suria

Cabaran ‘Anak Perjanjian Syaitan’... Nadzmi Adhwa terima gangguan, Chacha Maembong tak fikir panjang

Peluang menjayakan watak dalam filem Anak Perjanjian Syaitan merupakan pengalaman terindah bagi pelakon utama Nadzmi Adhwa dan Chacha Maembong.

PELAKON utama filem Anak Perjanjian Syaitan iaitu Nadzmi Adhwa dan Chacha Maembong berkata pengalaman berlakon dalam filem seram tersebut merupakan satu peluang keemasan yang tidak mungkin dilupakan.

Menurut Nadzmi, biarpun berdepan dengan gangguan misteri sepanjang penggambaran, namun proses pembikinan tetap berjalan lancar.

ARTIKEL BERKAITAN: Entiti muncul dalam rakaman telefon Siti Saerah - “Ada pakcik datang bagi warning tempat itu keras”

"Kalau ditanya pengalaman sepanjang penggambaran, antara yang paling memberi cabaran apabila mengalami gangguan di lokasi, namun semuanya berjalan dengan lancar dan saya rasa pengalaman sebegini pernah dilalui oleh pelakon-pelakon yang berlakon filem seram.

"Sebelum ini saya tidak pernah berlakon lagi dalam filem bergenre seram dan ini merupakan satu pengalaman yang cukup menarik untuk terbabit dalam pembikinan Anak Perjanjian Syaitan.

"Dalam filem ini, karakter saya agak kelihatan lebih matang kerana membawakan watak sebagai seorang guru dan bakal bapa yang teruja menantikan kehadiran cahaya mata sulung," katanya.

Chacha cabar kemampuan diri sebagai seorang pelakon.

Sementara itu, Chacha Maembong pula berkata dia tidak berfikir terlalu lama untuk bersetuju dengan tawaran melakonkan watak Azlinda dalam filem ini.

Ini kerana dia tertarik dengan perjalanan cerita serta perkembangan watak yang dilihat begitu mencabar dirinya sebagai pelakon.

"Apabila ditawarkan berlakon dalam filem, saya tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan persetujuan lantaran filem Anak Perjanjian Syaitan ini suatu naskhah yang menarik.

"Kalau bercerita dari sudut cabaran pula, pada saya untuk mendalami watak Azlinda ini bukanlah suatu yang mudah kerana ada babak-babak yang agak berat. Namun, saya beruntung kerana mendapat bantuan daripada rakan-rakan pelakon dan produksi untuk menjayakannya.

"Saya harap penonton dapat mesej yang disampaikan dalam filem ini dapat diterima dengan baik oleh penonton, biarpun ia sebuah naskhah seram," ujarnya.

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam pada 24 Oktober depan.

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Cikgu Zaidy lakonan Nadzmi Adhwa dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata. 

Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampong di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Shahrulnizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun. 

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila dibawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor. 

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’. 

Apakah kesudahannya, jangan lupa tonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019.

Filem: Anak Perjanjian Syaitan

Tarikh Tayangan: 24 Oktober 2019

Genre: Seram

Durasi: 1 Jam 35 Minit

Pengedar: Empire Film Solution

Pelakon: Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Shahrulnizam Noor, Azlan Komeng

Pengarah: Helmi Yusof

Artikel Lain