suria

Selalu bawa watak aksi dan lelaki macho, kali ini Shah Rukh Khan tampil kelainan dalam filem ‘Dunki’

Lakonan Shah Rukh Khan dipuji dalam filem Dunki.

SELEPAS kejayaan filem blockbuster berjudul Pathaan dan Jawan, pelakon Datuk Shah Rukh Khan tampil dengan karya terbaharu berjudul Dunki penghujung tahun ini.

Dunki merupakan filem kerjasama SRK buat pertama kali bersama pengarah hebat yang pernah mencipta sejarah menerusi filem Munnabhai MBBS, PK dan 3 Idiots iaitu Rajkumar Hirani.

Tampil dengan kisah berbeza, filem Dunki membawa kelainan kepada SRK berbanding watak aksi dan romantik yang sering ditonjolkan di layar perak.

Dunki mengetengahkan perbezaan antara kaya dan miskin, celik dan buta huruf serta impian dalam kehidupan.

srk1

SRK tunjuk sisi lain sebagai pelakon dalam filem Dunki.

Ia mengangkat isu pendatang asing dari Punjab, India Utara untuk mencari kehidupan lebih baik.

Di sebalik itu, Rajkumar turut menyelitkan beberapa fakta dan statistik yang berlaku terhadap pendatang asing dalam skrip ditulis bersama Abhijat Joshi dan Kanika Dhillon itu.

Kisah pendatang asing sudah menjadi isu tabu dan memberi impak seluruh dunia, namun Rajkumar bijak mengolah jalan cerita dengan menyuntik elemen kemanusiaan, selain disampaikan berselang-seli dengan aksi humor serta menjentik emosi penonton.

Dunki tampil dengan kekuatan tersendiri melalui jalan cerita dan lakonan hebat SRK dan gandingannya, Taapsee Pannu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Filem ini agak ‘biadab’ in a good way...” - Gemencheh Boys buktikan pelajar sekarang terlalu manja!

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sayu Yang Syukur’ akhirnya masuk pawagam, ada sebab Aaron Aziz peram filem 8 tahun

Selain itu, Dunki turut dibarisi oleh Boman Irani, Vicky Kaushal, Vikram Kochhar, Boman Irani, Anil Grover dan Dharmendra.

Kisah berlatarkan pada tahun 1995 apabila Hardy Singh Dhillon (SRK) yang juga seorang askar yang baru saja pulih daripada kecederaan tiba di bandar bernama Laltu di Punjab untuk mencari lelaki yang pernah menyelamatkan nyawanya.

Hardy bertemu dengan tiga lelaki, Taapsee Pannu (Manu), Anil Grover (Balli) dan Vikram Kochhar (Buggu) yang bercita-cita berhijrah ke London, England untuk mencari kehidupan lebih baik.

Tanpa diketahui, lelaki itu sudah meninggal dunia dan abang kepada Manu. Atas rasa terhutang budi, Hardy berjanji membantu Manu dan rakan-rakannya ke London.

Bagaimanapun, mendapatkan visa tidak semudah disangka, selain kekurangan wang.

Mereka mula mendekati ejen yang menipu, kemudiannya atas desakan Hardy mereka mula belajar bahasa Inggeris untuk memperoleh visa pelajar ke United Kingdom (UK).

Mereka bertemu Siddu (Vicky Kaushal), seorang lelaki yang terdesak mahu pergi ke London hanya untuk sehari.

srk2

Kisah persahabatan ditonjolkan dalam Dunki.

Apabila gagal menyelesaikan kelas bahasa Inggeris, mereka mengambil jalan mudah melalui laluan haram.

Bermula ke Pakistan, kemudiannya Afghanistan, Iran dan seterusnya, UK dengan kapal, namun tersangkut dalam kontena.

Sudah tentu perjalanan mereka penuh pengkhianatan dan kehilangan beberapa rakan pengembara di sepanjang jalan, tetapi mereka tidak berputus asa menjejaki kota impian, London.

Dunki sarat dengan emosi dan mengetengahkan erti persahabatan dan nilai setia kawan.

Selain memperjuangkan erti putus asa, ia dapat dilihat oleh empat sekawan yang tidak mudah mengalah, meskipun berdepan dengan pelbagai halangan untuk menjejakkan kaki ke London.

Terdapat dialog yang membawa maksud tersurat dan tersurat sehingga penonton mengalir air mata.

Namun, SRK paling bersinar dalam adegan mahkamah di mana mengisytiharkan bahawa tidak akan meninggalkan negaranya dan bercakap buruk mengenainya.

Babak itu muncul berhampiran klimaks dan meninggalkan kesan yang paling mendalam.

Dunki berdurasi 2 jam 39 minit yang diedarkan oleh White Merpati Entertainment Sdn Bhd di Malaysia itu menemui penonton di pawagam seluruh dunia sejak 21 Disember lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain