suria

‘Munafik 2’ lebih berat, berani dan terus cemerlang

Bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM dua kali, Maya Karin memberikan lakonan cemerlang sebagai Sakinah.

Filem: Munafik 2

Pengarah: Syamsul Yusof

Pelakon: Syamsul Yusof, Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Datuk Fizz Fairuz, Mawi, Datuk Rahim Razali dan Ku Faridah

Genre: Seram

Durasi: 105 minit

Pengedar: Skop Productions Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 30 Ogos 2018

MAHU atau tidak, suka ataupun tidak, harus diakui bahawa filem kesembilan arahan Syamsul Yusof, Munafik yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya mencipta fenomenanya sendiri.

Bukan hanya menjadi filem terlaris terbitan Skop Productions dengan kutipan sebanyak RM17.04 juta sebelum rekod itu dipadam oleh filem Abang Long Fadil 2 (RM18.15 juta) arahan adiknya, Syafiq tahun lalu, tetapi Munafik telah menghadiahkan Syamsul dengan tiga trofi Pengarah Terbaik.

Bukan hanya di gelanggang sendiri dengan dua pengiktirafan masing-masing di Festival Filem Malaysia Ke-28 dan Anugerah Skrin 2016, tetapi Munafik juga telah berjaya meletakkan nama Syamsul di peringkat antarabangsa apabila diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-57.

Apabila nama Syamsul sudah dijulang dan diangkat sedemikian rupa, pastinya tekanan dan harapan yang diletakkan di bahunya juga tinggi lebih-lebih lagi filem susulannya, Munafik 2 mula membuka tirainya pada 29 Ogos lalu.

Filem ke-10 arahan Syamsul Yusof, Munafik 2 sememangnya lebih baik daripada filem Munafik.

Seperti mana peminat filem lain, penulis juga mahu melihat sendiri bagaimana Syamsul mempamerkan kehebatannya dalam menggarap cerita baharu menerusi Munafik 2 selepas filem Munafik beraksi cemerlang sebagai salah sebuah karya tempatan terbaik yang pernah dihasilkan.

Lazimnya, untuk menghasilkan filem sekuel bukan mudah. Itu adalah resmi dalam mana-mana industri perfileman sekalipun. Apatah lagi, filem pertama sudah diletakkan pada satu tahap tertinggi, maka, untuk mana-mana filem susulan untuk menyamai atau menjadi lebih baik lagi adalah sukar.

Namun, dalam konteks Syamsul selaku bekas pemenang Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak tiga kali ini, anak muda berusia 34 tahun ini memang selayaknya diberikan pujian kerana telah mempersembahkan Munafik 2 yang layak diletakkan sebagai salah sebuah karya terbaik tahun ini.

Bahkan, penulis berpendapat bahawa Munafik 2 telah bergerak ke satu tahap lebih tinggi dalam konteks penceritaan dan garapan yang lebih berat dan berani lantas menjadikan ia sebagai sebuah karya seram yang memiliki nilai estetika tersendiri dan bukan hanya sekadar mahu menakut-nakutkan penonton tanpa sebab.

Penulis yang menonton sendiri Munafik 2 beberapa hari lalu turut merasai impak yang terhasil daripada cerita dan lakon layar yang juga ditulis sendiri oleh Syamsul yang tidak hanya berpaksikan kepada satu cerita semata-mata.

Daripada satu plot cerita itu, Syamsul bijak mengolah dan bermain dengan beberapa sub plot yang dijalin dengan baik lalu membentuk sebuah cerita yang membangkitkan rasa seram dengan cara sendiri.

Seram yang terhasil itu bukan hanya pada visual tersurat semata-mata tetapi disertai dengan dialog dan kata bual terutama pada babak-babak yang berbicara tentang soal agama itu sebenarnya adalah seram yang sejati dan jitu.

Salah satu babak filem ‘Munafik 2’ yang kini sedang ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei.

Impak yang dirasai itu bukan hanya membuatkan penulis meremang bulu roma tetapi dua kali air mata bergenang dek keinsafan yang terbit dalam hati apabila memikirkan tentang diri dan peranan kita sebagai hamba Allah SWT.

Entah mengapa apabila menonton babak-babak dramatik dan keseraman yang dirasai melibatkan watak Sakinah (lakonan Maya Karin) dan Ustaz Adam (Syamsul) yang dirasuk itu mengingatkan penulis kepada filem klasik Hollywood, The Exorcist (1973) arahan William Friedkin.

Ketakutan itu tidaklah menyamai perasaan sewaktu menonton The Exorcist tetapi mood itu tetapi dirasai penulis lalu membuatkan penulis berfikir sejenak bahawa sebenarnya anak tempatan mampu untuk melakukan sesuatu yang di luar kotak tanpa perlu menjadi klise serta memperbodohkan penonton.

Disebabkan itu, penulis harus katakan juga bahawa Syamsul adalah pembikin filem dalam generasinya yang bijak terutama dalam konteks dakwah dan Islamik yang mana ia bukanlah sesuatu yang dibikin asal boleh dan hanya berpaksikan kepada elemen kosmetik semata-mata.

Sebaliknya untuk membikin sebuah filem Islamik dan dakwah, peranannya harus diterokai sehingga ke dasar dalam usaha untuk membuatkan penonton juga merasai kesannya. Kata orang, biarpun tidak banyak tetapi asalkan sedikit pun jadilah kerana filem merupakan medium yang mudah untuk berbuat demikian.

Filem Munafik 2 juga menyaksikan evolusi dan kematangan Syamsul sebagai seorang pencerita dan pembikin sementelah Munafik 2 membicarakan tentang permasalahan agama yang sebenarnya begitu dekat dengan kita tetapi tanpa kita sedari, kita alpa dan terlupa tentangnya.

Tidak hanya menggalas portfolio sebagai pengarah dan penulis, tetapi Syamsul juga bertindak sebagai seorang penyunting kerana hanya beliau sahaja yang tahu bagaimana hala tuju dan pembentukan arah filem ini seperti mana yang dimahukannya.

Justeru, hasil kerja suntingan Syamsul untuk Munafik 2 juga tidak boleh dinafikan kecemerlangannya kerana tempo dan perjalannya semuanya bergerak dengan pantas tanpa ada babak-babak yang penulis rasakan membuang masa penonton.

Nasir Bilal Khan tidak mengecewakan sebagai Abuja meskipun imej seperti itu sudah kerap kali digambarkan untuk ketua ajaran sesat.

Setiap babak ada momen tersendiri yang membuatkan penonton menunggu dengan sabar untuk melihat apakah yang berlaku seterusnya walaupun pada babak-babak tertentu, sebenarnya agak mudah untuk dijangka.

Bukan itu sahaja, kecemerlangan Munafik 2 juga terletak kepada kesimbangan setiap watak yang ditampilkan waima watak ibu dan bapa kepada Ustaz Adam yang masing-masing dilakonkan oleh Ku Faridah dan Datuk Rahim Razali biarpun sekadar watak pembantu sahaja.

Penulis sukakan keserasian antara Ustaz Adam, Azhar (Mawi) dan Azman (Fizz Fairuz) dan melihat potensi ketiga-tiga watak ini untuk terus dikembangkan dan menjadi satu jenama kuat untuk filem Munafik seterusnya.

Tetapi, disebabkan oleh sebab-sebab tertentu (sengaja penulis tidak mahu membocorkan punca untuk mereka yang belum menonton), pastinya harapan itu tidak menjadi kenyataan melainkan Syamsul terus bijak menyusun dan mencipta watak baharu kelak.

Menyentuh tentang aspek lakonan pula, barangkali agak sukar penulis untuk mengatakan ini apabila lakonan Syamsul sebagai Ustaz Adam telah berjaya membentuk acuannya sendiri dan menampakkan peningkatan.

Ya, benar. Penulis tidak pernah melihat Syamsul sebagai seorang pelakon yang baik tetapi untuk Munafik 2, ia mengubah tanggapan penulis bahawa Syamsul dilahirkan untuk watak sebegini. Syamsul mencipta dan membentuk imej Ustaz Adam dalam caranya sendiri.

Setelah sekian lama tidak menonton Maya beraksi di layar perak, penulis menzahirkan kepuasan menonton lakonan bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM sebanyak dua kali ini dengan watak yang jauh berbeza daripada apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Watak Azhar memang cocok dengan Mawi.

Tanpa ragu, Maya pastinya dengan mudah akan membolosi senarai lima calon Pelakon Wanita Terbaik FFM akan datang dan menerima pencalonannya ke-11 sekaligus menjadi satu-satunya pelakon wanita yang paling banyak menerima pencalonan dalam kategori berkenaan.

Watak Abuja lakonan bekas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik FFM 11 (1994) menerusi filem Perempuan, Isteri dan …, Nasir Bilal Khan pula penulis sifatkan stereotaip kerana watak seperti itu sudah agak kerap dipaparkan sedemikan rupa untuk menggambarkan seorang ketua ajaran sesat.

Tetapi, lakonan Nasir bukanlah teruk mahupun mengecewakan. Beliau masih cemerlang dan watak itu cocok dengannya lantas dapat menghapuskan imej watak Tok Adi menerusi siri televisyen Tanah Kubur yang cukup sinonim dengannya.

Pun begitu, penulis faham mengapa Syamsul mahu menggambarkan watak Abuja seperti itu kerana mahu menunjukkan bahawa golongan munafik tidak hanya kepada orang seperti Abuja tetapi juga untuk orang yang di mata kasar masyarakat cukup alim, tetapi sebaliknya yang berlaku.

Di sebalik pujian dan kecemerlangan yang penulis berikan untuk Munafik 2, sesuatu yang agak mengecewakan adalah permainan skor muziknya yang agak merimaskan dan merencatkan mood penontonan.

Syamsul Yusof telah menunjukkan peningkatan dan evolusinya sebagai seorang pembikin filem menerusi filem Munafik 2.

Sewajarnya tidak perlu muzik itu dimainkan untuk semua babak kerana kekuatan cerita dan milieu cerita itu sendiri sudah cukup kuat untuk membangkitkan rasa seram dan berdebar.

Bukan itu sahaja, kelemahan Munafik 2 juga terletak kepada babak-babak akhir terutama pembalasan yang diterima oleh Abuja dan para pengikutnya yang penulis sifatkan tidak begitu kejam dan setimpal dengan apa yang telah dilakukan oleh mereka.

Kesimpulannya, Syamsul sudah mencipta jenama Munafik dengan cukup kuat sekali dan penulis melihat potensi Munafik untuk menjadi sebuah francais memang cukup besar sekurang-kurangnya untuk menjadi sebuah trilogi.

*** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (Akifma) 2017, kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Munafik 2, Syamsul Yusof

Artikel Lain