Filem: Kalla: Hidup Atau Mati Pengarah: Allen Smith Pelakon: Faizal Hussein, Farali Khan, Vanida Imran, Azhan Rani, Riz Amin, Haeryanto Hassan, Razali Hussein dan Zaidi Omar Genre: Drama/Aksi Durasi: 100 minit Pengedar: Empire Film Solution Sdn. Bhd. Tarikh Tayangan: 11 Oktober 2018 SATU perkara yang harus diakui adalah citarasa dan penerimaan penonton terhadap sesebuah karya tempatan tidak pernah tetap dan sentiasa berubah-ubah. Tidak semestinya apabila filem-filem seperti Paskal The Movie, Munafik 2 dan Hantu Kak Limah yang mencatatkan kutipan pecah panggung luar biasa dalam tempoh tayangannya, filem-filem lain yang ditayangkan selepas itu akan turut menjejaki langkah yang sama. Senarionya juga sama jika sesebuah filem itu mempertaruhkan barisan pelakon bertaraf gred A selain jalan cerita bermutu dan mantap tetapi ia bukan laluan mudah untuk diterima baik oleh penonton. Dalam konteks inilah, penulis melihat filem Kalla: Hidup Atau Mati berhadapan dengan kesulitan itu untuk diterima dengan baik oleh khalayak filem tempatan secara menyeluruh. Jika dilihat dari luarannya yakni pelakon yang dipilih menerajui filem ini, penulis tidak lokek untuk memberikan markah tinggi kerana nama mereka bukan calang-calang. Gandingan pertama Farali Khan dan Faizal Hussein dalam filem Kalla: Hidup Atau Mati yang kini sedang ditayangkan. Dua daripadanya merupakan bekas pemenang Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) iaitu Faizal Hussein dan Vanida Imran selain Azhan Rani yang juga cukup dikenali sebagai pelakon yang memiliki mutu lakonan cukup tinggi. Secara ringkasnya, ia mengisahkan bagaimana dilema dan kesulitan yang dihadapi oleh seorang pensyarah dalam bidang sejarah, Dr. Ezahar (Faizal Hussein) selepas kematian isterinya, Sherina (Vanida Imran) dalam satu insiden pengeboman yang boleh dianggap sebagai dahsyat. Ditambah pula, selepas dia diserang dan diberitahu oleh seorang lelaki misteri (Razali Hussein) bahawa isterinya masih hidup membuatkan Dr. Ezahar mahu mencari isterinya dan sekaligus membuktikan bahawa dia tidak waras seperti yang difikirkan oleh Inspektor Haris (Azhan Rani). Dalam masa yang sama, misteri kemunculan Uyun (Farali Khan) yang mahu membantu melunaskan misi Dr. Ezahar itu membawa kepada satu pengakhiran yang membuatkan Dr. Ezahar menerima hakikat akan realiti sebenar yang di luar jangkaannya. Dari sudut positifnya, penulis melihat jalan cerita yang diketengahkan dalam filem arahan Allen Smith ini sebenarnya mampu menjadi sebuah cerita terbaik. Akan tetapi, permasalahan yang berlaku apabila jalan ceritanya tidak diperkemaskan dan dilakukan dengan teliti menjadikan Kalla: Hidup Atau Mati tidak berupaya meninggalkan impak yang jitu. Bahkan penulis tidak menafikan bahawa tema ceritanya dilihat sebagai sesuatu yang boleh dianggap baharu dalam penceritaan filem tempatan. Malangnya, cerita yang baik tidak semestinya mampu diterjemah menjadi sebuah lakon layar yang mampu membentuk sebuah penceritaan visual cemerlang dan harus diakui bahawa Kalla: Hidup Atau Mati berhadapan dengan situasi itu. Aksi Azhan Rani sebagai Inspektor Haris dalam filem Kalla: Hidup Atau Mati. Cerita yang diketengahkan dalam Kalla: Hidup Atau Mati sebenarnya mudah difahami tetapi apabila ia dikembangkan menjadi sebuah lakon layar, maka, susun aturnya mula menampakkan masalah. Penulis memberikan satu contoh terbaik untuk memperlihatkan masalah ini terutama bagaimana cerita ini bergerak dari satu plot ke satu plot lain membabitkan Dr. Ezahar dan Uyun. Secara logiknya, begitu mudahkah perjalanan mereka dari satu tempat ke satu tempat yang dilihat seperti berlaku dalam tempoh sehari dan semuanya berlaku dengan begitu pantas sekali. Contohnya perjalanan mereka dari Riau kemudiannya ke Sabah dan seterusnya ke Melaka yang mana kesemuanya divisualkan tanpa ada garis masa yang begitu menyakinkan. Terasa seperti Dr. Ezahar dan Uyun memiliki akses besar untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain walaupun menaiki penerbangan komersial. Bukan itu sahaja, terfikir juga, begitu mudahkah lapangan terbang di negara ini dicerobohi oleh pengganas dengan membawa senjata api yang kemudiannya mencetuskan insiden tembak-menembak tanpa ada pihak berkuasa yang memerhati seperti mana realiti sebenarnya. Salah satu babak kejar-mengejar antara Dr. Ezahar (Faizal Hussein) dan Inspektor Haris (Azhan Rani). Aspek kesinambungan atau continuity filem ini juga tidak dijaga dengan baik terutama dari sudut busana yang dipakai oleh Dr. Ezahar yang kelihatan tidak sama dalam setiap babak berbeza. Tertanya juga untuk perjalanan berhari-hari itu, tidak ditunjukkan pula mereka membawa pakaian lebih untuk ditukar. Adegan yang paling merugikan dan tidak memberikan kesan untuk Kalla: Hidup Atau Mati apabila tugas dan peranan polis yang digambarkan seperti tidak berkuasa dan melakukan tugas mereka sambil lewa sahaja. Walhal, keseimbangan itu perlu untuk menjadikan Kalla: Hidup Atau Mati lebih terasa aksi dan dramatiknya tetapi ia bergerak dengan satu dimensi sahaja. Justeru, untuk babak-babak seperti ini, aspek suntingan juga telah menampakkan kelemahan ketara yang menambahkan kecacatan kepada perjalanan cerita ini selain sinematografinya pada babak-babak akhir cukup lemah dan tidak berkualiti. Seperti mana penulis katakan di atas apabila mengatakan Kalla: Hidup Atau Mati memiliki cerita tersendiri, perkara itu benar apabila intipati filem ini terasa seperti menonton gabungan francais filem Indiana Jones dan The Fugitive (1993). Lakonan Farali Khan dalam Kalla: Hidup Atau Mati yang tidak mengecewakan. Ini adalah kerana watak Dr. Ezahar yang dilakonkan oleh Faizal adalah seperti watak Indiana Jones. Mungkin disebabkan persamaan dari sudut watak itu yang memperlihatkan kedua-duanya adalah pakar sejarah dan ahli arkeologi. Disebabkan masalah cerita Kalla: Hidup Atau Mati itu jugalah menyebabkan watak Dr. Ezahar itu tidak mampu berkembang menjadi sebuah watak yang bagus apabila momentumnya tidak bergerak dalam graf yang sepatutnya. Salah satunya apabila Dr. Ezahar digambarkan sebagai mangsa runtuhan bangunan selepa kejadian bom yang mengalami kecederaan yang teruk. Tetapi, sembuh sepenuhnya hanya dalam tempoh dua minggu dan ternyata Dr. Ezahar memang seorang yang memiliki ‘keajaiban’. Penulis cukup menghormati Faizal sebagai seorang pelakon senior yang berada dalam liganya tersendiri. Tetapi disebabkan kelemahan ceritanya, watak Dr. Ezahar tidak memiliki identiti yang sepatutnya diciptakan terutama babak memperlihatkan kepakarannya sebagai pakar sejarah. Ini juga berlaku kepada watak Inspektor Haris yang penulis sifatkan skala wataknya itu mampu menjadi lebih besar jika garapan watak itu dilakukan dengan kemas dan teliti. Barisan pelakon dan penerbit filem Kalla: Hidup Atau Mati yang menghadiri malam gala di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tidak keterlaluan menjadi seorang anggota polis yang menjengkelkan seperti mana watak lakonan bekas pemenang Oscar, Tommy Lee Jones sebagai Samuel Gerard dalam The Fugitive. Namun sayang seribu kali sayang, bakat Azhan Rani tidak dieksploitasi sepenuhnya sebagai Inspektor Haris kerana jika itu berlaku, penulis percaya dia akan mencuri tumpuan dalam filem ini. Walaupun Farali Khan bukanlah pelakon baharu kerana lebih dahulu mencipta nama di Indonesia, tetapi kemunculannya dalam Kalla: Hidup Atau Mati tidaklah mengecewakan. Mungkin sudah biasa dengan pertuturan dalam bahasa Indonesia menyebabkan tugas itu menjadi mudah buatnya. ***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.