suria

A. Aida labur ratusan ribu ringgit untuk CGI filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda - “Hasilnya… boleh tuju pada KRU”

A.Aida keluarkan kos ratusan ribu untuk teknik CGI filem Ratu Kala Jengking.

BAGI memastikan setiap babak penting dalam filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda lebih realistik dan menarik perhatian penonton, penerbit A.Aida Production iaitu Datuk A. Aida sanggup mengeluarkan bajet ratusan ribu ringgit untuk teknik imej janaan komputer (CGI).

Menurut A.Aida atau nama sebenar Zaidah Awang, dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada KRU Studios untuk menghasilkan teknik CGI terbaik untuk filem pertamanya ini.

"Sebenarnya dalam fikiran saya mahukan teknik CGI seperti dalam filem Scorpion King... tapi apabila bertanya mereka yang pernah kerja dengan produksi Hollywood, setiap satu babak kena keluarkan RM1 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Labur RM3 juta, ‘Ratu Kala Jengking:Puteri Keranda’ pasti dapat sambutan

"Saya terpaksa tolak sebab kita ada banyak babak memerlukan CGI, kena bayar berpuluh juta pula nanti, tapi sebab nak dapatkan yang terbaik saya bincang dengan Datuk Norman (KRU) dan akhirnya dia dapat bantu hasilkan CGI untuk filem ini.

"Kos keseluruhan untuk CGI boleh dikatakan ratusan ribu ringgit! Apa-apa pun terima kasih kepada mereka, itulah hasilnya... boleh tuju pada KRU ya!," katanya kepada mStar.

Teknik CGI hasil sentuhan KRU Studios.

A. Aida ditemui semasa tayangan perdana filem tersebut yang diadakan di MM Cinpelex, eCurve, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Dalam pada itu, filem yang menelan belanja RM2.1 juta ini turut menerima sentuhan skor muzik daripada pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim.

Saya tak kisah bayar mahal sekalipun asalkan hasilnya nanti menakjubkan... jadi datanglah tonton filem ini dan tengok hasil CGI serta skor muziknya!

DATUK A. AIDA

PENERBIT

Berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan, A. Aida berkata dia tidak kisah mengeluarkan kos yang tinggi.

"Untuk skor muzik, saya bincang dengan Yusry dan saya suka hasilnya. Mungkin akan ada penonton bertanya kenapa ada lagu moden dalam cerita rakyat begini?

Penerbit, A. Aida (empat dari kiri) bersama barisan pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

"Ini kerana kita nak sesuaikan muzik dengan keadaan sekarang, walaupun cerita ini kisah dahulu kala tapi kita mengenakan garapan moden dan susunan muzik juga dilihat bersesuaian dalam setiap babak.

"Saya tak kisah bayar mahal sekalipun asalkan hasilnya nanti menakjubkan... jadi datanglah tonton filem ini dan tengok hasil CGI serta skor muziknya," ujarnya.

Bercakap mengenai filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda, A. Aida memberitahu ia diadaptasi daripada satu kisah benar yang berlaku di negeri Johor kira-kira 200 tahun lalu.

Ujarnya sebagai penerbit, dia terpanggil menghasilkan filem ini kerana mahu mengangkat cerita rakyat dalam kalangan penonton Malaysia dan membawa naskhah ini ke peringkat antarabangsa.

A. Aida berpuas hati dengan teknik CGI dan skor muzik filem ini.

"Ini filem pertama saya dan sudah tentulah saya mahu memberikan yang terbaik dan Ratu Kala Jengking dihasilkan berdasarkan kisah benar wanita bernama Cik Siti Aminah Tanah Mahsyur yang mempunyai 99 suami.

"Objektif utama saya buat filem ini sebab nak mengetengahkan cerita-cerita rakyat Malaysia. Kita sebenarnya ada banyak cerita rakyat tapi tak semua orang tahu, sebab itu saya terpanggil untuk hasilkan sebuah filem dengan genre begini.

"Kalau kita tengok Hollywood ada banyak cerita rakyat yang popular di seluruh dunia antaranya Cinderella, Robin Hood dan Sleeping Beauty... jadi bermula daripada situ, saya terfikir kenapa kita tidak mengangkat cerita rakyat kita juga?" katanya.

Ratu Kala Jengking menampilkan pelakon Nadia Brian, Amar Asyraf, Datuk Fizz Fairuz, Eyra Hazali, Octavia Manrose, Eyra Hazali dan Firman Siagian.

Filem arahan Bade Hj Azmi ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Februari ini.

Ratu Kala Jengking, A. Aida

Artikel Lain