PENYANYI dan pelakon, Kaka Azraff berkata pengalaman berlakon dalam filem Zharfa telah mencabar kemampuannya kerana perlu bermain dengan pelbagai emosi. Menurut Kaka, meskipun watak itu agak berat namun dia tidak terbeban dengan tugasan tersebut kerana menerima bantuan serta sokongan daripada pengarah, Ruli Wanisar. "Filem ini banyak bermain dengan emosi dan paling mencabar apabila saya perlu menjiwai babak Zharfa menangis ketika bertemu bapa kandungnya. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bangun dalam keadaan menangis” - Itu luah Kaka Azraff "Malah, ada satu babak aksi dalam filem ini menyebabkan saya mengalami luka... mujurlah pengarah banyak membantu saya menjiwai babak itu seperti dikehendaki skripnya dengan baik. "Apa yang boleh saya kata, filem ini sarat dengan pelbagai elemen, ketawa, menangis, dan anda akan belajar sesuatu dari filem ini. Not your typical Malay movie, trust me! Filem yang ringan tapi penuh dengan mesej,” katanya. Zharfa mencabar kemampuan Kaka sebagai seorang pelakon. Selain Kaka, filem ini turut menampilkan pelakon dari Indonesia iaitu Donny Alamsyah, Bentari Ayu, Shelomita dan Qazem Noor. Filem usahasama produksi Malaysia dan Indonesia itu telah ditayangkan di pawagam tanah air bermula Khamis lalu. Meskipun sedang berpantang anak pertama, Kaka berkata dia akan turut serta turun padang menjayakan promosi untuk filem ini. Walaupun saya sekarang masih dalam tempoh berpantang, saya tetap menjayakan promosi untuk filem ini! Kaka Azraff Pelakon filem Zharfa Malah, dia meletakkan harapan agar filem ini menjadi platform terbaik buatnya menembusi pasaran seberang. "Dalam filem ini saya menimba pengalaman berbeza kerana bekerja dengan produksi dari Indonesia dan ia satu pengalaman yang cukup berharga. Kaka bersama barisan kru produksi dari Indonesia. "Walaupun saya sekarang masih dalam tempoh berpantang, saya tetap menjayakan promosi untuk filem ini. "Saya tak sabar nak tunggu reaksi penonton dan berharap filem ini akan menerima sambutan baik daripada rakyat Malaysia,” katanya. Sementara itu, peminat seni, Datuk Seri Zaienal Abidin mengakui filem ini telah menyentuh emosinya ketika dia menonton pada malam tayangan perdana, baru-baru ini. Zaienal berkata, Zharfa merupakan filem Melayu pertama yang membuatkan dia menitiskan air mata dan berharap lebih ramai pembikin filem menghasilkan karya sedemikian. "Filem ini sangat menyentuh hati saya, sampaikan saya menangis di dalam pawagam dan saya rasa sangat berbaloi menonton filem ini. "Lakonan Kaka dan pelakon lain dari Indonesia sangat mantap dan semua rakyat Malaysia harus menyokong filem ini," ujarnya.