suria

‘Imam Tanpa Makmum’ percubaan sulung sebagai pelakon dan pengarah, Syakir Daulay mahu jadi seperti P. Ramlee

Syakir mengagumi karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

PENGARAH muda Indonesia Syakir Daulay menjadikan Seniman Agung Tan sri P. Ramlee sebagai inspirasi yang dilihat sebagai seorang anak seni serba boleh dan mempunyai bakat tiada tandingan.

Syakir, 21, memberitahu atas dasar itu juga dia mencabar diri dengan memegang posisi sebagai penerbit, pengarah dan pelakon menerusi karya sulungnya iaitu filem Imam Tanpa Makmum.

Kata Syakir, bukan mudah dia menyandang tanggungjawab besar itu dan menyifatkan ia sebagai satu pembelajaran dalam menjadikan dia seorang penggiat seni berkaliber.

syakir2 - 1

Syakir pengarah muda Indonesia yang berbakat besar.

"Sebagai penerbit saya harus memastikan kru dan pelakon semua berada dalam keadaan baik dan di kerusi pengarah saya perlu pastikan penggambaran berjalan seperti mana yang dijadualkan.

"Sementara di posisi pelakon saya perlu lontarkan nilai seni dan lakonan dengan baik. Selepas merasainya cabarannya, cukuplah dalam karya ini sahaja saya pegang begitu banyak tanggungjawab.

"Memang karya ini dihasilkan untuk saya belajar. Pada masa depan rasanya saya lebih selesa untuk hanya berada di kerusi pengarah.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbakat macam ibunya, anak Amanda Misbun cabar diri bawa watak budak pekak dalam 'MagiK'

ARTIKEL BERKAITAN: Drama pendek popular di YouTube diangkat jadi filem, 'Syif Malam' papar kisah gangguan seram di tempat kerja

"Jika karya orang lain, saya lebih suka menjadi pelakon sahaja. Saya cuba untuk menjadi seperti P.Ramlee," katanya.

Dalam pada itu, Syakir memberitahu dia begitu meminati P. Ramlee yang disifatkan mampu menghasilkan karya-karya hebat dalam memberikan impak kepada masyarakat.

Antara karya-karya Seniman Agung yang diminatinya termasuk Madu Tiga, Ibu Mertuaku dan juga Bujang Lapok.

"Karya-karya P.Ramlee bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi turut mempunyai mesej-mesej yang jelas buat masyarakat.

syakir1 - 1

Syakir dan Rayisa (kiri) membintangi filem Imam Tanpa Makmum.

"Saya mahu jadi seperti beliau yang sehingga sekarang jika dilihat semula karya-karyanya masih dapat menjentik hati dan memberi rasa pada penonton," ujarnya.

Untuk info, filem Imam Tanpa Makmum yang menelan kos sebanyak RM1.4 juta ini mengangkat tema perkahwinan muda dan bakal membuatkan penonton melihat alam rumah tangga dengan pandangan berbeza.

Selain Syakir, filem tersebut turut dibintangi barisan pelakon termasuk Rayisa Nayla Salwa, Vonny Felicia, Cut Mini Theo, Lukman Sardi dan Arif Brata.

Imam Tanpa Makmum bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 30 November ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain