Filem: Pokemon Detective Pikachu Pengarah: Rob Letterman Pelakon: Ryan Reynolds, Justice Smith, Kathryn Newton, Bill Nighy, Ken Watanabe,Suki Waterhouse dan Rita Ora Genre: Aksi/Pengembaraan/Komedi Durasi: 104 minit Pengedar: Warner Bros. Pictures Tarikh Tayangan: 9 Mei 2019 JIKA ada yang menyangka formula adaptasi yang sering diguna pakai oleh Hollywood demi kelangsungan industri perfileman mereka sentiasa berjaya, ternyata sangkaan itu silap. Meskipun Hollywood dilihat sebagai gergasi dalam pembikinan filem, tetapi tidak semuanya yang dibikin oleh mereka mendapat sambutan luar biasa bukan hanya dari sudut kutipan tetapi juga pujian pengkritik filem. Benar. Formula adaptasi komik adi wira Hollywood memang tidak dinafikan keberkesanannya sehingga mengaut keuntungan yang bukan kecil. Tiga pelakon utama filem Pokemon Detective Pikachu iaitu (dari kiri) Ryan Reynolds, Justice Smith dan Kathryn Newton. Tetapi, apabila Hollywood mengguna pakai formula adaptasi permainan video, ia adalah satu kegagalan kerana sejarah sudah pun membuktikannya. Sehingga ke hari ini, formula berkenaan nampaknya tidak memberikan impak luar biasa buat Hollywood dan masih lagi tidak berupaya untuk mencatatkan rekod kutipan yang membanggakan di Amerika Syarikat (AS) sendiri. Ia diibarat seperti satu sumpahan bahawa pembikinan filem yang menggunakan formula tersebut tidak mampu untuk memenangi hati peminat dan pengkritik untuk meletakkan karya-karya tersebut pada satu tanda aras membanggakan. Seperti mana dilaporkan oleh Box Office Mojo, filem adaptasi permainan video yang paling berjaya setakat ini adalah Lara Croft: Tomb Raider (2001) lakonan Angelina Jolie yang mencatatkan kutipan sebanyak AS$131.1 juta (RM546.1 juta) di AS. Justeru, apabila filem Pokemon Detective Pikachu yang juga merupakan adaptasi permainan video daripada judul yang sama menemui penonton, apakah ia mampu untuk mematikan sumpahan yang selama ini membelenggu Hollywood? Ternyata ia adalah satu risiko yang amat tinggi tetapi apabila Pokemon Detective Pikachu atau ringkasnya, Detective Pikachu mencatatkan kutipan pembukaan sebanyak AS$54.4 juta (RM224.9 juta) di AS, ramai melihatnya sebagai satu petanda positif. Penerimaan baik terhadap Detective Pikachu barangkali ada kaitannya dengan sentuhan yang segar, relevan dan menepati cita rasa peminat filem yang dapat menghubungkan mereka dengan permainan video itu. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa sebelum Detective Pikachu, sebanyak 22 buah filem di bawah jenama Pokemon sudah dihasilkan termasuk sebuah filem yang sedang dalam pembikinan. Salah satu babak filem Detective Pikachu yang sedang ditayangkan. Akan tetapi, kesemuanya itu adalah filem animasi dan apa yang membezakan Detective Pikachu dengan filem animasi Pokemon yang lain adalah ini merupakan filem live action (lakonan hidup) pertama dalam siri tersebut. Penulis yang berkesempatan menonton Detective Pikachu beberapa hari lalu tidak menafikan bahawa pendekatan yang diambil untuk menghasilkan filem ini sebenarnya adalah sebagai tanda penghargaan buat peminat jenama tersebut. Diadaptasi daripada permainan video dengan judul sama yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2016, Detective Pikachu membuka ruang buat peminat baharu untuk sama-sama mendekati dunia baharu Pokemon itu. Untuk diri penulis sendiri yang sememangnya bukan peminat tegar jenama Pokemon itu, karya yang diarahkan oleh Rob Letterman (Goosebumps, 2015) ini tidak mengecewakan. Meskipun secara zahirnya, naratif filem ini sudah terlalu banyak kali diulang sehingga tiada apa yang ekstravaganza tentangnya, Detective Pikachu berjaya sebagai wadah hiburan buat mereka yang mahu menikmatinya bersama keluarga. Penulis tidak melihat perkara itu sebagai kekurangan terbesar filem ini. Sebaliknya, ia adalah sebagai pembuka selera buat peminat dan pengikut tegar Pokemon selain memberi signal bahawa sebuah lagi francais baharu akan dicipta selepas ini. Apatah lagi ia berada dalam acuan filem yang menepati tontonan seisi keluarga, Detective Pikachu ‘bersih’ dan disebabkan itu, jalur ceritanya dibikin sedemikian rupa dengan mesej positif yang boleh diterima akal. Sebagai contoh, dalam dunia yang berlegar di sebuah bandaraya bernama Ryme City (corak pembangunannya menggabungkan bandar-bandar utama dunia), manusia dan Pokemon menjalani kehidupan yang aman dan harmoni. Watak comel dan paling digemari dalam dunia Pokemon, Pikachu kini dizahirkan menerusi filem Pokemon Detective Pikachu. Ini sebagai satu metafora bahawa semoden mana kehidupan manusia itu, pemikiran mereka juga harus seiring dan terbuka tanpa perlu ada sifat negatif mahupun prejudis terhadap sesiapa. Namun, apabila seseorang yang memiliki kuasa dan kekayaan sehingga terbit rasa tamak haloba, tangan manusia sendiri juga yang mengganggu-gugat dan merosakkan keharmonian yang tercipta itu. Malah, mesej hubungan kekeluargaan antara seorang anak dan ayah itu juga walaupun bukan baharu tetapi apa yang dipaparkan dalam Detective Pikachu itu adalah sebenarnya cukup dekat dengan masyarakat hari ini. Apatah lagi, pengorbanan seorang ayah acap kali dipandang sepi berbanding ibu, namun, Detective Pikachu membuktikan bahawa peranan seorang bapa sebenarnya wajar diangkat setaraf dengan seorang ibu. Walaupun cuba hendak menafikan realiti, tetapi kekesalan dan kesedihan yang dilalui oleh Tim Goodman (lakonan Justice Smith) itu selepas apa yang berlaku di dalam hidupnya, memberikannya peluang kedua untuk memperbaiki kesalahannya. Bekas calon Oscar, Ken Watanabe sebagai Detektif Hideo Yoshida yang turut memiliki Pokemon bernama Snubbull. Sebahagian besar filem ini menyaksikan aktor kacak terkenal, Ryan Reynolds menggunakan bakatnya dengan menyumbangkan suara untuk watak Pikachu yang comel dan bijak. Namun, kebijaksanaan Reynolds mengimbangi emosi dalam menghidupkan karakternya membuatkan watak itu cukup disenangi dan disayangi oleh mereka yang menontonnya. Menyedari bahawa watak Pikachu adalah yang paling disukai peminat, Reynolds tidak berlebih-lebihan dalam merealisasikannya dan semuanya berada dalam terkawal. Ternyata Reynolds adalah pilihan tepat untuk watak berkenaan. Tidak hanya menjalinkan keserasian yang baik dengan watak Tim, tetapi Pikachu juga memiliki mencipta jalinan itu dengan satu lagi watak Pokemon, Psyduck yang turut mencuit hati dan perhatian dengan keletah mereka. Dalam konteks ini, efek visualnya untuk menzahirkan Pikachu dan karakter-karakter Pokemon yang lain berada pada tahap membanggakan untuk memperkenalkan ia kepada khayalak sekaligus membuatkan penonton mengingati mereka. Seperkara yang penulis sukakan tentang Detective Pikachu ini adalah aspek sinematografinya yang berjaya menghidupkan satu alam yang tepat dengan tema filem ini sendiri. Setiap karakter memiliki warna tersendiri dan menterjemahkan emosi yang cukup kena dengan apa yang dilalui oleh mereka. Pun begitu, agak sukar untuk terus meramal apakah Detective Pikachu mampu untuk menjadi filem adaptasi video paling berjaya di AS walaupun kutipan pembukaannya berada dalam kategori membanggakan. Apa yang pasti, Detective Pikachu tidak akan bernoktah kerana suka ataupun tidak, perjalanannya untuk menjadi sebuah francais filem baharu kini bermula. Tambahan pula, filem sekuelnya kini berada di peringkat pra penerbitan. *** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017, kategori Kritikan Filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.