Filem: XX Ray III Pengarah: Aziz M. Osman Pelakon: Izzue Islam, Nonny Nadirah, Dazrin Kamaruddin, Adam John, Ardell Aryana, Ashraf Muslim, Saiful Apek, Aziz M. Osman dan Datuk Jalaluddin Hassan Genre: Sains Fiksyen/Fantasi Durasi: 87 minit Pengedar: Empire Solution Sdn. Bhd. Tarikh Tayangan: 24 Januari 2019 PERANAN yang dimainkan oleh pengarah prolifik bernama Aziz M. Osman dalam perkembangan sinema tempatan memang cukup besar. Itu adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Buktinya, sejak kemunculan beliau melahirkan filem cereka pertamanya, Fenomena pada tahun 1990, Aziz dengan pantas membentuk dirinya sebagai seorang sutradara yang inovatif dalam mempersembahkan tema dan penceritaan berbeza dalam setiap filemnya. Filem-filem arahannya seperti Leftenan Adnan (2000), Puteri Impian (1997), Femina (1994) dan Fantasi (1993) tersenarai sebagai antara yang menjadi kegemaran penulis. Menontonnya berulang kali pun tidak berasa bosan. Bahkan filem-filem arahan Aziz yang kurang menjadi pilihan penonton massa seperti Bintang Hati (2004), Baginda (1997) dan Scoop (1996) juga tidak kurang menariknya kerana ia juga dikategorikan penulis sebagai feel good movie. Namun, penulis meletakkan dua karya Aziz yakni XX Ray II (1995) dan XX Ray (1992) yang bukan sahaja telah mencetus evolusi dalam pembikinan filem tempatan tetapi juga memberikan impak besar dalam kerjaya seni Aziz. Gandingan tiga pelakon generasi baharu iaitu (dari kiri) Adam John, Izzue Islam dan Nonny Nadirah tidak menghadirkan keserasian yang diharapkan. Sehinggakan penulis sendiri menonton kedua-dua filem itu di pawagam lebih daripada sekali kerana pada ketika itu, kagum dengan apa yang telah dipersembahkan oleh Aziz dalam segenap aspek. Justeru, apabila Aziz kembali dengan sekuel ketiga dalam siri XX Ray iaitu XX Ray III selepas 23 tahun, dengan penuh harapan penulis mahu melihat karya berkenaan dapat menyamai atau menjadi lebih baik daripada dua filem sebelum ini. Mula ditayangkan kepada umum sejak 24 Januari lalu, ternyata XX Ray III cukup mengecewakan penulis kerana tidak menyangka karya baharu Aziz ini kurang menjadi dan membuatkan penulis menghela nafas panjang usai menontonnya. Penulis beranggapan bahawa apabila Aziz mengambil keputusan untuk menghasilkan XX Ray III selepas meninggalkannya lebih dua dekad, kreativiti dan inovatif Aziz selaku pencerita dan pengarah turut akan bergerak seiring. Tolak tepi kegagalan dua filem Aziz dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini iaitu Bukan Cinta Malaikat (2017) dan Azura (2012) kerana apabila memperkatakan tentang XX Ray, ia adalah siri yang boleh dianggap sebagai mahakarya beliau. Lakonan Nonny Nadirah sebagai Lana yang sekadar biasa sahaja. Sehubungan itu, untuk peminat filem dan mereka yang sama-sama membesar dalam nostalgia XX Ray, pastinya mahu melihat sesuatu yang segar setaraf dengan apa yang telah dipersembahkan ketika kemunculan siri filem itu. Seandainya Aziz beranggapan dengan mempertaruhkan muka-muka baharu dan popular sahaja sudah cukup untuk menarik perhatian audiens terutama generasi millennial, telahan itu silap. Jujurnya, cerita yang dipersembahkan oleh Aziz dalam XX Ray III terlalu banyak kelemahannya dan kelompongan yang boleh membuatkan peminat filem khususnya penggemar karya Aziz mula meragui kemampuaannya sebagai seorang penglipur lara. Apabila memperkatakan tentang XX Ray yang dikategorikan sebagai karya sains fiksyen dan fantasi, banyak elemen yang perlu dititik beratkan seperti mana yang telah dilakukan dalam dua filem terdahulu. Semuanya lengkap. Baik dari segi cerita, jalan cerita, tema dan pelbagai rencah yang diguna pakai oleh Aziz untuk menjadikan dua filem XX Ray sebelum ini sebagai sebuah karya nostalgia yang dikenang indah. Watak Rosman lakonan Dazrin Kamaruddin tidak menyakinkan sebagai seorang yang berperwatakan antagonis. Akan tetapi, pada hemah penulis, XX Ray III tidak memiliki apa yang sepatutnya diterapkan oleh Aziz untuk menjadikan ia sebagai sebuah trilogi lengkap. Benar. Tidak semestinya dalam mana-mana siri atau francais filem, kesemua filem dihasilkan adalah setara dari segi penerimaan peminat mahupun kualiti penerbitannya. Penulis lebih bersikap realistik apabila mengambil konteks sinema tempatan dan cukup sedar bahawa di Malaysia, kekangan bajet seringkali menjadi masalah utama. Dalam konteks XX Ray III, penulis sedar Aziz pasti berhadapan dengan situasi itu (jika tidak, masakan terperap lama bukan?) terutama untuk memberikan hasil terbaik dari sudut imej penjanaan komputer (CGI). Tetapi, Aziz telah membazirkan masa dan tenaga yang cukup banyak terhadap jalan ceritanya yang sebahagian besarnya tidak masuk dek akal yang hanya layak dijadikan bahan jenaka semata-mata. Salah satu babak lakonan Datuk Jalaluddin Hassan (kiri) sebagai Hang Tuah dan Aziz M. Osman (Profesor Amir – kanan) sambil disaksikan Izzue Islam sebagai Rayyan. Jika hendak membuat cerita yang tidak masuk akal sekalipun, bikinlah dengan bijak kerana pemikiran generasi hari ini sudah lebih jauh ke hadapan. Dua filem XX Ray sebelum ini juga, lahiriahnya tidak masuk akal. Tetapi cara persembahan Aziz menerusi dua karya itu cukup menarik dan boleh diterima dengan baik meskipun XX Ray II pernah berhadapan dengan kecaman masyarakat dan cendekiawan dari sudut logik akal ketika itu. Apa yang sepatutnya Aziz lakukan adalah untuk lebih meneliti kepada permasalahan teknologi hari ini yang berkait rapat dengan generasi baharu dan menggabungkan dengan idea serta kreativitinya untuk memberikan sebuah persembahan cerita yang lebih segar. Itulah yang telah dilakukan oleh penerima Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-15 (2001) menerusi filem Leftenan Adnan ini sewaktu menghasilkan XX Ray II dan XX Ray dahulu. Disebabkan itulah, ia diterima baik kerana pendekatan yang diambil Aziz ketika itu lalu menjadikan dua karya itu begitu dekat kepada penonton dan terus mampu dinikmati sebaiknya sehingga ke hari ini. Ardell Aryana turut membintangi filem XX Ray III yang kini masih ditayangkan di pawagam tempatan. Berbalik kepada XX Ray III, penulis sendiri kurang memahami apa yang cuba hendak disampaikan oleh Aziz sehingga merasakan ceritanya cukup ‘rumit’ dan membuatkan penulis hanya terus menontonnya sebagai sebuah hiburan kosong. Aspek teknikalnya juga mengecewakan terutama suntingan, sinematografi dan penataan seni yang terus menyumbang kepada filem cereka ke-26 arahan Aziz ini. Bukan hanya cerita yang lemah tetapi persembahan lakonan kesemua para pelakonnya juga tidak memberangsangkan. Aktor dan penyanyi kacak, Izzue Islam sebagai pelajar jurusan fizik bernama Rayyan masih menjadi seperti dirinya seperti mana yang pernah ditonton sebelum ini. Begitu juga dengan lakonan bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima (2007), Nonny Nadirah sebagai Lana yang begitu lemah, tidak bertenaga dan langsung tidak berupaya membangkitkan semangat seorang wanita yang digambarkan sebagai seorang yang bijak di dalam bidangnya. Bukan hanya cerita yang lemah tetapi persembahan lakonan kesemua para pelakonnya juga tidak memberangsangkan. Shazryn Mohd. Faizal Seorang lagi pelakon baharu, Adam John sebagai Sam juga memberikan standard lakonan yang sekadar dihayati di permukaan sahaja. Pun begitu, ia masih boleh dimaafkan memandangkan beliau masih baharu dalam bidang lakonan. Tidak seperti dalam XX Ray II dan XX Ray yang begitu kuat tema dan semangat setia kawan, XX Ray III memiliki kekurangan itu yang seharusnya terbina antara watak Rayyan, Sam dan Lana. Perasaan itu tidak dirasai sebagaimana penulis merasai persahabatan antara Amir (Aziz M. Osman), Aishah (Datin Nor Aliah Lee), Annuar (Faizal Hussein) dan Sulina (Datin Sharmaine Farouk) menerusi XX Ray. Malah, perasaan yang serupa terbit sewaktu menyaksikan Amir dan kakaknya, Shima (Lydiawati) bersama-sama Tina (Aleeza Kassim), Johan (Bonnie Sta Maria) serta Hang Tuah (Datuk Jalaluddin Hassan) menerusi XX Ray II. Akan tetapi, penulis menyifatkan watak Rosman (Dazrin Kamaruddin) sebagai watak yang paling ‘mudah’ dijayakan meskipun wataknya digambarkan sebagai antagonis. Mengapa penulis mengatakan wataknya ‘mudah’? Hanya perlu ke sana ke sini dengan imej berambut panjang, kot, kemeja berserta seluar panjang dan melontarkan dialog begitu sahaja. Bukankah mudah berlakon seperti itu? Walhal, pada babak akhir, disebut Rosman telah mengugut kerajaan Malaysia atas hal yang berkaitan dengan soal diplomatik tetapi secara zahirnya, Rosman langsung tidak menyakinkan sebagai seorang antagonis sehingga dia mampu berbuat demikian. Maaf Aziz atau lebih dikenali dengan panggilan Abang Long dalam kalangan orang industri seni. Filem XX Ray III tidak berupaya menjadi pelengkap trilogi siri XX Ray ciptaan Abang Long sendiri. Walaupun babak akhir memberikan gambaran bahawa kebarangkalian filem keempat berupaya dihasilkan tetapi anda harus fikirkan formula baharu jika mahu terus mengekalkan legasi XX Ray. Sudah tiba masanya siri XX Ray melalui penjenamaan semula dengan acuan yang lebih segar dan mendapat sentuhan anak muda yang memiliki visi dan misi untuk terus membawa genre sains fiksyen serta fantasi Malaysia ke peringkat lebih tinggi. ***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.