Filem: Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Pengarah: Adam Amiruddin, Ahmad Razuri Roseli dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim Penyumbang suara: Asyiela Putri Azhar, Ahmad Mawardi Abdul Rahman, Mohd. Amir Asyraf Mohd. Noor Rashid, Fakhrul Razi Ibrahim dan Ernie Zakri Genre: Animasi Durasi: 100 minit Pengedar: GSC Movies Tarikh Tayangan: 21 Mac 2019 KEJAYAAN filem ketiga dalam francais filem Upin & Ipin, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal atau Keris Siamang Tunggal sememangnya sudah dapat diduga sedari awal. Tambahan pula, strategi penerbitnya, Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. untuk menayangkan filem baharu mereka ini pada musim cuti sekolah sememangnya bertepatan sekali. Justeru, apabila filem Keris Siamang Tunggal mencatatkan rekod dengan kutipan sebanyak RM5.3 juta hanya dalam tempoh empat hari sejak memulakan tayangannya minggu lalu, ia adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan. Bukan hanya untuk Les’ Copaque yang penulis anggap sebagai perintis kepada penerbitan filem animasi alaf baharu tetapi untuk landskap sinema tempatan secara keseluruhannya. Watak Belalang diperkenalkan kali ini sebagai tanda penghormatan kepada watak yang pernah dilakonkan oleh Allahyarham Bat Latiff tetapi dengan suntikan segar. Jumlah kutipan awal yang dicatatkan oleh Keris Siamang Tunggal sebenarnya sudah berjaya meleburkan rekod yang pernah dilakar oleh Les’ Copaque menerusi filem animasi terbitan mereka, Geng: Pengembaraan Bermula (2009). Filem berkenaan mencatatkan kutipan sebanyak RM6.3 juta dan sekali gus melayakkan ia diiktiraf dengan trofi Filem Box-Office pada Festival Filem Malaysia ke-22 pada tahun yang sama. Namun, filem kedua terbitan mereka, Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng yang ditayangkan pada 2016 pula hanya mampu mencatatkan kutipan sekitar RM4.9 juta sahaja. Meskipun masih berada dalam kelompok filem pecah panggung untuk tahun tersebut namun, penerimaan peminat tegar karakter Upin dan Ipin terutamanya terhadap filem berkenaan kurang memberangsangkan. Di sebalik kecemerlangan itu, masih ada sedikit kelompongan dalam beberapa babak yang membuatkan penulis tertanya sendiri. SHAZRYN MOHD FAIZAL PENGULAS FILEM Walaupun menampilkan perubahan dengan menggabungkan teknik animasi dan watak hidup, ternyata konsep sedemikian masih belum mampu diterima dengan meluas oleh semua pihak. Disebabkan itu, penulis melihat Les’ Copaque belajar daripada kesilapan terdahulu dan bangkit semula untuk meneruskan legasi Upin & Ipin mereka menerusi Keris Siamang Tunggal. Penulis yang berkesempatan menonton filem arahan tiga sutradara, Adam Amiruddin, Ahmad Razuri Roseli dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim ini menyifatkannya sebagai karya animasi terbaik setakat ini. Animasi tiga dimensi Mungkin secara pandangan kasarnya, untuk Keris Siamang Tunggal tiada apa yang baharu memandangkan ia masih menggunakan konsep animasi tiga dimensi yang menjadi pertaruhan Les’ Copaque sejak awal. Tetapi penulis lebih tertarik kepada cerita dan lakon layar filem ini yang telah memberikan nafas baharu dalam mengangkat kisah mitos dan legenda yang sudah sebati dalam ruang lingkup masyarakat Melayu khususnya. Bahkan, tempo filem ini bergerak pada paksi yang betul dan tidak banyak membuang masa kerana secara psikologinya, filem animasi perlu memiliki kepantasan dan kelancaran memandangkan penonton sasarannya adalah kanak-kanak. Sehubungan itu, setiap karakter dan perjalanan ceritanya dikembangkan dengan cukup baik untuk membuatkan penonton sentiasa berada dalam keadaan sedar dan fokus kepada keseluruhan filem ini. Seperti mana yang penulis katakan, kelebihan dan kekuatan Keris Siamang Tunggal terletak kepada penceritaannya yang mampu membawa karya ini ke peringkat lebih tinggi. Dalam satu aspek, penulis agak skeptikal dengan filem ini pada awalnya selepas membaca sinopsisnya kerana memikirkan acuannya akan menjadi sebuah filem yang pernah ditonton sebelum ini. Ternyata, semua telahan itu meleset apabila inovasi yang diguna pakai oleh Les’ Copaque untuk menggabungkan watak mitos dengan situasi serta persekitaran moden cukup memberangsangkan. Ibaratnya seperti menikmati hidangan fusion antara timur dan barat, itulah justifikasi terhadap Keris Siamang Tunggal. Pun begitu, elemen dan semangat ketimuran itu masih lagi ampuh dan mengekalkan misi serta visi Les’ Copaque dalam memelihara budaya setempat dalam karya-karya mereka. Negeri Inderaloka Dengan mengambil latar belakang sebuah negeri yang digelar Inderaloka, penonton dibawa untuk mengikuti pengembaraan Upin dan Ipin bersama rakan-rakannya selepas menemui sebilah keris pusaka, Keris Siamang Tunggal dan seterusnya membawa mereka memasuki satu dimensi lain. Salah satu babak filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang kini mendapat sambutan hangat daripada penonton tempatan. Setibanya di Inderaloka, mereka kemudiannya berhadapan dengan pelbagai situasi yang mencemaskan lagi mendebarkan selain dibantu oleh rakyat Inderaloka yang mewakili watak-watak mitos terkenal. Sepanjang perjalanan Upin dan Ipin yang terpisah di awalnya, masing-masing dipertemukan dengan Mat Jenin, Belalang dan bapanya, Mak Deruma (ibu si Tanggang), Nakhoda Ragam serta Bawang Merah dan Bawang Putih. Perjalanan mereka di Inderaloka akhirnya membawa kepada pertemuan dengan Raja Bersiong yang selama ini memerintah negeri tersebut sehingga membawa kepada kepayahan dan kesukaran kepada rakyat. Tanpa disedari, ada rahsia tersembunyi yang kemudiannya membawa kepada pengakhiran yang menggembirakan bukan sahaja untuk rakyat Inderaloka tetapi juga buat Upin dan Ipin bersama rakan-rakan mereka. Dunia Inderaloka itu sendiri sudah cukup kuat untuk membuatkan penonton merasai hubungan antara setiap karakter dan situasi yang mereka hadapi. Tidak hanya kepada watak mitos tetapi kisah legenda seperti Si Tanggang, Batu Belah Batu Bertangkup dan Singapura Dilanggar Todak turut diketengahkan dalam mengisi sebahagian daripada perjalanan cerita ini dan ia langsung tidak kelihatan canggung. Watak Mat Jenin, Raja Bersiong serta Bawang Putih dan Bawang Merah yang diperkenalkan dalam filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Pujian juga harus diberikan kepada Les’ Copaque kerana memberikan penghormatan kepada karya klasik arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Nujum Pak Belalang menerusi babak si Belalang mengikis bontot kuali untuk dijadikan sebagai air kopi. Babak yang paling penulis sukai dan kagum dengan permainan visualnya apabila Upin, Ipin, Mat Jenin dan Nakhoda Ragam menyelurusi kawasan yang dianggap sebagai kawasan permainan Bawang Merah. Tidak hanya diperkenalkan kepada Bawang Merah tetapi keistimewaan dunia watak itu turut terisi dengan makanan tradisional yang diletakkan dengan cukup menarik dan indah sekali. Pokok-pokok yang kelihatan seperti satay, haiwan berkeliaran yang memiliki bentuk seperti karipap, pokok renek seperti bentuk kuih loyang serta kuih badak berendam divisualkan dengan begitu kreatif sekali. Elemen tradisional Memang benar. Filem Keris Siamang Tunggal ini adalah wadah hiburan buat kanak-kanak tetapi Les’ Copaque tidak meminggirkan budaya serta elemen tradisional dalam beberapa aspek untuk menjadikan filem ini unik. Ternyata ia adalah tindakan bijak untuk terus menyemai dan menanam jati diri dalam diri kanak-kanak menerusi visual dan isi ceritanya. Di sebalik kecemerlangan itu, masih ada sedikit kelompongan dalam beberapa babak yang membuatkan penulis tertanya sendiri. Sebagai contoh, apakah begitu mudah untuk kanak-kanak berusia lima tahun seperti Upin dan Ipin begitu lancar membaca tulisan Jawi? Penulis faham dan percaya Les’ Copaque mahu menyuntik elemen positif untuk babak itu tetapi ia nampak seperti di kurang dapat diterima akal fikiran. Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal meneruskan legasi dunia Upin dan Ipin yang sudah menjadi satu jenama isi rumah di kalangan penduduk Nusantara. Begitu juga dengan kemunculan Upin dan Ipin serta rakan-rakan mereka ke Inderaloka yang langsung tidak diragui serta dipersoal oleh mereka yang berada di sekeliling mereka. Bukankah selalunya orang asing yang datang ke tempat mereka akan menimbulkan rasa kurang senang dan pelik? Apatah lagi begitu jelas menerusi pakaian mereka sudah membuktikan bahawa Upin dan Ipin serta kumpulannya adalah orang luar yang dengan pantas akan menimbulkan tanda tanya. Walau apa pun, kesimpulannya, Keris Siamang Tunggal berjaya memberikan hiburan berkualiti buat penonton dan meletakkan satu tanda aras baharu dalam pembikinan filem animasi tempatan. Sudah pasti, filem ini dengan mudah akan menjadi salah sebuah filem pecah panggung untuk tahun 2019. Tidak hanya mahu memfokuskan kepada aspek keuntungan semata-mata tetapi Les’ Copaque turut berjaya melunaskan tanggungjawab mereka untuk memelihara cerita rakyat dan warisan yang semakin dilupai dalam acuan yang segar. Ternyata penulis sendiri teruja untuk menantikan buah tangan baharu daripada mereka memandangkan pada babak akhir Keris Siamang Tunggal, Les’ Copaque sudah pun memberikan gambaran jelas akan apa yang berlaku seterusnya. *** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017, kategori Kritikan Filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.