suria

‘Misteri Dilaila’ eksperimentasi Syafiq Yusof ada jua kelemahan

Salah satu babak filem Misteri Dilaila lakonan Zul Ariffin dan Elizabeth Tan yang kini hangat ditayangkan di pawagam tempatan.

Filem: Misteri Dilaila

Pengarah: Syafiq Yusof

Pelakon: Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Sasqia Dahuri, Datuk Rosyam Nor, Namron, Mas Khan dan Iz Sulaini

Genre: Misteri

Durasi: 82 minit

Pengedar: Skop Productions Sdn. Bhd. & Astro Shaw Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 21 Februari 2019

Apabila memperkatakan tentang pengarah muda, Syafiq Yusof, seperkara yang tidak boleh penulis menafikan adalah kreativitinya menghasilkan karya-karyanya.

Meskipun masih baharu dan hijau dalam dunia pengarahan filem cereka, namun, bakat yang ada dalam diri anak muda tidak boleh dipandang enteng.

Mula meraih perhatian menerusi filem pertamanya, SAM: Saya Amat Mencintaimu pada tahun 2012, Syafiq tidak menunggu lama untuk menyakinkan audiens dengan hasil kerjanya.

Sudah menghasilkan tujuh buah filem dalam tempoh tujuh tahun, bekas pemenang Pengarah Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25 (2013) kini muncul dengan filem baharunya, Misteri Dilaila.

Seperti mana filem-filemnya sebelum ini, Misteri Dilaila kini menjadi buah mulut peminat dan penonton filem tempatan yang nampaknya tidak henti memperkatakan tentangnya.

Disebabkan itu jugalah, tidak mustahil untuk Misteri Dilaila mencatatkan kutipan melebihi RM4 juta hanya kurang daripada seminggu sejak mula ditayangkan 21 Februari lalu.

Sebagai contoh, pada satu babak, kelihatan kayu api tersusun cantik di pendiang api ketika Jefri bangun tidur sedangkan pada malam sebelumnya, ia sudah digunakan.

SHAZRYN MOHDFAIZAL

PENGULAS FILEM

Pastinya Misteri Dilaila menjadi sebutan ramai kerana pembaharuan yang ditampilkan dalam sinema tempatan dengan memperkenalkan dua versi pengakhiran ceritanya.

Penulis juga berkesempatan menonton kedua-dua versi Misteri Dilaila beberapa hari lalu untuk melihat dan menilai sendiri persembahan naskhah Syafiq kali ini.

Secara jujurnya, acuan Misteri Dilaila dalam konteks sinema tempatan boleh dikatakan sesuatu yang baharu dan jarang sekali dipersembahkan.

Namun, penulis tidak melihat itu sebagai sesuatu yang asli kerana konsep dan genre misteri seperti mana yang ditonton menerusi Misteri Dilaila sebenarnya sudah lama dipraktikkan oleh filem antarabangsa terutama di Hollywood.

Pemilihan Zul Ariffin berjaya membawa watak Jefri dengan baik.

Jauh sekali untuk membandingkan Misteri Dilaila dengan mana-mana karya Hollywood kerana penulis percaya apa yang dilakukan oleh Syafiq adalah untuk memberikan santapan berbeza buat khalayak.

Justeru, penulis lebih selesa untuk membiarkan perkara itu dan memfokuskan eksperimentasi baharu Syafiq menerus filem cereka kelapan arahannya itu.

Sementelah penonton tempatan sudah terlalu lama disogokkan dengan filem seram murahan, komedi lapuk selain filem aksi bertemakan rempit dan gangster yang sudah terlalu klise yang hanya sekadar hiburan kosong semata-mata.

Disebabkan itu, penulis melihat Misteri Dilaila memberikan cabaran baharu kepada audiens untuk berfikir tentang misteri yang berlegar dalam kisah yang ditulis oleh Syafiq sendiri ini.

Jika selama ini, kenyataan yang menyatakan filem berat sukar diterima oleh masyarakat kerana tidak mahu penat memikirkan tema dan subjek yang diketengahkan, tetapi nampaknya Misteri Dilaila mula menguak pintu minda audiens untuk menjadi lebih kreatif.

Bijak imbangi naskhah

Syafiq bijak mengimbangi naskhah ini untuk tidak menjadi terlalu berat dengan menyuntik elemen komersial bagi menjadikan ia sebagai tontonan ringan dan mudah diikuti.

Mengulas lanjut tentang ceritanya, seperti mana yang penulis sebutkan di atas, Misteri Dilaila tidak menampilkan keaslian dengan memaparkan kisah sepasang suami isteri, Jefri (lakonan Zul Ariffin) dan Laila (Elizabeth Tan) yang bercuti ke vila milik mereka di Bukit Fraser, Pahang.

Kemudian, selepas satu insiden, secara tiba-tiba Laila hilang dan muncul watak-watak lain untuk melengkapkan jalan cerita tetapi dalam masa yang sama, menimbulkan misteri serta tanda tanya. Bukankah itu terlalu klise dan kedengaran normal?

Pelakon berpengalaman, Datuk Rosyam Nor memegang watak sebagai Inspektor Azman yang ada misterinya sendiri.

Penulis sendiri banyak berfikir dan membuat andaian serta bermain teka-teki sepanjang menonton Misteri Dilaila tetapi apabila semakin menuju ke penghujungnya, telahan yang dibuat itu ternyata silap.

Di sinilah terletaknya keistimewaan Misteri Dilaila dalam membuatkan penonton menggunakan kreativiti mereka untuk berfikir dan akhirnya melakukan interpretasi tersendiri untuk kedua-dua versinya.

Dalam erti kata lain, Syafiq menggunakan teknik open ended question terhadap Misteri Dilaila untuk penonton menilai sendiri tanpa adanya jawapan betul atau salah.

Jika ditanya kepada penulis secara peribadi, penulis lebih gemarkan versi pertama kerana ia lebih kompleks dan membuatkan sesiapa yang membaca naskhah itu sedalam-dalamnya memahami siapakah Laila sebenarnya.

Tidak hanya tersirat, malah segala apa yang tersurat menerusi dialognya sahaja sudah membuatkan penonton dapat mengetahui motif dan tujuan Laila dalam keseluruhan ceritanya versi pertama itu.

Namun, bukanlah versi kedua itu tidak bagus tetapi penulis lebih melihat ia seperti mudah diduga dan sekadar biasa sahaja buat penulis meskipun pengakhirannya memperlihatkan kredibiliti lakonan Zul Ariffin dan Datuk Rosyam Nor yang memegang watak sebagai Inspektor Azman.

Lakonan Sasqia Dahuri tidak mengecewakan.

Hasil kerja suntingan Syafiq juga memuaskan dengan memberikan satu persembahan berbeza apabila menampilkan konsep transisi dari satu babak ke babak yang lain.

Ternyata pemilihan bekas pemenang Sinematografi Terbaik FFM18 (2005), Indra Che Muda untuk mengemudikan sinematografi Misteri Dilaila adalah tepat kerana persembahan syot, warna, mood dan gerak kamera telah memberikan pengalaman penontonan yang menarik.

Pun begitu, Misteri Dilaila juga tidak terlepas daripada kelemahan yang nampaknya perlu diambil perhatian oleh Skop Productions terutamanya.

Setelah sekian lama, acuan skrip filem-filem terbitan Skop Productions begitu terikat dan seperti tiada kebebasan untuk memperlihatkan ia menjadi lebih santai dan dekat dengan penonton.

Memang wajar untuk filem tempatan mengangkat standard bahasa Melayu tetapi ia boleh dilakukan dengan melonggarkan sedikit mengikut kepada kehendak dan situasi cerita.

Kemunculan Imam Aziz lakonan Namron juga menerbitkan rasa misteri kepada penonton.

Begitu juga dengan ceritanya. Biarpun suntikan misteri itu berjaya, namun, untuk seorang pengarah berkaliber seperti Syafiq, ceritanya boleh digandakan lagi bagi meninggalkan impak luar biasa.

Tidak diperhalusi

Bukan mahu Misteri Dilaila menjadi seperti Gone Girl (2014) misalnya, tetapi, apa yang dipersembahkan dalam naskhah ini hanya berada di pertengahan jalan. Sebagai contoh, watak Farah (Sasqia Dahuri) itu boleh menjadi satu lagi misteri agar diperhebatkan lagi ceritanya.

Dalam masa yang sama, kesinambungan Misteri Dilaila juga tidak diperhalusi sebaiknya kerana jelas kelihatan kesilapan itu.

Sebagai contoh, pada satu babak, kelihatan kayu api tersusun cantik di pendiang api ketika Jefri bangun tidur sedangkan pada malam sebelumnya, ia sudah digunakan.

Begitu juga dengan kemunculan Farah atau Laila ‘palsu’ yang kelihatan membawa tas tangan. Tetapi dalam babak seterusnya, perbualan antara Inspektor Azman dan Imam Aziz (Namron) ada menyebut tentang tas tangan itu tidak berada dalam simpanannya.

Aksi Syafiq Yusof sewaktu di lokasi penggambaran filem Misteri Dilaila.

Dari segi lakonan, Zul layak diberikan pujian kerana wataknya itu membuatkan penonton tumpang simpati tetapi dalam masa yang sama sedikit menjengkelkan.

Pemilihan Zul yang juga bekas pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik FFM26 (2013) adalah bijak kerana kehadirannya juga dilihat sebagai penjamu mata buat audiens khususnya kaum Hawa dan mungkin untuk kaum lelaki juga.

Begitu juga dengan Sasqia yang memberikan persembahan lakonan yang tidak mengecewakan dan memilihnya sebagai doppelganger kepada watak Laila itu adalah bertepatan.

Cumanya, Elizabeth atau Lizzy tidak diberikan peluang untuk menonjolkan bakat lakonannya menerusi watak Laila dengan sebaik mungkin kerana sebagai Laila, Lizzy juga memberikan lakonan yang boleh dibanggakan.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.


Artikel Lain