Filem: Paskal The Movie Pengarah: Adrian Teh Pelakon: Hairul Azreen, Ammar Alfian, Taufiq Hanafi, Jasmine Suraya Chin, Gambit Saifullah, Nam Ron, Hafizul Kamal, Amerul Affendi dan Henley Hii. Genre: Drama/Aksi Durasi: 115 minit Pengedar: GSC Movies Tarikh Tayangan: 27 September 2018 UNTUK membikin sebuah filem aksi yang benar-benar meninggalkan impak kepada penonton memang bukan mudah waima dari mana-mana negara dan bahasa sekalipun. Tunjang utama kepada sebuah filem aksi pastinya adalah cerita yang mengesankan, teknik suntingan, sinematografi dan kemudiannya ditambah dengan elemen kosmetik untuk menghidupkan karya berkenaan. Tidak cukup dengan itu, markah bonus untuk kesempurnaan sesebuah filem aksi adalah dari aspek lakonan dan pemilihan tunjang utama yang menerajui filem berkenaan. Mahu atau tidak, apabila memperkatakan tentang filem tempatan, perasaan skeptikal sebelum menonton sesebuah karya itu pasti akan timbul. Bukan mahu menjadi prejudis, tetapi itu adalah normal bukan? Begitu juga dengan pandangan awal penulis terhadap Paskal The Movie atau Paskal yang baru sahaja membuka tirainya pada 27 September lalu dengan kutipan sebanyak RM7.5 juta dalam masa empat hari tayangan. Sementelah, tidak banyak filem aksi yang mengenengahkan fungsi total badan beruniform di negara ini sebagai plot utama cerita dan lebih mengutamakan kisah cinta (baca: filem Qhaliq), maka, penulis meletakkan harapan tinggi untuk melihat Paskal menjadi sebuah filem yang berbeza. Ternyata, pandangan skeptikal penulis di awalnya tidak semena-mena berubah sebaik sahaja 10 minit pertama Paskal ditayangkan. Itu juga adalah normal kerana secara psikologinya, 10 minit pertama itu dianggap penting dalam menentukan tumpuan penonton untuk terus menonton filem hingga tamat. Cerita Paskal bermula dengan cukup baik dalam menterjemahkan dan memberikan gambaran kepada penonton tentang perjalanan dan fokus utama filem arahan Adrian Teh Kean Kok atau Adrian Teh (King of Mahjong, 2015) ini. Seperti mana yang penulis katakan di awal tadi, penceritaan dan garapan yang baik akan menentukan hala tuju sebuah filem aksi itu dengan memberikan tumpuan kepada perkara yang tepat. Dalam konteks Paskal, semuanya berada dalam keadaan yang sempurna. Ini bermaksud ia memiliki premis cerita yang baik dengan susunan yang dilakukan secara teliti dan kemas. Aksi Hairul Azreen sebagai Arman Rahmat sewaktu di lokasi penggambaran filem Paskal The Movie. Sudah pun judulnya adalah Paskal. Justeru, setiap momen dalam cerita ini adalah tentang kisah Pasuka Laut Khas yang merupakan sebuah pasukan khas bawah Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) yang barangkali tidak diketahui ramai. Penulis melihat pemilihan cerita tentang Paskal adalah tepat dan dengan apa yang telah dipersembahkan dalam filem ini, sedikit sebanyak ia membuka mata dan minda masyarakat untuk melihat kehebatan pasukan ini dalam konteks yang lebih besar. Tidak sedikit pun momen dalam filem Paskal dibazirkan begitu sahaja dengan subplot yang tidak berkenaan dan menjejaskan jalan ceritanya. Penulis tidak menafikan jika dilihat secara zahirnya, cerita Paskal adalah sesuatu yang normal dan sudah ditonton sebelum ini menerusi filem-filem terbitan antarabangsa walaupun ia bukanlah secara menyeluruh. Tetapi daripada cerita yang biasa itu, olahan dan garapan yang kemudiannya mencipta sebuah lakon layar yang berkesan itulah yang menjadikan Paskal sebuah karya yang berada dalam kelas tersendiri untuk sebuah filem aksi. Penghasilan Paskal dibuat dengan begitu menyeluruh dan benar-benar mengeskploitasi unit khas itu secara maksimum dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang fungsi sebenar mereka. Watak antagonis bernama Jeb memang layak dan cocok untuk Ammar Alfian. Mungkin pasukan berkenaan dianggap sebagai tidak popular di mata masyarakat jika hendak dibandingkan dengan pasukan beruniform atau unit khas lain tetapi dengan kelahiran Paskal, ia telah meletakkan satu standard yang tinggi. Plot utamanya bergerak dari satu babak kepada satu babak dengan disulami subplot yang penulis sifatkan kena dan memang diperlukan untuk melengkapkan lagi jalan ceritanya. Sebaliknya, setiap subplotnya adalah satu permasalahan yang tepat seperti bagaimana konflik dalaman yang berlaku dalam diri Arman Rahmat (lakonan Hairul Azreen) yang harus memilih antara kerjayanya mahupun kemahuan ibunya, Khadijah (Sherry). Bahkan, penulis sifatkan subplot yang memaparkan kisah hubungan persahabatan antara Arman, Joshua (Henley Hii) dan Lily (Jasmine Suraya Chin) juga memberikan impak kepada plot utamanya yang kemudiannya terus menggerakkan cerita berkembang dengan baik. Dari sudut teknikal, aspek suntingan dan sinematografi yang penulis sifatkan sebagai cemerlang telah memberikan markah tambahan yang tinggi buat Paskal untuk menjadi sebuah filem aksi terbaik tahun ini. Dua aspek ini telah bergabung tenaga dengan cukup hebat dan ditambah pula dengan teknik pengarahan oleh Adrian terus melengkapkan Paskal untuk menjadi sebuah filem yang wajar menjadi contoh terbaik untuk pembikin filem akan datang yang mahu menghasilkan filem aksi. Salah satu babak dalam filem Paskal The Movie yang kini sedang ditayangkan. Penulis pernah menyuarakan pendapat bahawa jika mahu menghasilkan sebuah filem aksi, hasilkanlah secara serius dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga (sekali lagi, baca: filem Qhaliq). Sehubungan itu, ternyata apa yang telah dipersembahkan oleh Paskal membuktikan bahawa sebenarnya anak tempatan memiliki visi dan misi tersendiri untuk mengangkat standard filem tempatan terutama genre aksi ke peringkat tertinggi. Memang benar. Jika hendak menghasilkan filem aksi, bajet dan kos memainkan peranan penting kerana mahu memberikan yang terbaik kepada penonton. Penulis percaya salah satu aspek kejayaan filem Paskal adalah disebabkan kos penerbitan yang tinggi iaitu RM10 juta tetapi pihak penerbit telah menunjukkan bahawa produk akhirnya setanding dengan apa yang telah dilaburkan. Menyentuh tentang aspek lakonan, penulis memuji pihak penerbit kerana berjaya memilih para pelakon yang tepat dalam membawakan watak masing-masing terutama Hairul Azreen yang nampaknya mula perlahan-lahan berjaya mengikis imej pelakon berwajah jambu yang pernah dilabelkan kepadanya sebelum ini. Watak Arman memang diciptakan untuk Hairul yang memiliki bentuk fizikal yang layak menjadi seorang anggota unit khas tersebut. Meskipun Hairul ada kekurangannya tetapi penulis melihat itu adalah keistimewaan yang ada pada dirinya yang menjadikannya berbeza dengan pelakon aksi lain. Hairul Azreen dan Jasmine Suraya Chin dalam salah satu babak filem Paskal The Movie. Secara tidak langsung juga, Hairul berjaya menebus maruahnya yang telah ‘tercemar’ menerusi filem Qhaliq yang juga sebuah filem yang menampilkan kisah badan beruniform. Begitu juga dengan pelakon berbadan sasa sensasi, Ammar Alfian yang membawakan watak Jeb apabila watak antagonis yang dilakonkannya memang sesuai dengan dirinya. Ditambah pula dengan bahasa tubuh, mimik muka dan raut wajah yang menjengkelkan, ternyata watak Jeb cocok sekali dengan Ammar yang pada hemat penulis, layak untuk dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) akan datang. Bahkan, perbezaan fizikal dan personaliti antara Arman dan Jeb itu jugalah menjadikan konflik antara mereka itu cukup menarik seperti yang ditonton menerusi Paskal. Kejayaan filem Paskal tidak hanya kepada dua pelakon yang penulis sebutkan di atas tetapi kesemua pelakon telah memberikan persembahan lakonan yang meninggalkan impak walaupun hanya watak pembantu termasuklah dua bekas pemenang FFM, Nam Ron (Maznan) dan Amerul Affendi (Rudi). Pelakon-pelakon yang memegang watak anggota Paskal lain seperti Haziful Kamal (Yan), Taufiq Hanafi (Ustad), Gambit Saifullah (Gagak) dan Theebaan G (Misi) semuanya memiliki keserasian. Barisan pelakon filem Paskal The Movie sewaktu menghadiri malam gala filem berkenaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sebagai pengarah, Adrian berjaya menonjolkan keistimewaan dan fungsi mereka sebagai anggota Paskal sekaligus tidak melihatkan mereka hanya sekadar watak tempelan tanpa sebarang fungsi. Disebabkan itu, penulis meletakkan harapan untuk melihat Paskal menjadi sekurang-kurangnya sebuah filem trilogi kerana percaya ada kisah lain lagi yang dapat diceritakan. Cuma, kebimbangan yang terbit adalah sama ada jika Paskal memiliki filem sekuelnya nanti, apakah ia akan mampu untuk menjadi lebih baik mahupun setanding dengan filem pertama. ***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.