suria

Cipta sejarah tersendiri, 'Anak Perjanjian Syaitan' raih RM1 juta dalam tempoh lima hari tayangan

Filem Anak Perjanjian Syaitan berjaya raih RM1.01 juta dalam tempoh lima hari tayangan.

BIARPUN bersaing dengan filem Hollywood Joker dan Maleficent, filem Anak Perjanjian Syaitan berjaya meraih kutipan sebanyak RM1.01 juta dalam tempoh lima hari tayangan.

Penerbit Screen Studios, Saifulhaq Anani, berkata, dia tidak menyangka filem genre seram itu mencetuskan fenomena dengan sambutan luar biasa daripada penonton meskipun tidak menaruhkan pelakon popular tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat tarik nafas, 'Anak Perjanjian Syaitan' cabar adrenalin penonton! 8 sebab anda wajib tonton filem seram ini

ARTIKEL BERKAITAN: Betul-betul seram! Filem belum keluar, 100 pawagam janji tayang ‘Anak Perjanjian Syaitan’

“Sudah tentu ia satu perkembangan yang positif, apatah lagi Anak Perjanjian Syaitan terpaksa bersaing dengan filem-filem besar Hollywood lain seperti Maleficent Mistress Of Evil, Terminator: Dark Fate dan Joker.

“Bagaimanapun, kami percaya dengan kekuatan jalan cerita yang ditampilkan dalam filem ini serta maklum balas positif daripada penonton,” ujarnya kepada mStar pada Selasa.


Anak Perjanjian Syaitan mencipta sejarah tersendiri

Tambahnya, penonton turut memberi maklum balas positif sehingga berjaya menarik orang ramai ke panggung menonton filem berkenaan.

“Saya anggap Anak Perjanjian Syaitan ini sebuah filem ‘underdog’, meskipun terpaksa bersaing dengan filem besar yang lain, kutipannya tetap memberangsangkan,” jelasnya.

Anak Perjanjian Syaitan terbitan Screen Studios Sdn Bhd sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura sejak 24 Oktober 2019.

Filem arahan Helmi Yusof itu menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Azlan Komeng dan Sahronizam Noor.

Dalam pada itu, Saifulhaq berkata, tayangan filem seram berjudul Anak Perjanjian Syaitan ini akan ditambah daripada 80 kepada 100 panggung di seluruh Malaysia, Brunei termasuk Singapura.

Antara babak yang mampu memberikan kesan trauma kepada penonton.

“Asalnya 80 panggung dan apabila ditambah menjadi 100 pawagam, bagi saya ia satu perkembangan yang sangat positif. Saya yakin Anak Perjanjian Syaitan akan memberikan kepuasan kepada penonton.

“Saya difahamkan penambahan jumlah panggung adalah atas permintaan pihak pawagam sendiri berdasarkan maklum balas positif penonton yang sudah menonton karya ini di majlis tayangan perdananya,” katanya.

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Cikgu Zaidy lakonan Nadzmi Adhwa dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata.

Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah iaitu lakonan Jasmin Hamid, seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Sudah tentu ia satu perkembangan yang positif, apatah lagi Anak Perjanjian Syaitan terpaksa bersaing dengan filem-filem besar Hollywood lain seperti Maleficent Mistress Of Evil, Terminator: Dark Fate dan Joker.

SAIFULHAQ ANANI

Penerbit Screen Studios

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampung daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. 

Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Sahronizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan suara bayi dan kanak-kanak bermain sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila dibawa ke klinik, Azlinda disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, Azlinda masih diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’.

Anak Perjanjian Syaitan kini ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 24 Oktober lalu.

BARISAN PELAKON

NADZMI ADHWA - Cikgu Zaidy

CHACHA MAEMBONG - Azlinda

JASMIN HAMID - Puan Rahmah

SAHRONIZAM NOOR - Pak Man

AZLAN KOMENG - Ustaz Aznan Shamsullah

Artikel Lain