suria

Bakal ubat kerinduan penggemar filem cinta, Aaron Aziz sahut cabaran arah ‘Sayu Yang Syukur’

Antara babak Aaron di dalam Sayu Yang Syukur.

IMPIAN pelakon Datuk Aaron Aziz mengarahkan filem genre cinta akhirnya terlaksana apabila tampil dengan karya sulung berjudul Sayu Yang Syukur.

Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 47, berkata, dia menerima cabaran mengarah filem berkenaan kerana ia bertemakan cinta selain diberi kebebasan oleh pihak penerbit dalam olahan skrip serta pemilihan barisan pelakon.

“Untuk skrip saya membuat 90 peratus olahan berbanding skrip asal dengan memasukkan idea-idea baharu agar filem ini mempunyai kelainan dengan filem cinta yang lain.

“Begitu juga dengan pemilihan pelakon apabila saya diberi sepenuh kepercayaan untuk memilih barisan pelakon yang saya inginkan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada mStar.

THN_6725

Sayu Yang Syukur mengisahkan Liana yang dilakonkan oleh Nora.

Dalam pada itu, Aaron berkata, pengalaman berlakon menerusi drama serta filem genre cinta dan romantik sebelum ini banyak membantunya dalam membentuk perjalanan Sayu Yang Syukur.

Bagaimanapun kata Aaron, tidak mudah mengarahkan sebuah filem cinta kerana ia perlu bermain dengan emosi bagi menzahirkan perasaan dalam diri.

Namun dia menyahut cabaran tersebut sekaligus menjadi pengarah dan pelakon untuk filem berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Imam Tanpa Makmum’ percubaan sulung sebagai pelakon dan pengarah, Syakir Daulay mahu jadi seperti P. Ramlee

ARTIKEL BERKAITAN: Angkat beberapa watak popular filem Mamat Khalid dalam ‘Sue-On’, Awie bukan tumpang populariti tapi sudah minta izin

“Apabila menjadi pengarah, banyak benda yang saya perlu jaga. Mana nak berlakon, jaga dialog, jaga lokasi bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Memang ia sesuatu yang agak mencabar.

“Apapun saya bersyukur dan berterima kasih kerana mendapat kru produksi yang banyak membantu sepanjang penggambaran serta pelakon yang memberikan komitmen yang sangat baik untuk menjayakan filem ini,” ujarnya.

Aaron juga yakin Sayu Yang Syukur ini akan diterima baik penonton, terutama sekali peminat-peminat filem bercorak cinta.

Filem ini akan ‘mengubat’ kerinduan mereka yang mahukan filem cinta.

DATUK AARON AZIZ

PELAKON/PENGARAH

Jelasnya, penonton juga akan berpeluang melihat sisi lakonannya yang berbeza dalam filem arahannya itu nanti.

“Setakat ini saya lihat tak banyak filem-filem cinta yang dihasilkan. Penonton sekarang lebih banyak disajikan dengan naskhah bergenre aksi dan komedi.

“Jadi, menerusi filem ini akan ‘mengubat’ kerinduan mereka yang mahukan filem cinta yang menyentuh perasaan dan boleh membuatkan air mata mengalir ketika menonton,” ujarnya.

Sementara itu, Saiful Azmi Jamsari selaku penerbit berkata, pihaknya bersetuju mengambil Aaron selaku pengarah kerana yakin dengan bakat, kemampuan serta pengalaman yang dimiliki pelakon berkenaan sepanjang bergelar seorang pelakon.

THN_5523

Antara babak Aaron dan juga Nora dalam Sayu Yang Syukur.

Menurutnya sepanjang penggambaran pihaknya melihat kesungguhan serta kerja keras yang ditunjukkan Aaron, meskipun belum mempunyai banyak pengalaman selaku pengarah.

Filem ini mengishakan tentang Liana yang dilakonkan Nora Danish terlibat dalam kemalangan semasa pulang ke kampung dan ditemui Qudaim (Aaron).

Pertemuan tersebut menjadi satu permulaan baharu buat Liana apabila maruahnya tercalar sekali gus bimbang sekiranya nama baik keluarganya turut terjejas.

Selain Aaron, Sayu Yang Syukur ini turut dibintangi Nora Danish, Arja Lee, Fairi Khalil, Datuk Ahmad Tamim Siregar, Raja Emma dan ramai lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain