suria

‘JanGo’ bakal jadi filem antarabangsa, angkat budaya Melayu dan Cina… Tercetus hasil idea spontan Khir Rahman, Joey Daud

Saraleana (lima dari kiri) bersama pelakon, pengarah dan team filem JanGo.

SELEPAS filem dialek Negeri Sembilan, Gadis Jolobu The Movie, syarikat produksi Zebra Studio tampil dengan karya baharu berjudul JanGo yang mengetengahkan budaya Melayu dan Cina untuk tayangan antarabangsa tahun ini.

JanGo iaitu ringkasan untuk Jangan Goyang menjadi filem rentas budaya dalam dwibahasa iaitu Melayu dan Cina yang pertama di Malaysia dengan menggabungkan empat pelakon Melayu dan Cina sebagai pemain watak utama.

Menurut Pengasas dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, idea menghasilkan filem JanGo dicetuskan dua pelakon utamanya, Khir Rahman dan Joey Daud.

ARTIKEL BERKAITAN: Lukisan dapat perkenan Sultan Johor, Joey Daud macam tak percaya dititah lukis 15 mural di Muar

ARTIKEL BERKAITAN: Hattan terima tawaran ‘Gadis Jolobu’ demi semangat anak nogori... Harap sambutan setanding filem dialek utara Mami Jarum

"Ketika penggambaran filem Gadis Jolobu The Movie, Khir dan Joey mengetengahkan idea menghasilkan filem JanGo.

"Saya tanya apa maksud JanGo, ini kerana saya tidak melihat program realiti yang pernah mereka sertai. JanGo adalah nama kumpulan Khir, Joey dan Vicha. Mereka pernah diangkat sebagai juara dalam program realiti itu. Daripada situlah datangnya idea menghasilkan filem JanGo.

"Lebih istimewa kami menggabungkan pelakon berbangsa Cina. Untuk JanGo 1.0, kami akan fokus di Malaysia, kemudian, Khir dan Joey akan terbang ke Shanghai, China menjalani penggambaran filem JanGo 2.0.

jango

Saraleana yakin filem JanGo mampu tebus pasaran antarabangsa.

"Sepatutnya, kami perlu ke China terlebih dahulu disebabkan mempunyai pelabur dari China. Namun, kami belum sempat membuat kajian. Jadi kami terpaksa menghasilkan filem JanGo 1.0 di Malaysia," katanya kepada mStar.

Saraleana bersama barisan pelakon ditemui semasa pelancaran filem berkenaan yang diadakan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saraleana berkata JanGo turut mengetengahkan beberapa unsur komedi antara budaya Melayu dan Cina di Malaysia.

Lebih membuatkan dia teruja kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan syarikat produksi Hong Kong kerana projek itu menonjolkan campuran budaya dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Saya mahu pelakon Malaysia diberi peluang mengetengahkan bakat ke luar negara terutama di Hong Kong dan China.

"JanGo dianggap suatu peluang untuk menarik penonton antarabangsa. Dengan pendekatan ini, ia membolehkan kita mencapai matlamat membawa karya dari Malaysia ke peringkat global," ujarnya.

jango 2

Selepas filem Gadis Jolobu The Movie, Joey Daud (kiri sekali) dan Khir Rahman (dua dari kiri) tampil dalam JanGo.

Mengulas tahap keyakinannya untuk menerbitkan filem JanGo 2.0 ketika sambutan terhadap filem sulung masih belum pasti, Saraleana percaya karya komedi mampu diterima baik di mana-mana sahaja.

"Genre filem ini adalah komedi dan aksi. Jadi, ia boleh diterima dengan baik di seluruh dunia. Sebelum ini, jika kita tengok komedi di Malaysia, ia membabitkan Melayu sahaja. Sama juga dengan filem komedi Cina.

"Namun, menerusi filem JanGo, kami mahu campuran komedi Melayu dan Cina. Jadi, pelakon Cina yang dipilih dalam filem ini boleh bercakap dalam bahasa Melayu.

"Joey dan Khir akan bertutur bahasa Cina untuk menceritakan bagaimana kita hidup dengan dua kaum ini jadi kami yakin filem JanGo boleh diterima dengan baik," katanya.

Selain Khir dan Joey, filem JanGo turut mengetengahkan pelakon Cina yang cukup popular di Singapura, Zhang Yaodong dan Chris Tong.

Bakal diarahkan sutradara berpengalaman, CL Hor, filem JanGo mula menjalani penggambaran di Lembah Klang, sejak awal Mei lalu.

JanGo mengisahkan dua sahabat karib yang bekerja di ladang durian. Suatu hari, mereka membuat keputusan meninggalkan kampung halaman demi kehidupan lebih baik di kota.

Secara tidak sengaja, mereka ditawarkan dua ketua agensi perisikan untuk menjadi ejen rahsia dan melakukan misi ke China.

Filem ini dengan usaha sama antara Zebra Studio dari Malaysia dan Times Multimedia Innovation Ltd yang berpangkalan di Hong Kong.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain