Filem: The Lego Movie 2: The Second Part Pengarah: Mike Mitchell Penyumbang suara: Chris Pratt, Elizabeth Banks, Will Arnett, Tiffany Haddish, Stephanie Beatriz, Charlie Day, Alison Brie dan Maya Rudolph Genre: Animasi/Komedi Durasi: 107 minit Pengedar: Warner Bros. Pictures Tarikh Tayangan: 7 Februari 2019 BARANGKALI pada mata kasar sebahagian besar peminat filem, menonton filem animasi adalah mudah jika hendak dibandingkan menonton filem cereka. Takrifan mudah itu lebih kepada membawa maksud sekadar menontonnya untuk menghiburkan hati tanpa perlu memikirkan secara dalam tentang pembikinannya dan perihal lain. Namun, hakikatnya, menghasilkan filem animasi itu sebenarnya adalah rumit dan memakan masa yang bukan singkat selain perlu memiliki cerita serta lakon layar menarik untuk dipersembahkan. Sewaktu filem The Lego Movie ditayangkan pada 2014, ia tidak menunggu lama untuk menjadi popular dan diminati ramai terutama penggemar permainan Lego. Bahkan ia juga menjadi filem animasi kegemaran penulis. Pelakon kacak, Chris Pratt menyumbangkan suaranya untuk dua watak dalam filem The Lego Movie 2: The Second Part. Tidak hanya memberikan sebuah persembahan yang lain daripada yang lain dalam konteks pembikinan filem animasi, The Lego Movie diperkukuhkan dari aspek cerita, lakon layar, humor dan mesej yang disampaikan sehingga meraih pelbagai pengiktirafan. Malah, para penyumbang suara yang dipilih melakonkan watak masing-masing juga telah memberikan persembahan terbaik. Dengan kejayaan itu, The Lego Movie meneruskan legasinya dengan memperkenalkan dua buah lagi filem di bawah payungnya, The Lego Batman Movie dan The Lego Ninjago Movie – masing-masing ditayangkan pada tahun 2017. Selepas lima tahun, The Lego Movie meneruskan kesinambungannya apabila filem susulannya yang juga filem keempat dalam francaisnya, The Lego Movie 2: The Second Part atau ringkasannya, The Lego Movie 2 mula menemui penonton pada 7 Februari lalu. Penulis tidak merasakan terlewat untuk mengulas filem ini kerana The Lego Movie 2 sememangnya adalah santapan yang tidak wajar dilepaskan oleh penggemar filem animasi. Sebahagian daripada pelakon Hollywood yang menyumbangkan suara masing-masing untuk filem The Lego Movie 2: The Second Part iaitu (dari kiri) Elizabeth Banks, Chris Pratt, Stephanie Beatriz, Alison Brie, Will Arnett dan Jason Momoa. Seperti mana filem pertamanya, sekuel kali ini juga telah memberikan persembahan yang telah meletakkan karya arahan Mike Mitchell (Trolls, 2016) dalam liganya tersendiri. Dalam erti kata lain, The Lego Movie 2 yang ditulis oleh dua orang penulis asal filem pertamanya, Phil Lord dan Christopher Miller tidak tersasar jauh daripada landasan kerana masih mengekalkan acuan yang telah dicipta sebelum ini. Seperti mana filem pertama, The Lego Movie 2 tidak hanya menumpukan kepada aspek pembikinannya semata-mata tetapi cerita dan mesej yang disampaikan lebih matang sesuai untuk semua lapisan umur. Bukan hanya sekadar mahu mengisi ruang deretan filem animasi, tetapi The Lego Movie 2 hadir dengan lapisan cerita yang membawa penonton untuk menilai dan merenung kehidupan dari sudut pandang diri sendiri. Mesejnya cukup jelas dan bersifat sejagat seiring dengan apa yang berlaku dalam persekitaran hari ini yang semakin terhakis rasa kasih dan sayang terutama sesama manusia. Bukan itu sahaja, The Lego Movie 2 menggunakan setiap karakter itu sebagai perlambangan kepada diri manusia itu sendiri dalam menjalani kehidupan harian dengan pemikiran kita yang seringkali prejudis dan skeptikal terhadap sesuatu. Meskipun kutipan tiket The Lego Movie 2: The Second Part tidak dapat menyamai filem pertama, ia masih lagi sebuah naskhah yang memiliki nilai estetika tersendiri. Menyedari bahawa permainan Lego begitu dekat dengan golongan kanak-kanak dan juga dewasa, intipati cerita filem sekuel ini telah disuntik dengan mesej keamanan dan kemanusiaan agar ia dapat menyemai nilai positif kepada penonton. Apa yang menjadikan filem ini mengekalkan tarikannya apabila segala peristiwa yang berlaku sebenarnya adalah imaginasi seorang kanak-kanak perempuan bernama Bianca (lakonan Brooklynn Prince) yang mencipta dunia itu menerusi pandangannya. Ia juga sama seperti apa yang berlaku dalam filem pertama dahulu di mana ketika itu ceritanya dizahirkan menerusi pandangan abangnya, Finn (Jadon Sand). Tetapi kali ini, Finn telah menjadi punca kepada kemusnahan imaginasi Bianca sehingga mendorong ibu mereka (Maya Rudolph) mengarahkan mereka untuk menyimpan semua permainan Lego di dalam bekas penyimpanan. Lantaran itu, di dalam dunia Lego seperti mana yang dipersembahkan dalam The Lego Movie 2, ia digambarkan sebagai hari kiamat buat semua karakter yang menyangkakan kehidupan mereka sudah musnah sekelip mata. Salah satu babak filem The Lego Movie 2: The Second Part yang kini ditayangkan di pawagam. Walaupun The Lego Movie 2 dianggap cemerlang, namun, penulis merasakan ada kekurangan dari sudut humornya yang tidak dapat menyamai filem pertamanya di mana elemen tersebut dinikmati dengan begitu enak sekali. Seperti mana filem pertamanya, kali ini juga persembahan para penyumbang suaranya juga telah memberikan persembahan terbaik menerusi karakter masing-masing. Meskipun ada di antara mereka mempunyai dialog yang ringkas dengan hanya melontarkan sebaris ayat, tetapi semuanya meninggalkan impak tersendiri. Tidak hanya kembali dengan membawakan watak Emmet Brickowski, pelakon kacak Chris Pratt juga menyumbangkan suaranya untuk watak Rex Dangervest yang penulis sifatkan sebagai satu penghormatan buat dirinya sendiri. Ini dapat dibuktikan bahawa watak berkenaan adalah gabungan watak-watak popular yang pernah dibawakan oleh Pratt dalam filem-filemnya sebelum ini termasuk watak Indiana Jones yang dikhabarkan akan menjadi milik Pratt dalam filem baharunya kelak. Walaupun Rex Dangervest digambarkan sebagai watak antagonis pada babak-babak akhir The Lego Movie 2, penulis menyifatkan watak berkenaan sebagai satu refleksi kepada manusia yang mampu berubah personaliti sekelip mata. Pelakon komedi wanita yang semakin meningkat naik, Tiffany Haddish menyumbangkan suaranya untuk watak Queen Watevra Wa’Nabi. Watak berkenaan juga menyentuh kepada niat manusia itu sendiri apabila mereka mahu melakukan perubahan baik dari sudut fizikal mahupun mental. Apakah niat itu disebabkan diri sendiri ataupun semata-mata mahu memuaskan hati orang lain yang mahukan kita berubah. Dalam konteks Emmet, watak Rex Dangervest itu adalah dirinya di masa hadapan selepas temannya, Lucy (suara oleh Elizabeth Banks) yang mahu melihat perubahan dalam dirinya sehingga menyebabkan dia berubah secara total. Filem The Lego Movie 2: The Second Part mungkin tidak dapat menandingi filem pertamanya dari sudut kutipan pecah panggung tetapi itu tidak bermakna ia bukan sebuah karya yang tidak bagus. Ia masih mampu dinikmati seenaknya terutama mereka yang menggemari filem animasi dan mahukan kelainan selain untuk pencinta permainan Lego. ***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.