Filem: Aladdin Pengarah: Guy Ritchie Pelakon: Will Smith, Mena Massoud, Naomi Scott, Marwan Kenzari, Nasim Pedrad, Navid Negahban, Numan Acar dan Billy Magnussen Genre: Fantasi/Muzikal/Pengembaraan Durasi: 128 minit Pengedar: Walt Disney Pictures Tarikh Tayangan: 23 Mei 2019 . SEPERKARA yang dilihat agak sukar untuk dilakukan adalah untuk menghidupkan semula kisah klasik yang sudah sebati dan menjadi sebahagian daripada hidup mereka yang membesar dengannya. Perkara ini merujuk kepada formula ‘baharu’ yang diguna pakai oleh Walt Disney Pictures demi kelangsungan hidup bagi memastikan empayar seni mereka terus berdiri megah. Buktinya, apabila formula tersebut yang menerbitkan filem lakonan hidup (live action) seperti Beauty and the Beast (2017), The Jungle Book (2016), Cinderella (2015) dan Maleficent (2014) yang mencatatkan kutipan pecah panggung membanggakan. Filem lakonan hidup ‘Aladdin’ ini bukan produk salinan karbon semata-mata tetapi memiliki sentuhan moden selari dengan permasalahan dunia masa kini. Namun, bukan semua sentuhan magis Disney itu menjadi dan ada di antaranya bukan sahaja mendapat kritikan pelbagai daripada pengkritik filem serta peminat tetapi juga tidak berupaya beraksi cemerlang di panggung. Salah satu yang paling terkini adalah filem Dumbo arahan Tim Burton yang ditayangkan sekitar dua bulan lalu apabila ia dilihat sebagai sebuah kegagalan dan tidak mampu meninggalkan impak besar. Persoalannya adalah apakah dengan formula menerbitkan filem lakonan hidup ini hanya sekadar mahu memenuhkan portfolio Disney atau mahu memberikan sesuatu yang baharu dan segar untuk generasi terkini. Seperti mana yang penulis sebutkan di awal perenggan, bukan mudah untuk mengaplikasikan formula sedemikian kerana sebahagian besar daripada peminat filem sudah biasa dengan filem asal. Lalu, apabila Aladdin yang dizahirkan semula daripada kisah klasik animasi Disney yang diterbitkan pada tahun 1992, apakah ia berjaya dan mampu mencipta nostalgia baharu atau hanya sekadar menjadikan ia sebagai salinan karbon demi keuntungan semata-mata? Penulis berkesempatan menonton Aladdin arahan Guy Ritchie (Sherlock Holmes, 2009) baru-baru ini melihat sentuhan baharu dari pelbagai perspektif selari dengan permasalahan yang berlaku dalam dunia ketika ini. Bohong jika penulis mengatakan tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat Aladdin versi baharu ini untuk mencapai standard seperti filem animasinya tetapi itu adalah sesuatu yang tidak adil. Bekas calon Oscar, Will Smith memberikan interpretasi sendiri dalam menghidupkan watak jin. Bagi penulis, yang klasik biarkan dan kekalkan ia sebegitu. Tetapi, Aladdin yang mendapat sentuhan Ritchie ini sebenarnya bukanlah sebuah karya yang teruk seperti dikatakan ramai. Benar. Memang sukar untuk mencapai tahap dan standard yang telah dilakukan oleh filem terdahulu tetapi Aladdin memiliki sentuhan tersendiri yang wajar diberikan pujian dan penghormatan. Kelebihan untuk Aladdin apabila dihidupkan sebagai sebuah filem cereka apabila ia memiliki peluang untuk bermain dengan kreativiti dengan mencipta Agrabah sebagai sebuah kota yang sifatnya begitu sejagat. Tidak terlalu menjadi eksklusif sebaliknya Agrabah membuka pintunya kepada sesiapa sahaja untuk menjadikannya sebagai sebuah kota yang tiada sempadan dan prejudis. Tambahan pula, Aladdin tidak mengadaptasi sepenuhnya daripada filem animasi asal tetapi memiliki cerita tambahan daripada kisah budaya rakyat terkenal, Hikayat Seribu Satu Malam. Disebabkan itu, dari sudut penataan seninya, Aladdin boleh disifatkan sebagai mewah dengan pelbagai budaya, warna dan personaliti yang dilihat sebagai satu metafora yang bertentangan dengan gejolak permasalahan dunia kini. Penghasilannya yang mendapat sentuhan bekas calon Oscar, Gemma Jackson dilakukan dengan teliti walaupun disuntik berlebihan dengan imej janaan komputer (CGI) tetapi perkara itu tidak seharusnya menjadi pertikaian. Pemilihan Naomi Scott sebagai Puteri Jasmine sangat bertepatan. Apatah lagi untuk menghidupkan watak jin berwarna biru, adegan permaidani terbang dengan sinematografi yang indah dan menarik walaupun ada beberapa babaknya mengingatkan penulis kepada francais filem klasik, Indiana Jones. Begitu juga dengan rekaan busananya yang memiliki warna tersendiri bagi menggambarkan personaliti setiap watak utamanya terutama yang digayakan oleh Puteri Jasmine (lakonan Naomi Scott). Sebagai seorang wanita yang berperang dengan dirinya sendiri, pereka busananya yang juga bekas calon Oscar, Michael Wilkinson bijak memadankan warna dengan pergolakan jiwa Jasmine terutama sewaktu puteri itu menyampaikan lagu Speechless. Bahkan, perincian untuk setiap busananya cukup teliti, kemas dan mengangkat martabatnya sebagai seorang puteri yang cantik, bijak dan menjadi perhatian lelaki. Cuma, untuk watak sebagai seorang pencuri, busana yang dipakai oleh Aladdin (Mena Massoud) dilihat terlalu kemas dan cantik lalu mencacatkan sedikit permandangan untuk berasa simpati dengan apa yang dilalui oleh Aladdin. Menyentuh tentang aspek penceritaannya pula, secara zahirnya, pembentangan ceritanya sudah mudah dijangka tetapi sebagai penulis lakon layarnya, Ritchie bersama-sama John August, mereka menyuntik elemen moden untuk memberikan perspektif baharu. Paling ketara bagaimana Aladdin mahu mengangkat Jasmine sebagai wanita yang bukan tipikal pada zaman itu yang disimpan di dalam sangkar emas dan menjadi perhiasan semata-mata. Mena Massoud tidak mengecewakan sebagai Aladdin Sebaliknya, Jasmine memiliki suara hati yang mahu diperdengarkan kepada dunia apabila dia mahu menjadi pemimpin dan percaya bahawa wanita juga berhak melakukan serupa dan tidak semata-mata untuk lelaki. Lantaran itu, lagu baharu yang diperkenalkan dalam filem ini, Speechless gandingan pemenang Oscar dan Grammy yang juga komposer muzik filem asal, Alan Menken bersama-sama duo terkenal, Benj Pasek dan Justin Paul sebagai luahan hati Jasmine. Akan tetapi, Aladdin memiliki sedikit kekurangan dari sudut ceritanya apabila kisah Jasmine itu tidak dieksploitasi sepenuhnya untuk melihatkan dirinya sebagai seorang wanita yang hebat selari dengan misi serta visinya. Malah, terdapat kelompongan pada babak konfrontasi antara Jasmine dan Jafar (Marwan Kenzari) walhal sebelum itu, persoalan dan kisah mereka tidak diceritakan dengan jelas. Lebih-lebih lagi, apabila kisah Jafar juga tidak diberikan ruang yang besar lalu menjadikan ia sebagai hambar dan seolah-olah cerita dan wataknya tidak diberikan perhatian sewajarnya. Sedangkan dalam filem animasi, kisah dan watak Jafar itu adalah sesuatu yang cukup menggerunkan dan mengerikan terutama pada babak-babak akhir yang seterusnya meletakkan Jafar sebagai salah satu watak antagonis terbaik ciptaan Disney. Malah, penulis juga tidak merasai persahabatan dan keserasian antara monyet peliharaan Aladdin, Abu dengan permaidani magis seperti mana di dalam filem animasinya. Pengarah filem Aladdin, Guy Ritchie (duduk) memberikan arahan kepada Will Smith di set penggambaran. Perhubungan antara dua karakter itu masih ada di dalam filem baharu ini tetapi ia tidak cukup sedangkan mereka juga antara watak penting dalam Aladdin. Dari aspek lakonan pula, Aladdin memperlihatkan kepelbagaian etnik dan kaum dalam membawakan watak masing-masing selari dengan latar belakang ceritanya. Walaupun namanya masih baharu, Massoud memberikan interpretasi tersendiri untuk watak Aladdin dan menepati karakter itu sendiri. Pemilihan Scott sebagai Jasmine pula dilihat sebagai tepat kerana segala-galanya yang dimiliki oleh Jasmine ada pada Scott. Bukan hanya lakonan, tetapi wanita ini memiliki bakat nyanyian yang tersendiri dan tidak mustahil untuk lagu Speechless akan dikenang untuk jangka masa panjang. Sebagai Jafar, Kenzari telah memberikan lakonan yang tidak dikategorikan sebagai buruk ataupun cemerlang. Hanya sekadar biasa dan masih lagi boleh diterima dengan baik. Pastinya, watak yang sukar untuk dibawakan dalam filem Aladdin adalah watak jin yang dilakonkan oleh bekas calon Oscar, Will Smith. Tambahan pula, mendiang Robin Williams telah meletakkan standard yang cukup tinggi sebagai watak itu dalam filem animasinya lalu tekanan itu tidak dapat dielakkan oleh Smith daripada diperbandingkan. Pun begitu, Smith membawakan watak jin dengan gaya dan caranya sendiri. Marwan Kenzari memegang watak antagonis bernama Jafar Dalam erti kata lain, dia menjadi dirinya sendiri dan ia mengingatkan penulis kepada lakonannya dalam siri televisyen, The Fresh Prince of Bel-Air yang cukup popular pada tahun 90-an. Smith tidak gagal tetapi dia menterjemahkan perspektifnya sendiri untuk watak itu dan mengelakkan dirinya terikut-ikut dengan karakter Williams. Bukankah tujuan utama filem pembikinan semula adalah untuk menginterpretasi dengan cara sendiri dan bukannya menjadi salinan karbon? Walau apa pun, Aladdin masih lagi menghiburkan dan memberikan hiburan yang terbaik buat pencinta filem terutama pengikut filem-filem Disney. Malah, ia bukanlah kegagalan yang teruk juga. Cuma, mungkin agak sukar untuk generasi peminat terdahulu menghapuskan nostalgia filem asalnya kerana ia sudah menjadi sebati dalam diri mereka. *** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017, kategori Kritikan Filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa