Filem: Banglasia 2.0 Pengarah: Namewee Pelakon: Namewee, Nirab Hossain, Saiful Apek, Atikah Suhaimie, Shashi Tharan, Jack Lim, Lao Zha Bor dan Datuk David Arumugam Genre: Komedi Durasi: 92 minit Pengedar: mm2 Entertainment Sdn. Bhd. Tarikh Tayangan: 28 Februari 2019 BARANGKALI untuk sesetengah pihak, nama pengkarya sensasi lagi kontroversi, Namewee cukup ‘berbahaya’ dan ‘menakutkan’. Penulis menggunakan istilah itu kerana sepanjang keberadaan beliau di dalam industri seni, namanya tidak pernah lekang daripada kontroversi. Karya-karya beliau ada benarnya begitu provokatif dan menyentuh sensitiviti. Bahkan, penulis tidak menyokong sepenuhnya apa yang pernah dilakukannya terutama melibatkan perihal kontroversinya itu. Salah satu babak filem Banglasia 2.0 lakonan Atikah Suhaimie yang kini ditayangkan di lebih 100 buah pawagam seluruh negara. Namun, penulis tidak mahu terus prejudis kerana di sebalik sejarah hitam yang pernah menyelubunginya sebelum ini, Namewee sebenarnya seorang yang berfikiran kritis dalam setiap filem cereka yang dihasilkannya. Penulis masih melabelkan Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee sebagai seorang pembikin yang memiliki ideologinya sendiri dalam menzahirkan buah fikirannya ke layar perak. Sebagai seorang pengkarya, lelaki berusia 35 tahun ini hadir dengan naskhah yang meletakkan dirinya sebagai penglipur lara dengan kisah yang cukup dekat dengan masyarakat. Buktinya, tiga filem cereka yang pernah dihasilkannya iaitu Kara King (2013), Hantu Gangster (2012) dan Nasi Lemak 2.0 (2011) semuanya memiliki tema yang berlegar dalam persekitaran dan budaya masyarakat di negara ini. Lebih membanggakan, ketiga-tiga filemnya itu mendapat kutipan pecah panggung yang membuktikan bahawa peminat menerima kehadiran Namewee dan karya-karyanya. Selepas lima tahun disenarai hitam daripada tayangannya, kini, Namewee boleh menarik nafas lega apabila filem keempatnya, Banglasia 2.0 berjaya melepasi halangan untuk ditayangkan kepada umum. Namewee yang merupakan pelakon dan pengarah filem Banglasia 2.0. Walaupun terpaksa berkrompomi dengan pihak berkuasa untuk melakukan penggambaran semula dan memotong adegan yang dianggap keterlaluan, itu bukan satu halangan untuk menikmati Banglasia 2.0. Penulis yang berkesempatan menonton filem tersebut beberapa hari lalu tidak menafikan bahawa tema dan subjek yang diketengahkan memang cukup panas dan sinis sekali. Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa filem ini diharamkan selepas ia menjalani penggambaran pada tahun 2014 yang ketika itu masih lagi diperintah oleh kerajaan terdahulu. Secara terangan, Banglasia 2.0 memaparkan kritikan sosial terhadap pergolakan yang berlaku dalam negara dengan mengkritik pentadbiran kerajaan sebelum ini berhubung soal pekerja asing. Namun, bagi penulis paparan itu (hanya mereka yang sudah menonton sahaja faham apa yang penulis katakan ini) hanyalah sekadar untuk menambahkan rencah humor dan memberikan suntikan komedi dalam Banglasia 2.0. Ini kerana bagi penulis, ia bukanlah sesuatu yang wajar dipandang serius kerana pemaparan itu ada hubung kaitnya dengan apa yang pernah berlaku sebelum ini dan cukup diketahui umum. Dalam erti kata lain, Namewee menjadikan Banglasia 2.0 sebagai wadah untuk menyuarakan kebimbangan dan kepekaan masyarakat sejak bertahun lamanya tentang kebanjiran warga asing ke negara ini. Semuanya cukup jelas disampaikan oleh Namewee selaku penulis cerita dan lakon layar dalam filem keempatnya yang nampaknya tidak langsung menampakkan isinya ketinggalan zaman. Penulis kira isu yang diketengahkan dalam Banglasia 2.0 cukup relevan dengan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian kita apabila memperkatakan tentang pekerja asing di negara ini. Secara pandangan kasarnya, pekerja asing yang hadir ke negara ini dengan niat mahu mencari rezeki halal seringkali dipandang serong oleh rakyat kita sendiri yang sentiasa berprasangka. Tetapi, Namewee menggunakan platform filem sebagai medium untuk memaparkan kebarangkalian besar realiti sebenar kehidupan seorang rakyat asing Bangladesh dari sudut pandang watak protagonisnya, Harris (lakonan Nirab Hossain). Seperti mana yang selalu diperkatakan bahawa kita tidak akan merasai apa yang dilalui oleh orang lain jika kita tidak berada di tempatnya. Maka itu, Namewee mengenengahkan Harris sebagai subjek untuk penonton melihat bahawa status mahupun latar belakang seseorang itu bukan penghalang untuk menjalinkan persahabatan dan hubungan walaupun mungkin dia tidak setanding mahupun sehebat kita fikirkan. Vokalis utama kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam membuat kemunculan khas. Malah, watak Harris itu sendiri digambarkan sebagai satu sindiran kepada rakyat negara ini yang seringkali dilabelkan sebagai pemalas dan hanya mahu mengambil jalan kerja mudah. Sedangkan rakyat asing yang ada di antara mereka bergolok gadai sehingga meragut nyawa sanggup melakukan apa jua pekerjaan demi mencari sesuap nasi selain menanggung keluarga di kampung halaman. Sindiran terhadap masyarakat di negara ini juga jelas digambarkan pada watak Han Guo Ren (Namewee) yang dipaparkan terlalu mengikut acuan barat sehingga dia terlupa asal usul dan budayanya yang hampir ditinggalkannya. Malah, pemaparan tiga orang lelaki yang gigih mendalami budaya Cina dan fasih berbahasa ibunda kaum itu juga menggambarkan bahawa realitinya generasi muda hari ini semakin meminggirkan budaya sendiri dan lebih menerima serta mengagungkan budaya luar. Seperti mana yang penulis katakan, Namewee tidak hanya menjadikan sindiran dan sinikal itu sebagai sesuatu yang sengaja dilakukan sebaliknya ia memiliki mesej tersendiri yang hendak disampaikan. Namun, sebagai penonton, ia bergantung kepada tahap pemikiran dan keterbukaan masing-masing untuk melihatnya dari sudut hiburan sama ada bersifat positif mahupun negatif. Raja Ilya membuat kemunculan khas dalam filem Banglasia 2.0. Memandangkan Banglasia 2.0 dianggap sebagai lewat untuk ditayangkan, sindiran yang diutarakan itu sebagai sedikit terbelakang. Tetapi jika ia ditayangkan pada tempoh dan waktu yang tepat, impak itu akan lebih terasa. Pun begitu, ia membuatkan kita mampu untuk berfikir sejenak mengenang sebarang kemungkinan yang akan berlaku seandainya apa yang dipaparkan oleh Namewee dalam Banglasia 2.0 ini benar-benar terjadi. Penulis tidak menganggap Banglasia 2.0 sempurna tetapi pada sisi lain, filem ini ada juga kelemahannya terutama dari sudut momentum dan temponya yang ada ketika membosankan serta membuang masa. Suntingannya dan sinematografinya juga jika diperbaiki serta diperhalusi, ia akan mencantikkan lagi perjalanan filem ini selain meninggalkan impak tersendiri. Dari sudut lakonan, keseluruhannya memberikan persembahan pada tahap yang biasa-biasa sahaja walaupun Nirab sebagai Hussain yang merupakan seorang pelakon profesional dari Bangladesh. Meskipun begitu, gandingan Nirab bersama pelakon veteran kelahiran Singapura, Lao Zha Bor yang memeran watak sebagai nenek kepada Han Guo Ren menampakkan keserasian walaupun ada momennya kelihatan canggung. Nirab Hossain dan Atikah Suhaimie membintangi filem Banglasia 2.0. Pelawak berpengalaman, Saiful Apek yang memegang watak Omar masih lagi menjadi dirinya dan setidak-tidaknya, kemunculan beliau mengubat kerinduan peminat yang barangkali merindui kemunculannya di layar perak sejak sekian lama. Begitu juga dengan Atikah Suhaimi sebagai Rina, seorang jururawat dengan imej seksi yang tidak lebih hanyalah sebagai gula-gula buat kaum lelaki dan dilihat sebagai pelaris untuk filem ini. Tidak mustahil untuk Banglasia 2.0 mencatatkan kutipan pecah panggung seperti mana filem-filem Namewee sebelum ini. Buktinya, filem ini telah mencatatkan kutipan sekitar RM250,000 pada hari pembukaannya sahaja. Angka itu boleh dikira cukup baik untuk filem seperti Banglasia 2.0 yang tidak melalui skim Syarat Wajib Tayang. Jika mereka yang menggemari genre komedi satira, tidak ada salahnya meluangkan masa menonton Banglasia 2.0. Tonton dengan hati dan minda terbuka selain melihatnya sebagai medium untuk berhibur semata-mata. ***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.