suria

‘Crazy Rich Asians’ cukup dekat dengan orang Asia

Pelakon kelahiran Malaysia, Henry Golding (tengah) memegang watak sebagai Nick Young di samping Michelle Yeoh (kiri) dan Constance Wu.

Filem: Crazy Rich Asians

Pengarah: John M. Chu

Pelakon: Henry Golding, Constance Wu, Michelle Yeoh, Gemma Chan, Awkwafina, Tan Kheng Hua, Lisa Lu dan Pierre Png.

Genre: Komedi Romantik

Durasi: 121 minit

Pengedar: Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan: 23 Ogos 2018

Antara yang tersurat dan tersirat ‘Crazy Rich Asians’

KETIKA ini, gelombang Crazy Rich Asians sedang berlaku bukan hanya di Amerika Syarikat (AS) tetapi juga rantau Asia yang menjadi latar belakang filem arahan Jon M. Chu (Now You See Me 2, 2016) itu.

Maka itu, tidak hairanlah apabila Crazy Rich Asians menjadi juara carta filem pecah panggung di AS selama dua minggu berturut-turut sejak ia mula ditayangkan pada 15 Ogos lalu.

Bukan itu sahaja, ia juga mencipta rekod baharu untuk kutipan pembukaan untuk genre romantik komedi di Malaysia dan Singapura yang memperlihatkan bahawa Crazy Rich Asians telah mencipta satu fenomena.

Sementelah ia merupakan filem terbitan studio terkemuka Hollywood yang menampilkan barisan pelakon berketurunan Asia selepas kejayaan filem The Joy Luck Club yang ditayangkan suku abad lalu, lalu, faktor berkenaan juga menambah kepada popularity Crazy Rich Asians.


Filem ‘Crazy Rich Asians’ yang kini menjadi sebutan dan perhatian di seluruh dunia.

Sebagai penggemar filem romantik komedi dan dibesarkan dengan genre berkenaan, pastinya penulis tidak mahu melepaskan peluang menonton Crazy Rich Asians dan mahu melihat sejauh manakah kehebatannya yang telah mendapat ulasan yang hampir kesemuanya positif.

Biarlah penulis bermula dengan sisi positifnya terlebih dahulu. Sememangnya sudah menjadi resam untuk mana-mana filem sekalipun, ada kelebihan dan kekurangannya termasuklah Crazy Rich Asians.

Seperkara yang tidak boleh penulis nafikan adalah kecemerlangan dan kehebatan lakon layarnya yang digarap dengan baik hasil kolaborasi Peter Chiarelli dan seorang wanita berasal dari Malaysia, Adele Lim.

Lakon layar yang diadaptasi daripada novel terlaris tulisan Kevin Kwan ini telah dipersembahkan dengan begitu teliti dari sudut penceritaan yang penulis sifatkan bergerak dalam tempo yang tepat.

Untuk tempoh dua jam, naratif Crazy Rich Asians berjalan dengan lancar tanpa perlu membuang masa dengan babak-babak yang tidak perlu kerana setiap babak yang dipersembahkan memberi kesan kepada plot ceritanya.

Bahkan, setiap watak diperkenalkan kepada penonton dengan baik dari awal hingga akhir lalu membuatkan penonton seolah-olah berada dalam setiap situasi yang berlaku dan tidak mempunyai masalah untuk menghadam keseluruhan ceritanya.

Pelakon siri televisyen, Fresh Off the Boat, Constance Wu memegang watak sebagai Rachel Chu.

Barangkali cerita dan lakonan para pelakonnya yang dilihat cukup dekat orang Asia menyebabkan Crazy Rich Asians memiliki nilai tambah untuk penonton lebih menjiwai dan merasai pengalaman menontonnya.

Atas faktor ini jugalah, penulis tidak menolak kemungkinan bahawa lakon layar Chiarelli dan Lim memiliki peluang serta berpotensi untuk tersenarai dalam kategori Lakon Layar Adaptasi Terbaik untuk acara Oscar tahun hadapan.

Mungkin terlalu awal untuk meramal dan laluannya pasti sukar tetapi siapa tahu, rezeki mampu berpihak kepada mereka lebih-lebih lagi sudah lama lakon layar komedi romantik tidak menerima pencalonan dalam kategori berkenaan.

Berbekalkan lakon layar itu jugalah, hasil kerja Chu sebagai pengarah juga memberikan impak yang sewajarnya untuk penonton terus menikmati Crazy Rich Asians dari awal hingga akhir selain aspek sinematografi oleh Vanja Cernjul yang menampakkan sentuhan kemewahan itu dalam warna tersendiri.

Ditambah pula dengan pemilihan lokasi strategik sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan Singapura, Chu telah menjadikan Crazy Rich Asians sebagai resipi antarabangsa dalam acuan lokal lalu menjadikan ia sebagai santapan fusion yang mampu dinikmati oleh semua.

Menyentuh tentang aspek lakonan pula, hampir kesemua pelakonnya telah memberikan persembahan lakonan yang berkesan meskipun ada di antara mereka hanyalah sekadar pelakon pembantu mahupun tambahan.

Mereka saling melengkapi antara satu sama lain tanpa perlu membayangi sesiapa dan tidak ada seorang pun di dalam filem ini yang dilihat sebagai penyendal mahupun tangkap muat termasuklah bekas pemenang Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-19 (2006), Carmen Soo yang memegang watak sebagai Francesca.

Tan Sri Michelle Yeoh memberikan lakonan yang cemerlang sebagai Eleanor Young.

Aura Tan Sri Michelle Yeoh yang membawakan watak ibu dan wanita kaya, Eleanor Young sememangnya terserlah dan watak tersebut memang cocok untuk dirinya.

Sebagai seorang ibu dan wanita Asia meskipun hidup dalam serba mewah dan kekayaan, Yeoh tidak perlu berlebih-lebihan untuk memberontak dan menzahirkan rasa kurang senang terhadap teman wanita anak lelakinya, Rachel Chu (Constance Wu).

Cukup dengan bahasa tubuh dan lontaran dialognya untuk penonton memahami konflik yang tercetus antara Eleanor dan Rachel.

Tidak keterlaluan dikatakan, setiap kali Yeoh muncul dia akan mencuri perhatian dan meninggalkan momen tersendiri. 

Siapa tahu seandainya lakonannya itu juga mampu membawa tuah buatnya menerima pencalonan Oscar untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik kelak.

Seorang lagi bintang filem ini, Awkwafina (Ocean’s Eight, 2018) sebagai rakan karib Rachel bernama Goh Peik Lin juga cemerlang dengan lakonan dan mimik muka bersahaja selain aksi humornya yang semula jadi tanpa nampak dibuat-buat.

Penulis juga sukakan lakonan bekas bintang sitkom Phua Chu Kang, Tan Kheng Kua sebagai Kerry iaitu ibu Rachel yang memiliki sifat bertentangan dengan Eleanor. Meskipun kemunculannya hanya seketika, tetapi, impak itu tetap dirasai.

Bagaimana pula dengan Henry Golding yang telah membuat sebahagian besar rakyat Malaysia berbangga dengannya? Watak Nick Young itu memang sesuai buat Golding tetapi mutu lakonannya masih banyak yang perlu diperbaiki kerana Golding masih kelihatan seperti dirinya.

Barangkali watak tersebut memang dicipta untuk Golding kerana bekas hos The 8TV Quickie itu seperti tidak memiliki masalah untuk membawakannya. Mungkin juga kerana ia adalah genre romantik komedi, jadi, tidak banyak yang boleh diperkatakan.

Awkwafina sebagai Goh Peik Lin yang bersahaja dengan humor yang semula jadi.

Dari sudut lain, Crazy Rich Asians bukan hanya mahu memaparkan kisah fiksyen kemewahan dan kekayaan orang Asia tetapi ia turut memperlihatkan perspektif wanita Asia dalam berhadapan dengan globalisasi dan modenisasi dalam budaya mereka.

Perspektif ini dapat dilihat menerusi watak Eleanor dan ibu mertuanya, Shang Su Yi atau Ah Ma (Lisa Lu) yang masih mahu mempertahankan budaya dan cara hidup mereka yang masih mementingkan kekeluargaan meskipun mereka hidup mewah.

Sebagai contoh, babak sewaktu keluarga Young duduk semeja dan bekerjasama menghasilkan ladu daripada resipi turun-temurun sudah cukup menjelaskan bahawa walau mereka hidup moden sekalipun, tradisi masih dikekalkan.

Atas alasan itu jugalah, Eleanor tidak mahu Nick berkahwin dengan Rachel kerana merasakan Rachel yang dibesarkan di Amerika memiliki idea dan falsafah hidup yang bertentangan dengan budaya Timur yang diterapkan dalam keluarganya.

Menyentuh tentang perihal ini, penulis paling suka pada babak akhir yang menyaksikan Rachel dan Eleanor bermain mahjung dengan dialog dan bahasa tubuh kedua-duanya yang penulis sifatkan sebagai momen terbaik yang telah membawa momentum filem ini mencapai klimaksnya.

Seperti mana yang penulis sebutkan di awal, Crazy Rich Asians ada kelemahannya juga terutama dari segi pemilihan pelakon yang sebenarnya kalau diteliti bukanlah mereka yang berasal dari Asia dalam erti kata sebenar.

Pelakon wanita kelahiran Malaysia, Carmen Soo (kanan) bersama Constance Lau dalam satu babak filem Crazy Rich Asians yang kini hangat ditayangkan.

Disebabkan itu jugalah, secara halusnya, Crazy Rich Asians kelihatan caca-marba apabila percampuran aksen oleh para pelakonnya menjadikan ia sedikit terencat. Ia akan menjadi lebih cantik jika penggunaan Singlish itu lebih ditekankan.

Tetapi, penulis faham mengapa perkara itu berlaku kerana ia juga berpunca daripada permasalahan globalisasi dan modenisasi yang telah berlaku terutama kepada watak Nick, Peik Ling dan Astrid (Gemma Chan) selaku generasi baharu dalam konflik cerita ini.

Seperkara yang tidak sepatutnya berlaku apabila kononnya watak seorang puteri raja Melayu bernama Puteri Intan tidak dilakonkan oleh orang Melayu. Sebaliknya ia dilakonkan oleh selebriti terkenal dari Filipina, Kris Aquino yang tidak menampakkan ciri-ciri seorang puteri raja Melayu itu.

Pun begitu, perkara pokoknya adalah untuk berhibur dan Crazy Rich Asians telah berjaya memberikan santapan yang cukup enak secara zahirnya.

Pastinya, penulis akan menunggu filem sekuel kedua dan ketiganya yang nampaknya akan terus memenuhkan akaun bank Kevin Kwan bukan hanya sebagai penulis novelnya tetapi juga penerbit eksekutif.

*** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (Akifma) 2017, kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain