suria

‘Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda’ kisah benar wanita kematian 99 suami pada malam pertama... Ini 8 sebab kena serbu pawagam!

Nadia Brian bawa watak Cik Siti dalam filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Filem: Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda

Genre: Seram / Romantik

Durasi: 2 Jam

Pelakon: Nadia Brian, Amar Asyraf, Datuk Fizz Fairuz, Firman Siagan, Eyra Hazali dan Fauziah Nawi

Pengarah: Bade Hj. Azmi

Terbitan: A. Aida Production

Tayangan: 27 Februari 2020

MENERBITKAN sebuah naskhah berasaskan cerita rakyat bukanlah pilihan kebanyakan penerbit filem di Malaysia memandangkan genre sedemikian dikatakan kurang menarik perhatian penonton untuk ke panggung.

Bagaimanapun, A. Aida Production mengambil langkah berani dengan menerbitkan filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang dikatakan merupakan salah satu kisah benar yang berlaku di sebuah daerah di Johor.

Melihat posternya sahaja sudah membuatkan ramai tertanya-tanya adakah ini sebuah filem seram atau cerita legenda dongeng? Namun yang pasti penggemar filem Melayu tidak sabar untuk mengetahui isi dalam naskhah terbaharu arahan Bade Hj Azmi ini.

ARTIKEL BERKAITAN: A. Aida labur ratusan ribu ringgit untuk CGI filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda - “Hasilnya… boleh tuju pada KRU”

ARTIKEL BERKAITAN: Nadia Brian sanggup berkemban, berdepan 18 ekor kala jengking atas katil

Kali ini mStar sediakan 8 info menarik mengenai filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.


Siti disumpah kerana melanggar pantang larang dan menerima akibat daripada tindakannya itu.

1. Lakonan teraju utama iaitu Nadia Brian harus dipuji kerana berjaya mengolah watak Siti dengan begitu baik sekali, perjalanan cerita dari awal kemunculannya sehinggalah berkahwin dengan lelaki yang ke-100, Nadia berjaya mengadun pelbagai emosi dalam wataknya itu! Segala kesedihan, kegembiraan dan kesakitan yang dibawa dengan begitu baik meskipun dia masih boleh dianggap pelakon baharu.

2. Watak antagonis Mawar yang dilakon Eyra Hazali juga tidak kurang hebatnya apabila dia berjaya membawakan satu sisi lain sebagai pelakon di layar perak. Ekspresi muka yang ditunjukkan sudah cukup membuatkan kami yang menonton rasa menyampah dan naik geram.

Eyra Hazali bawa watak antagonis.

3. Meskipun kisah sebenar mengenai Cik Siti dikatakan berlaku sekitar 200 tahun dahulu, namun filem ini menggunakan latar masa pada tahun 1950an sehingga 1970an. Apa yang harus dipuji, latar masa, lokasi dan prop yang digunakan kelihatan sangat realistik sehinggakan penonton terasa seperti berada di zaman itu.

Penonton disajikan dengan pemandangan indah flora dan fauna.

4. Filem ini menjalani penggambaran di Hutan Simpan Panti yang terletak di Kota Tinggi, Johor. Produksi dilihat berusaha menonjolkan keindahan alam yang ada di Malaysia. Tak sangka rupa-rupanya negara kita masih tersimpan pelbagai spesies flora dan fauna!

5. Bersesuaian dengan cerita rakyat berlatarbelakangkan kehidupan di sebuah desa terpencil, adat tradisi seperti seni mempertahankan diri, silat turut ditonjolkan dalam filem ini. Walaupun masih ada yang mempercayai ilmu hitam dan bantuan bomoh, namun masyarakat pada zaman itu masih berpegang teguh kepada ajaran agama Islam.

Budaya tradisional Melayu ditonjolkan dalam filem ini.

6. Jangan pelik kalau filem ini turut menyelitkan lagu-lagu popular nyanyian penyanyi masa kini antaranya Khai Bahar, Syamel, Ernie Zakri serta Hafiz Suip. Menurut penerbit Datuk A. Aida, pemilihan lagu terkini itu dibuat bersesuaian dengan selera penonton muda.

7. Teknik imej janaan komputer (CGI) yang digunakan mungkin tidak sehebat filem Hollywood yang lain, namun masih boleh diberikan pujian. Tidak sesuai untuk kita meletakkan harapan yang terlalu tinggi mengenai CGI yang dihasilkan oleh KRU Studios ini jika bajet untuk filem hanyalah RM2.1 juta dan kos CGI sahaja menelan belanja ratusan ribu ringgit. 

Secara jujurnya, sepanjang menyaksikan filem ini, penonton tidak terganggu dengan CGI yang dihasilkan, malah ada sebahagian babak kelihatan begitu realistik antaranya ketika kala jengking keluar dari mulut Siti.

Teknik CGI tidak mengecewakan.

8. Filem arahan Bade Hj Azmi ini sesuai ditonton jika anda mahukan sesuatu kelainan dan mencari sebuah karya yang mengangkat nilai budaya Melayu. \

Teringat kata-kata A. Aida semasa ditemubual selepas tayangan perdana, "Jika Hollywood boleh berbangga dengan filem Cinderella, Robin Hood dan Sleeping Beauty... kenapa kita tidak mengangkat cerita-cerita rakyat kita supaya dikenali dunia?".

Penerbit, A. Aida (empat dari kiri), pengarah Bade Azmi (dua dari kanan) bersama barisan pelakon.

 

Artikel Lain