suria

Emosi tak stabil di lokasi, Shaheizy Sam sanggup berlapar demi ‘Polis Evo 3’... sampai elak dekati isteri takut bergaduh!

Sam yakin penonton dapat melihat perubahan fizikalnya dalam Polis Evo 3.

KOMITED terhadap kerjaya dan mahu mendapatkan bentuk badan menarik bagi menjayakan watak Inspektor Khai dalam filem Polis Evo 3, pelakon Shaheizy Sam memberitahu sanggup berlapar ketika menjalani penggambaran.

Kata Sam, 41, disebabkan terpaksa menahan perut, emosinya juga sedikit terganggu dan dia sendiri mengelak untuk berjumpa dengan isterinya iaitu Syatilla Melvin supaya tidak berlaku perselisihan faham.

"Saya memang buat diet ekstrem. Apa yang ada unsur gula saya tidak akan ambil. Jika ada peluang untuk 'bakar lemak' saya akan buat. Selagi mampu berjalan dan bekerja tanpa makan saya akan teruskan.

shaheizy sam 3

Zizan dan Sam sekali lagi berganding dalam Polis Evo 3.

"Ketika itu juga saya elak berjumpa isteri... biasalah apabila lapar, sesiapa sahaja akan cepat marah. Emosi saya memang tidak stabil ketika itu. Bayangkanlah bagaimana saya jalani penggambaran dalam keadaan lapar," katanya.

Bagaimanapun kata Sam dia tidak menggalakkan peminat untuk melakukan perkara sama kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sumpahan Jerunei’ angkat misteri adat pengebumian, sejarah budaya kaum Melanau

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tujuh Dua Belas’ beri kelainan, angkat wanita sebagai pelakon utama dalam filem aksi

Malah dia juga berkongsi pengalaman dimasukkan ke unit kecemasan sebuah pusat perubatan ketika menjalani penggambaran Polis Evo 2 dek kerana menjalani rutin diet sama.

"Disebabkan badan tidak cukup air dan tak makan, saya juga terkena serangan gastrik. Saya mengalami kekejangan otot sehingga terpaksa masuk hospital. Ketika itu rasanya macam nyawa sudah berakhir. Jadi janganlah buat seperti yang saya lakukan.

"Saya sanggup buat semua itu sebab minat dalam dunia lakonan dan saya mahukan hasil yang terbaik. Biarpun kena tanggung kos sendiri tapi saya sanggup agar boleh nampak hasilnya," ujarnya.

Emosi saya memang tidak stabil ketika itu. Bayangkanlah bagaimana saya jalani penggambaran dalam keadaan lapar?

SHAHEIZY SAM

PELAKON

Sam sekali lagi digandingkan dengan Zizan Razak dalam siri terbaharu filem ini dan mereka pertama kali bekerja dengan pengarah Syafiq Yusof.

Bercakap tentang pengalaman dalam filem kali ini, kata Sama faktor usia antara cabaran untuk dia melakukan babak aksi.

"Saya jarang bersenam jika tidak terlibat dengan penggambaran. Jadi apabila mula masuk ke set dan melakukan babak aksi memang ada sikit rasa penat dan mudah letih. Usia pun semakin meningkat... jika silap langkah sikit mulalah rasa sakit.

shaheizy sam 2

Syafiq (kiri) diberi tanggungjawab sebagai pengarah Polis Evo 3.

"Bekerja dengan Syafiq juga berbeza. Saya melihat dia ada gabungan ciri-ciri pengarah filem Polis Evo yang pertama dan kedua.

"Kami telah kenalkan kepada semua watak Sani dan Khai sejak lapan tahun lalu. Banyak lagi kisah yang ingin diceritakan kepada penonton," jelasnya.

Filem terbitan kerjasama Astro Shaw, Skop Prodcutions dan TGV Pictures ini akan mula ditayangkan pada 25 Mei nanti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain