suria

Sumpahan Jerunei cemerlang di luar negara, penerbit gementar menanti reaksi penonton tempatan

Wendy dan Nancie turut menerima anugerah di Festival Filem Antarabangsa Julien Dubuque.

USAHA keras dua penerbit Datuk Nancie Foo dan Datin Wendy Wong membuahkan hasil apabila filem terbitan mereka iaitu Sumpahan Jerunei mendapat pengiktirafan daripada dua festival antarabangsa.

Nancie memaklumkan filem yang mengangkat adat dan sejarah negeri Sarawak itu menerima trofi bagi kategori Filem Cereka Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Paris yang diadakan pada Februari lalu.

Nancie berkata, filem itu juga turut mendapat pengiktirafan menerusi empat kategori iaitu Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Muzik Terbaik dan Penerbit Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Florence.

Tidak hanya itu, mereka turut menerima anugerah di Festival Filem Antarabangsa Julien Dubuque.

Wendy dan Nancie berdebar menunggu sambutan Sumpahan Jerunei dalam kalangan rakyat Malaysia.

Wendy dan Nancie berdebar menunggu sambutan Sumpahan Jerunei dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Apabila filem Sumpahan Jerunei ditayangkan di luar negara, ramai di antara mereka kagum dengan pemandangan indah yang terdapat di Sarawak.

"Ini kerana penerbit atau pengarah di sana biasanya akan mencari lokasi di Thailand atau Filipina jika ingin membuat penggambaran di Asia Tenggara.

"Namun kali ini kita dapat promosikan negeri Sarawak sebagai destinasi semula jadi yang indah," katanya kepada mStar.

Nancie berkongsi perkara itu ketika tayangan khas Sumpahan Jerunei yang diadakan di GSC Mid Valley pada malam Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sumpahan Jerunei’ buat Bront Palarae tak fikir panjang, genre seram tapi sarat adat dan budaya

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sumpahan Jerunei’ angkat misteri adat pengebumian, sejarah budaya kaum Melanau

Nancie menambah, disebabkan itu juga ramai penerbit dan pengarah yang ditemui menyatakan rasa minat untuk menjalani penggambaran di negeri Bumi Kenyalang itu.

Berkongsi pengalaman menyiapkan filem sejarah tersebut, Nancie berkata, pada peringkat kajian mengenai Jerunei di Mukah, Sarawak, mereka pada awalnya tidak diterima baik oleh masyarakat di kawasan berkenaan.

"Ketika mula-mula datang ke lokasi untuk membuat kajian, kami takut sehingga meremang bulu roma... rasa seperti diperhatikan dan ada yang mengikut kami.

"Tapi selepas kali kedua datang, sudah rasa biasa mungkin masyarakat setempat tahu niat baik kami," katanya.

Snapinsta.app_356380238_2011700639204397_1911904442144283202_n_1080

Barisan pelakon Sumpahan Jerunei.

Sumpahan Jerunei adalah inspirasi kisah benar mengenai sejarah kaum Malanau yang sering dikaitkan dengan perkara misteri.

Menerusi filem itu, Produksi Seni 2020 cuba mengupas rahsia di sebalik misteri adat pengebumian kaum berkenaan yang menggunakan Jerunei iaitu kayu belian bagi menempatkan mayat yang menjadi mangsa pembunuhan.

Filem yang menelan belanja RM5 juta itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Daiyan Trisha, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Tony Eusoff, Ruminah Sidek dan Yuyun Hikmah.

Ia sudah pun ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 27 Julai 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain