suria

Kos RM20 juta, ‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ masuk pasaran global termasuk China

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (dua, kiri) menandatangani poster filem terbaru Upin & Ipin pada tayangan perdana filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal pada malam Selasa. Turut sama Pengarah Urusan Les Copaque Production Burhanuddin Md Radzi (kanan). Foto BERNAMA

FILEM terbaharu kembar animasi popular Upin dan Ipin iaitu Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bakal menembusi pasaran antarabangsa apabila beberapa negara termasuk China menunjukkan minat untuk menayangkan naskhah itu.

Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd iaitu Burhanuddin Mohd Radzi berkata, beberapa negara lain seperti Taiwan, Vietnam, Indonesia juga menunjukkan minat dan perbincangan dengan semua pengedar di negara tersebut sudah memasuki peringkat akhir.

"Alhamdulillah filem ini akan memasuki pasaran Taiwan dan majlis tayangan perdana akan diadakan tidak lama lagi.

"Begitu juga China, Vietnam, Indonesia dan beberapa negara lagi pun menunjukkan minat cuma setakat ini kita sedang melakukan perbincangan akhir bagi mendapat tarikh dan jumlah panggung," katanya.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bakal menemui penonton pada 21 Mac ini. 

Burhanuddin ditemui pada tayangan perdana filem itu yang diadakan pada malam Selasa dan ia turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik.

Ia diarahkan oleh tiga pengarah muda iaitu Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim dan Ahmad Razuri Roseli.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 21 Mac ini.

Dalam pada itu, Burhanuddin berkata, filem tersebut mengambil masa lima tahun untuk disiapkan selain ia menelan kos sebanyak RM20 juta.

Tenaga kerja Upin & Ipin.

Katanya, tempoh itu diambil kerana ingin memastikan semua aspek dihasilkan dengan teliti agar produk akhir disajikan kepada penonton adalah yang terbaik.

"Sepanjang tempoh itu daripada kurang 50 kakitangan yang bertungkus lumus menyiapkan filem itu menjadi hampir 140 orang... Ia semata-mata bagi memastikan kami menyajikan produk terbaik.

"Banyak juga babak-babak dalam filem itu yang sudah siap kami buat semula kerana tidak menepati piawaian selain banyak kajian dilakukan ketika menghasilkan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.

Sementara itu, Mazlee ketika ditemui media memberitahu beliau berbangga dengan usaha Les' Copaque menghasilkan filem itu termasuk mengangkat kisah dongeng popular namun mengolahnya dalam versi moden serta sarat dengan nilai moral dan pengajaran kepada penonton.

Mazlee puji filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.

Kata Mazlee, naskhah itu juga boleh dijadikan contoh kepada penggiat seni lain agar tampil dengan filem bermutu pada masa akan datang.

"Saya melihat filem ini bukan sahaja menghiburkan tetapi ia penuh dengan nilai-nilai murni yang dipersembahkan dalam jalan ceritanya yang boleh memberi pendidikan kepada penonton terutamanya kanak-kanak.

"Ia satu usaha yang sangat baik yang dibuat oleh pihak produksi selain Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal boleh menjadi penanda aras kepada penggiat seni lain dalam menghasilkan filem lebih bermutu," katanya.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menampilkan suara Asyiela Putri Azhar, Ahmad Mawardi Abdul Rahman, Fakhrul Razi, Ernie Zakri dan Mohd Amir Asyraf.

Artikel Lain