Tom Hanks, Meryl Streep, Sarah Paulson, Bob Odenkirk, Matthew Rhys dan Alison Brie.

Genre: Sejarah

Durasi: 1 Jam 57 Minit

Pengedar: United International Pictures Malaysia

Tarikh Tayangan: 8 Mac 2018

BAGI penggemar filem antarabangsa, Steven Spielberg bukanlah satu nama yang asing. Pembikin filem terkenal itu sudah menghasilkan banyak filem hebat sepanjang kerjayanya seperti Jurrasic Park, Jaws, Lincoln, War Horse dan A.I Artificial Intelligence.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menonton karya terbaharu pemenang kategori pengarah terbaik Anugerah Akademi itu yang berjudul The Post.

Reputasinya sebagai pengarah hebat membuatkan harapan tinggi diletakkan untuk karya itu.

Ternyata, The Post bukan satu karya ringan yang boleh dihadam dengan mudah oleh penonton. Namun, karya itu cemerlang hasil sentuhan magis pengarah itu.

Sepanjang tayangan, penulis bukan sekadar menonton tetapi perlu berfikir bagi memahami plot cerita itu yang agak berat.

Dibintangi pelakon hebat seperti Tom Hanks dan Meryl Streep, The Post membawa penulis untuk melihat satu perspektif berbeza dunia media dan kewartawanan di Amerika Syarikat.

Apa yang jelas, intipati utama filem ini dekat di hati penulis. Ia berkisar mengenai bagaimana syarikat akhbar cuba melaporkan satu rahsia negara yang tersimpan selama 30 tahun, ia membuka mata penulis dengan lebih jelas mengenai kebebasan akhbar di negara itu.

Segalanya bermula apabila sebuah akhbar membongkar rahsia kerajaan Amerika Syarikat mengenai apa yang telah berlaku sewaktu perang Vietnam.

Apa yang cuba disembunyikan adalah hakikat sebenar mengenai komplot dan situasi perang itu yang disembunyikan oleh presiden Amerika Syarikat sendiri.

Rahsia yang tersimpan rapi selama 30 tahun itu bagaimanapun diedahkan oleh akhbar Times.

Nasib tidak menyebelahi mereka apabila Peguam Negara mengarahkan supaya menghentikan operasi.

Lakonan Meryl Streep dalam karya terbaharu Steven Spielberg ini ternyata memberi kesan kepada penonton.

Pesaing mereka, The Post melihat apa yang berlaku ke atas Times adalah satu peluang untuk mereka menyerlah kehadapan dan meningkatkan keuntungan syarikat.

Mereka turut memperolehi dokumen mengenai rahsia itu, tapi bagaimana harus mereka menulis berita agar tidak menerima padah yang sama seperti The Post.

Menerusi karya ini, watak Meryl Streep, seorang wanita yang memegang jawatan tinggi dalam organisasi akhbar begitu menyerlah.

Walaupun karya ini membawa intipati yang lebih penting iaitu mengenai ketelusan akhbar dan integriti rahsia negara, isu diskriminasi jantina turut diselitkan.

Misalnya, filem ini memaparkan bagaimana Meryl atau nama wataknya, Katherine Graham sering berhadapan dengan kaum lekaki di sekelilingnya dalam dunia media.

Salah satu babak yang dipaparkan dalam filem 'The Post'.

Seperti dijangka, lakonan Meryl sangat memberi impak dan berjaya memberi warna terhadap filem itu.

Begitu juga Tom Hanks, pelakon berpengalaman itu membawa watak sebagai ketua editor dan lakonannya sangat cemerlang, seiring dengan reputasinya.

Ternyata, keputusan Steven untuk meletakkan gandingan Meryl dan Tom sebagai teraju filem ini adalah sesuatu yang tepat.

Lakonan mereka berdua sahaja sudah begitu mantap dan membawa karya ini ke satu tahap yang lebih tinggi kerana kewibawaan mereka sebagai antara pelakon terhebat negara itu.

Namun, pelakon-pelakon lain tidak kurang hebatnya. Sebagai contoh, watak wartawan pelatih yang berjaya mencuri masuk ke syarikat akhbar pesaing untuk melihat draf muka hadapan akhbar mereka juga sangat menonjol walaupun kemunculannya hanya seketika.

Begitu teliti Steven menghasilkan karya ini sehingga watak-watak kecil juga berupaya memberi impak kepada penonton walaupun hanya muncul dalam beberapa babak sahaja.

Selain Tom Hanks dan Meryl Streep, watak-watak kecil dalam filem itu juga berjaya ditonjolkan dan tidak tenggelam dengan kehadiran dua pelakon hebat itu.

Apa yang dapat disimpulakan, filem ini bukan satu karya ringan yang boleh ditonton secara santai untuk hiburan semata-mata.

Ia memerlukan penonton untuk membuka mata, minda dan jiwa. Malah, mereka yang kurang arif mengenai bagaimana dunia media bekerja pastinya mengalami sedikit kesukaran untuk memahami filem ini secara mendalam.

Penulis beranggapan The Post adalah satu karya cemerlang yang mungkin tidak digemari ramai orang kerana tiada unsur hiburan di dalamnya.

Namun, ia mengajak kita berfikir dan membuka pandangan mata untuk memahami isu yang rumit dan berat.

Secara jujurnya, The Post adalah satu filem bermutu dan ternyata Steven Spielberg adalah salah seorang pengarah terhebat untuk generasi ini.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan